Pesara Kerajaan Boleh Nikmati Diskaun Sehingga 25% di AnCasa Hotels & Resorts

KONGSI

UDA Holdings Berhad (UDA) menawarkan diskaun sehingga 25% untuk penginapan khas pesara kerajaan menerusi rangkaian hotelnya, AnCasa Hotels & Resorts. Promosi Istimewa Pesara Kerajaan ini berlangsung dari 15 Julai sehingga 31 Disember 2026.

Sebagai pesara kerajaan, anda boleh guna diskaun ini di empat hotel dalam rangkaian AnCasa iaitu AnCasa Hotel Kuala Lumpur, AnCasa Resort Port Dickson di Negeri Sembilan, AnCasa Royale Pekan di Pahang, serta Kuala Terengganu Golf Resort di Terengganu.

Diskaun Untuk Harga Bilik, Makanan dan Golf

Selain diskaun 25% untuk bilik, anda turut layak mendapat diskaun 20% untuk makanan dan minuman (dine- in sahaja) yang dipesan di hotel. Kalau anda seorang peminat golf, ada juga diskaun 20% untuk permainan golf di Kuala Terengganu Golf Resort.

Anda boleh pilih sama ada ingin tempah bilik sahaja dengan diskaun ini, atau bilik berserta sarapan pagi. Kalau anda menempah kategori “bilik sahaja” untuk tiga malam berturut-turut, anda dapat sarapan bufet percuma untuk dua orang dewasa.

Menurut laporan Utusan Malaysia pada 23 Julai 2026, Naib Presiden Kanan Bahagian Hospitaliti UDA Shah Azam Khan Noor Mohammad berkata, promosi ini merupakan penghargaan UDA kepada pesara-pesara atas sumbangan mereka sepanjang berkhidmat dengan negara.

Kad Pesara JPA Dan MyKad Wajib Dikemukakan 

Anda perlu kemukakan Kad Pesara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang sah bersama MyKad semasa daftar masuk. Nama tempahan, tetamu yang mendaftar masuk, dan pemegang kad pembayaran mestilah daripada pesara yang layak itu sendiri. Setiap pesara juga hanya layak menempah maksimum satu bilik atau unit apartmen bagi setiap penginapan.

Cara Untuk Anda Buat Tempahan

Anda perlu buat tempahan secara terus melalui saluran rasmi AnCasa Hotels & Resorts, sama ada di laman web AnCasa Hotels, e-mel, panggilan telefon, atau secara bersemuka di premis berkenaan. Tempahan yang anda buat melalui platform pihak ketiga atau Agensi Pelancongan Dalam Talian (OTA) tidak layak untuk promosi ini.

Diskaun ini tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan dan tidak boleh digabungkan dengan sebarang promosi, baucar atau pakej lain yang sedang berjalan di AnCasa Hotels & Resorts. 

Rancang percutian anda dari awal, terutamanya sebelum cuti sekolah, cuti umum dan hujung minggu tiba kerana tempahan bergantung kepada jumlah kekosongan bilik. Semak syarat kelayakan penuh dan terma promosi di laman web rasmi AnCasa Hotels & Resorts sebelum membuat tempahan.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen