Ramai yang tertanya-tanya, kalau harga minyak dunia sudah jatuh, kenapa harga di pam minyak di Malaysia masih sama? Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) baru-baru ini menjelaskan sebabnya.
Jawapannya mudah, harga yang anda bayar di pam dikira berdasarkan purata harga minggu sebelumnya, bukan harga semasa. Maksudnya, walaupun harga global jatuh hari ini, ia tidak akan terus memberi kesan kepada harga di pam pada minggu ini.
Bekalan Minyak Yang Lama Akan Mengikut Pasaran Harga Lama
Selain itu, bekalan minyak yang ada sekarang telah dibeli pada harga yang lebih tinggi dan harga pembelian lama itulah yang masih mempengaruhi harga di stesen minyak.
MOF juga menjelaskan bahawa harga minyak global telah meningkat sepanjang lima minggu lalu, menyebabkan kos lain turut naik, termasuk logistik dan insurans. Harga bekalan awal itu masih berjalan pada sekitar AS$150 setiap barel untuk petrol dan AS$250 setiap barel untuk diesel.
Harga Semasa di Pam (9 Hingga 15 April 2026)
Bagi tempoh 9 hingga 15 April 2026, berikut adalah harga yang berkuat kuasa:
RON95
- Harga bersubsidi (BUDI95): RM1.99 seliter
- Harga runcit tanpa subsidi: RM4.27 seliter (naik 40 sen)
Diesel
- Harga bersubsidi di Sabah, Sarawak & Labuan: RM2.15 seliter
- Harga runcit tanpa subsidi di Semenanjung Malaysia: RM6.72 seliter (naik 70 sen)
Buat masa ini, pengguna yang layak di bawah program BUDI95 masih dilindungi dengan harga subsidi RM1.99. Bagi mereka yang tidak layak, kenaikan ini memang terasa terutama untuk diesel di Semenanjung yang naik 70 sen sekaligus.
MOF Nafi Orang Awam Boleh Mohon Tambahan Kuota BUDI95
MOF juga sebelum ini tampil menolak dakwaan bahawa orang awam boleh memohon kuota tambahan BUDI95.
Memang ada ciri permohonan kuota tambahan dalam portal BUDI95 ketika skim ini mula dilancarkan, tetapi ia bukan untuk kegunaan umum. Ciri itu direka khusus untuk kes tertentu yang melibatkan keperluan operasi yang telah disahkan seperti pemandu e-hailing dan pemilik bot dan ia tertakluk kepada kriteria kelayakan yang ditetapkan. Memandangkan fungsi itu telah disalah faham, butang permohonan tersebut kini telah dibuang.
Had 200 Liter Sebulan Kekal
Sejak 1 April lalu, kuota BUDI95 telah diturunkan daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan. Ini berikutan ketidaktentuan dalam pasaran tenaga global yang telah menaikkan kos subsidi.
Mengikut data MOF, had ini sudah mencukupi untuk 90% pengguna BUDI95 kerana purata penggunaan kebanyakan rakyat Malaysia adalah sekitar 100 liter sebulan.
Dari segi kewangan, ini bermakna:
- Harga bersubsidi: RM1.99 seliter
- Pembelian maksimum sebulan: sehingga RM398 (200 liter)
- Subsidi yang ditanggung kerajaan: sekitar RM500 bagi setiap penerima
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
