KPKT Pelawa Anda Nikmati Diskaun 10% Pembelian Rumah di AREC 2026

KONGSI

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mempelawa orang ramai merebut peluang menikmati diskaun pembelian rumah sebanyak 10%, yang ditawarkan oleh pemaju yang mengambil bahagian sempena Persidangan Hartanah ASEAN (AREC) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 29 Julai hingga 1 Ogos.

Menurut KPKT, inisiatif ini diperkenalkan bagi meringankan beban kos permulaan pembeli rumah sepanjang AREC 2026, persidangan hartanah terbesar di rantau ASEAN yang menghimpunkan pemimpin industri, pelabur, institusi kewangan dan pemaju hartanah dari dalam serta luar negara.

SJKP Naikkan Had Jaminan RM20 Bilion, Bantu Pekerja Gig Miliki Rumah

Selain diskaun daripada pemaju, anda juga boleh mendapatkan khidmat nasihat pembiayaan perumahan di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) sepanjang AREC 2026. Menerusi Belanjawan 2026, kerajaan telah meningkatkan had jaminan SJKP sebanyak RM20 bilion bagi membantu 80,000 bakal pembeli rumah pertama, terutamanya golongan individu yang berpendapatan tidak tetap, bekerja sendiri dan pekerja ekonomi gig mendapatkan akses pembiayaan perumahan. 

Setakat 30 Jun lepas, inisiatif SJKP telah memberi manfaat kepada 118,731 pembeli rumah dengan jumlah keseluruhan jaminan pembiayaan mencecah RM28.92 bilion.

Menteri Sasar 100,000 Pengunjung Dalam Empat Hari

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menggambarkan AREC 2026 sebagai platform sehenti yang menghimpunkan tawaran perumahan, pembiayaan dan khidmat nasihat untuk memudahkan anda membuat keputusan bagi membeli rumah.

“Ini adalah masa terbaik untuk merealisasikan impian memiliki rumah sendiri dengan menikmati tawaran diskaun pembelian rumah sebanyak 10% yang disediakan oleh pemaju yang mengambil bahagian,” katanya, sambil menggesa rakyat Malaysia membawa keluarga hadir ke persidangan tersebut. Nga menyasarkan kehadiran 100,000 pengunjung sepanjang empat hari penganjuran AREC 2026.

Konsultasi Percuma Di Pavilion KPKT

Selain pameran hartanah yang memaparkan projek perumahan pelbagai pemaju terkemuka, anda juga boleh mendapatkan konsultasi pembelian rumah dan pembiayaan secara percuma di Pavilion KPKT, serta mengikuti forum dan sesi perkongsian ilmu oleh pakar hartanah tempatan dan antarabangsa.

AREC 2026 Disasar Jana RM1.5 Bilion Nilai Transaksi 

Menurut laporan Bernama, AREC 2026 dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor hartanah negara dengan sasaran menjana nilai transaksi sebanyak RM1.5 bilion. 

Anda boleh hadir ke MITEC sepanjang AREC 2026 berlangsung untuk semak diskaun sebenar yang ditawarkan setiap pemaju, dapatkan khidmat nasihat pembiayaan SJKP, dan bandingkan pilihan kediaman sebelum buat keputusan membeli.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.  

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen