Kereta Api Sabah Bakal Beralih Kepada Pembayaran Tanpa Tunai Mulai Jun 2026

KONGSI

Pengguna setia kereta api di Sabah bakal menikmati cara bayar yang lebih mudah selepas ini. Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS) sedang membangunkan sistem pembayaran tanpa tunai untuk penumpang harian dan dijangka siap menjelang Jun 2026.

Sistem Tanpa Tunai Sedang Dalam Pembangunan

Pengarah JKNS, Mohammad Safri Abdul Habi, berkata langkah ini sebahagian daripada usaha pendigitalan jabatan yang bertujuan menjadikan pengalaman menaiki kereta api lebih cepat dan mudah.

Difahamkan, JKNS sudah lama menggunakan sistem tiket dalam talian untuk pakej pelancongan. Kali ini, ia akan diperluaskan kepada orang ramai atau pengguna harian (daily commuters).

“Kami sedang membangunkan sistem yang serupa untuk penumpang harian dan dijangka siap pada bulan Jun,” kata Mohammad Safri.

Sebelum pelancaran penuh, JKNS akan jalankan fasa percubaan terlebih dahulu termasuk projek perintis pada tahun ini untuk memastikan sistem berjalan dengan lancar. Infrastruktur sokongan juga akan disediakan serentak.

Tambang Masih 5 Sen Setiap Kilometer, Tapi Mungkin Akan Berubah

Buat masa ini, kadar tambang kereta api Sabah ditetapkan pada 5 sen setiap kilometer. Bagi penumpang dewasa, tambang sehala antara 40 sen hingga RM7.20. Bagi kanak-kanak pula, antara 20 sen hingga RM3.75.

Namun, kadar ini mungkin tidak kekal begitu lama. Kerajaan negeri sudah pun meluluskan kajian semakan struktur tambang, dan menurut Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick, kajian itu sudah mencapai 90 peratus penyelesaian.

Apabila kajian selesai, JKNS akan kemukakan cadangan kepada kementerian. Kalau perlu diubah, ia akan dibawa ke Kabinet negeri untuk keputusan muktamad kerana perkhidmatan ini dianggap tanggungjawab sosial kerajaan Sabah.

Terdapat 15 Stesen Dari Sembulan ke Tenom

Kereta api Sabah kini beroperasi di 15 buah stesen, merentasi laluan dari Sembulan hingga Tenom:

Sembulan, Tanjung Aru, Putatan, Kinarut, Kawang, Papar, Kimanis, Bongawan, Membakut, Beaufort, Saliwangan Baru, Halogilat, Rayoh, Pangi, dan Tenom.

Apa Lagi Dalam Perancangan JKNS?

Selain sistem tanpa tunai, JKNS juga sedang jalankan program transformasi aset dan stok bergerak secara berterusan yang bergantung kepada kelulusan kerajaan dan kemampuan kewangan.

Dua kajian besar yang sedang berjalan:

  • Kajian kemungkinan laluan Putatan-KKIP-Sepanggar yang dijangka ambil masa 12 bulan, sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang untuk kembangkan rangkaian kereta api Sabah.
  • Pelan Induk Pengangkutan Mampan Sabah. Kajian tersebut akan dimulakan tahun ini, dengan JKNS terlibat dalam jawatankuasa pemandu dan teknikal.

Kereta api mungkin bukan pilihan utama ramai orang di Sabah sekarang, tapi dengan sistem pembayaran yang lebih moden dan kajian semakan tambang yang hampir siap, ada kemungkinan perkhidmatan ini akan menjadi lebih relevan tidak lama lagi.

Jika anda ada mempunyai perancangan untuk terbang ke Sabah, kerajaan juga menawarkan rebat penerbangan RM50 untuk ke Sabah, Sarawak dan Labuan.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen