Bagaimana Skim Jaminan Kredit Perumahan Membantu Pembeli Rumah Pertama Tanpa Pendapatan Tetap

KONGSI

Jika anda tidak mempunyai pendapatan tetap setiap bulan, anda akan mengalami satu cabaran di mana agak sukar untuk anda mendapatkan pinjaman rumah di Malaysia. Kebiasaannya, bank akan meminta slip gaji, penyata KWSP, atau apa-apa bukti yang menunjukkan sumber kewangan yang masuk ke dalam akaun anda pada hari yang sama setiap bulan. Tapi bagaimana jika anda adalah seorang pemandu Grab, peniaga gerai, jurugambar bebas, atau salah seorang daripada jutaan rakyat Malaysia yang berpendapatan tidak tetap?

Ketahui Apa Itu Skim Jaminan Kredit Perumahan dan Fungsinya

Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bertindak sebagai penjamin bagi pinjaman perumahan yang layak. Bagi peminjam yang tidak memenuhi syarat gaji biasa, jaminan tersebut boleh menghapuskan salah satu halangan terbesar untuk mendapat kelulusan. Apabila pinjaman rumah disokong oleh jaminan SJKP, bank yang mengambil bahagian mungkin lebih bersedia untuk mempertimbangkan pemohon yang tidak mempunyai dokumen pendapatan konvensional, asalkan mereka masih boleh menunjukkan kemampuan untuk membayar balik.

Skim ini diperkenalkan pada 2007 bagi menangani jurang dalam pasaran perumahan iaitu rakyat Malaysia yang bekerja keras dengan pendapatan sebenar, tetapi memiliki dokumentasi yang tidak konvensional. Hari ini, SJKP kekal sebagai salah satu laluan utama untuk memiliki rumah bagi individu bekerja sendiri, peniaga kecil, petani, nelayan, dan pekerja gig.

Anda memohon pembiayaan di bawah SJKP melalui bank-bank yang mengambil bahagian, sama seperti pinjaman rumah biasa. Jika anda memenuhi kriteria kelayakan, bank akan memohon jaminan SJKP bagi pihak anda. Pada masa ini terdapat dua varian yang tersedia iaitu skim SJKP biasa dan SJKP MADANI, masing-masing diwujudkan khas untuk keperluan pembeli yang sedikit berbeza.

SJKP vs SJKP Madani

Sebelum anda membuat pilihan di antara kedua-dua skim ini, fahami terlebih dahulu perbezaannya dari segi had pembiayaan dan liputan.

CiriSJKPSJKP MADANI
Pembiayaan maksimumSehingga RM500,000Sehingga RM360,000
LiputanPrinsipal, MRTA/MRTT, yuran guaman, yuran penilaianPrinsipal, MRTA/MRTT, yuran guaman, yuran penilaian, ditambah kos pengubahsuaian dan perabot
Peratusan pembiayaanSehingga 110% daripada nilai hartanahSehingga 120% daripada nilai hartanah

Perbezaan utama SJKP MADANI adalah liputannya yang lebih luas. Selain pembelian hartanah, ia turut boleh merangkumi pembiayaan untuk pengubahsuaian dan perabot, yang boleh mengurangkan keperluan wang tunai pendahuluan semasa berpindah masuk ke rumah baru.

Mengapa SJKP Penting Untuk Mereka Yang Bekerja Sendiri

Bagi rakyat Malaysia yang berpendapatan tidak tetap, SJKP membolehkan pekerja sendiri dan pekerja gig layak mendapat pembiayaan, walaupun penting untuk fahami apa yang ia mampu dan tidak mampu lakukan.

Di bawah SJKP biasa, pembiayaan boleh mencapai 110% daripada nilai hartanah, manakala SJKP MADANI membenarkan sehingga 120%. Dalam sesetengah kes, margin tambahan ini mungkin merangkumi kos seperti MRTA atau MRTT, yuran guaman, dan caj penilaian, yang berpotensi mengurangkan jumlah wang tunai yang diperlukan terlebih dahulu. Tahap pembiayaan sebenar masih bergantung kepada penilaian bank dan penilaian hartanah.

Ada juga perkara lain yang dipanggil sebagai pembiayaan dua generasi, di mana ia dikhaskan untuk pemohon yang lebih tua. Lazimnya, bank tidak akan memberi pinjaman 30 tahun kepada seseorang yang berusia 50 tahun kerana anda akan berusia 80 tahun apabila pinjaman selesai dibayar. Dengan pembiayaan dua generasi, anda boleh menambah anak anda dalam pinjaman supaya bayaran balik berterusan walaupun selepas anda bersara, dan ini membuatkan bank lebih selesa meluluskan tempoh yang lebih panjang.

Kelayakan SJKP: Siapa Boleh Mohon Dan Hartanah Apa Yang Layak?

SJKP terbuka kepada warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas yang ingin membeli hartanah kediaman pertama. Mereka yang berpendapatan tetap mahupun tidak tetap layak untuk memohon. Walau bagaimanapun, jika anda pekerja bergaji dengan slip gaji dan penyata KWSP, anda biasanya boleh mendapatkan pinjaman rumah konvensional tanpa memerlukan SJKP. Skim ini  direka bagi mereka yang sukar untuk membuktikan pendapatan melalui dokumen standard.

