WhatsApp kini memperkenalkan ciri nama pengguna (username)yang membolehkan anda menghantar mesej kepada individu atau akaun perniagaan tanpa perlu mendedahkan nombor telefon peribadi. Menurut Meta, ciri baharu ini direka khas untuk meningkatkan tahap privasi pengguna dan bakal dilancarkan secara berperingkat di seluruh dunia dalam masa beberapa bulan lagi.
Nombor Telefon Anda Kekal Rahsia
Melalui fungsi baharu ini, nombor telefon anda tidak akan dikongsi secara automatik lagi termasuklah apabila anda menyertai mana-mana group chat yang besar atau menghantar mesej kepada seseorang buat kali pertama. Sebaliknya, anda hanya perlu memberikan nama pengguna pilihan anda untuk dihubungi oleh orang lain.
Sistem ini tidak menyediakan sebarang direktori awam untuk dilayari mahupun cadangan nama pengguna. Ini bermakna, seseorang perlulah tahu nama pengguna anda dengan tepat sebelum boleh memulakan perbualan di platform berkenaan.
Selain itu, Meta turut memperkenalkan ciri keselamatan tambahan iaitu kunci nama pengguna (username key). Pengguna lain wajib mengetahui kod khas ini sebelum boleh menghantar mesej kepada anda buat kali pertama. Untuk fasa permulaan, username key menggunakan kod empat digit dan ia akan dinaik taraf kepada bentuk alfanumerik (gabungan huruf dan nombor) apabila ciri ini dilancarkan sepenuhnya kelak.
Dah Ada Idea Nama Pengguna?
Dengan lebih 3 bilion pengguna di platform WhatsApp, pilihan nama pertama anda mungkin akan diambil oleh orang lain jika lambat bertindak.
Proses tempahan kini telah pun dibuka minggu ini melalui versi terkini aplikasi WhatsApp. Anda boleh mengakses bahagian tetapan akaun untuk menempah nama pengguna pilihan sebelum ciri ini dilancarkan sepenuhnya lewat tahun ini. Bagi pengguna yang buntu atau tidak mempunyai idea untuk memilih nama, Meta turut menyediakan alat penjana nama pengguna (username generator tool) khusus untuk membantu anda.
Bagi pencipta kandungan, perniagaan kecil dan organisasi, anda juga boleh menuntut (claim) nama pengguna yang sama seperti yang digunakan di Facebook atau Instagram. Langkah ini amat membantu untuk memastikan identiti digital anda kekal konsisten merentasi semua platform Meta.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
