TNG Digital Sdn Bhd (TNG Digital) hari ini mengumumkan langkah strategik terbaharu dalam memperkukuh ekosistem digitalnya melalui integrasi perkhidmatan e-Info Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) secara terus dalam aplikasi TNG eWallet.
Ciri baharu ini merupakan hasil kerjasama TNG Digital dan Raffcomm Group sekali gus menamatkan keperluan pengguna untuk melayari portal luaran berasingan untuk mendapatkan profil korporat yang sah.
Akses Dokumen Rasmi SSM Dalam Satu Aplikasi
Melalui fungsi terbaharu ini, pengguna TNG eWallet kini dapat mengakses dokumen rasmi dengan lebih mudah untuk menyemak, membeli, dan memuat turun dokumen rasmi syarikat berdaftar di bawah SSM.
Antara dokumen-dokumen yang boleh diakses dengan pantas termasuklah Profil Syarikat, Maklumat Am Perniagaan (Business Information) dan Penyata Kewangan (Financial Statements).
Integrasi ini dapat menjimatkan masa, sekali gus memudahkan usahawan dan pengguna menyemak latar belakang perniagaan dengan hanya satu aplikasi.
“Membawa e-Info SSM ke dalam TNG eWallet bermakna kita bukan lagi sekadar mencari maklumat, sebaliknya kita membawa identiti yang disahkan dan dipercayai ke mana sahaja kita pergi,” kata Pengarah Urusan Raffcomm Group, Arief Adly Md Afendi.

Raffcomm dan SSM Jamin Keselamatan Serta Kesahihan Data
Bagi memenuhi piawaian pengurusan data korporat yang ketat di Malaysia, kolaborasi ini memanfaatkan kepakaran teknikal Raffcomm Group selaku penyedia perkhidmatan e-Info SSM yang sah dan pensijilan pihak berkuasa (certification authority) yang berlesen.
Dari sudut keselamatan dan kesahihan maklumat, SSM kekal bertindak sebagai pemegang amanah tunggal (authoritative custodian) bagi keseluruhan data tersebut untuk memastikan standard tertinggi bagi ketepatan dan integriti data. Walaupun akses dipermudah melalui TNG eWallet, kualiti data yang dimuat turun adalah terjamin terus daripada pangkalan data rasmi negara.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pendaftaran dan Perkhidmatan Perniagaan) SSM, Rezy Izwan Ramly, menjelaskan bahawa langkah mendekatkan maklumat korporat yang sah kepada perniagaan, usahawan, dan pengguna bukan sahaja meningkatkan kemudahan, malah turut menggalakkan ketelusan, akauntabiliti, serta keyakinan yang lebih tinggi dalam ekosistem perniagaan di Malaysia.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