Dari segi kemampuan dalam membuat pembayaran, jumlah komitmen pinjaman bulanan anda, termasuk pinjaman rumah baharu, umumnya perlu kekal dalam 65% daripada pendapatan kasar bulanan anda. Pemohon perlu memastikan:

  • Tiada tunggakan melebihi dua bulan dalam rekod CCRIS dalam tempoh 12 bulan lepas
  • Tiada rekod kredit buruk dalam tempoh 24 bulan lepas

Hartanah mestilah jenis kediaman dan bertujuan untuk didiami sendiri. Hartanah pelaburan dan unit komersial seperti rumah kedai adalah tidak layak. Pelancaran baru, rumah sub-jualan, hartanah dalam pembinaan, dan hartanah lelong sekalipun masih layak, tertakluk kepada kelulusan bank.

Permohonan bersama antara suami dan isteri dibenarkan,sekiranya ia dapat membantu memperkukuhkan lagi kemampuan untuk membayar jika salah seorang pasangan berpendapatan tetap. Selain itu, anda juga perlu mengambil perhatian bahawa SJKP tidak meliputi pembiayaan semula, jadi pemilik rumah sedia ada yang ingin membuat pembiayaan semula perlu meneroka pilihan lain.

Cara Memohon Pinjaman Rumah Melalui SJKP

Permohonan peru dibuat melalui bank-bank yang mengambil bahagian, bukan terus kepada SJKP. Secara kata,  anda perlu pergi ke cawangan bank dan memohon pinjaman rumah seperti biasa.

Permohonan SJKP dibuat melalui bank-bank yang menyertai skim ini. Setiap bank akan menawarkan syarat yang berbeza untuk pembiayaan di bawah SJKP. Semak senarai penuh bank rakan kongsi di laman web rasmi SJKP dan bandingkan pilihan sebelum memohon.

Dokumen yang diperlukan untuk memohon:

  • MyKad
  • Penyata bank yang menunjukkan wang masuk ke dalam akaun anda secara berkala
  • Dokumen sokongan seperti lesen perniagaan, permit, atau resit yang menunjukkan aktiviti jualan atau perdagangan

Pemohon tanpa pendapatan tetap berkemungkinan akan diminta mengemukakan surat pengesahan pendapatan daripada pengerusi JKKK, penghulu, pegawai kerajaan Kategori A, atau pengurus cawangan bank. Pemohon bergaji pula perlu menyediakan slip gaji dan penyata KWSP.

Setelah memilih hartanah, serahkan dokumen anda bersama draf Perjanjian Jual Beli atau resit tempahan. Bank akan menilai permohonan anda dan akan mempertimbangkan jika anda layak atau tidak untuk memohon jaminan SJKP. Tempoh masa pemprosesan adalah berbeza mengikut bank. Anda juga boleh membuat semakan kelayakan di laman web rasmi SJKP sebelum mengunjungi cawangan.

Bagaimana Untuk Tahu Jika  SJKP Bukan Pilihan Yang Tepat

Walaupun SJKP boleh membantu anda, tetapi ia bukanlah pilihan terbaik untuk semua orang.

Jika anda mempunyai pendapatan tetap yang stabil dan tinggi serta layak mendapat pinjaman rumah konvensional dengan kadar faedah yang kompetitif, anda mungkin tidak memerlukan jaminan kerajaan. Peminjam yang sudah hampir kepada nisbah khidmat hutang 65% perlu berhati-hati agar tidak memaksakan kemampuan untuk membayar semata-mata kerana pembiayaan yang lebih tinggi tersedia.

SJKP juga terhad kepada pembelian rumah pertama untuk didiami sendiri. Jika anda membeli untuk tujuan pelaburan atau ingin membuat pembiayaan semula hartanah sedia ada, skim ini tidak terpakai.

Cara Meningkatkan Peluang Kelulusan Di Bawah SJKP

SJKP bukanlah jalan pintas untuk anda mengelak dari membuat semakan dari segi kemampuan untuk membayar. Bank masih perlu melihat pendapatan yang konsisten dan sikap anda terhadap kredit yang bertanggungjawab. Jaminan tersebut hanya membuatkan mereka lebih terbuka kepada profil pendapatan alternatif.

Jika pendapatan anda tidak menentu, pastikan penyata bank anda tersusun rapi dan tunjukkan deposit yang kerap dari masa ke masa. Menjelaskan hutang kecil, mengurangkan penggunaan had kad kredit, dan mengelak pembayaran lewat dalam bulan-bulan menjelang permohonan anda boleh membantu mengekalkan nisbah khidmat hutang dalam had yang ditetapkan.

Permohonan bersama juga boleh meningkatkan peluang kelulusan, terutama apabila salah seorang peminjam berpendapatan tetap. Pemohon yang lebih tua yang bimbang tentang tempoh pinjaman perlu ingat bahawa pembiayaan dua generasi mungkin boleh membantu memanjangkan tempoh pembayaran balik.

Merancang Pembelian Rumah Pertama Anda

Membeli rumah pertama melibatkan bukanlah sekadar mendapat kelulusan. Kadar faedah, struktur pinjaman, dan kos pendahuluan semuanya mempengaruhi apa yang anda bayar dalam jangka panjang. Memahami faktor-faktor ini dan merancang lebih awal boleh membantu anda membuat keputusan yang yakin dan mengelak kejutan di kemudian hari.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments