Panduan Lengkap Akaun KWSP dan Perkembangan Baharu Pada 2026 Yang Perlu Anda Tahu!

KONGSI

Kalau anda bekerja di Malaysia, sebahagian daripada gaji anda akan masuk ke dalam KWSP setiap bulan. Tapi tidak ramai yang tahu ke mana sebenarnya wang itu pergi. Sejak Mei 2024, KWSP telah membahagikan caruman kepada tiga akaun berbanding dua, dan setiap satu mempunyai tujuan yang berbeza. 

Fahami perbezaannya dan anda boleh membuat keputusan yang lebih bijak tentang pengeluaran, pelaburan serta perancangan persaraan.

Cara Akaun KWSP Anda Berfungsi

Dulu, KWSP ada dua akaun sahaja iaitu Akaun 1 untuk persaraan dan Akaun 2 untuk keperluan sebelum bersara seperti perumahan dan pendidikan. Nisbahnya ialah 70% ke Akaun 1 dan 30% ke Akaun 2.

Namun sejak 11 Mei 2024, struktur tersebut telah berubah. KWSP menyusun semula sistemnya kepada tiga akaun dengan nama baharu dan nisbah caruman baharu:

AkaunTujuanBahagian Caruman
Akaun Persaraan (dahulunya Akaun 1)Simpanan persaraan jangka panjang75%
Akaun Sejahtera (dahulunya Akaun 2)Keperluan jangka sederhana15%
Akaun Fleksibel (baharu)Keperluan jangka pendek dan kecemasan10%

Katakan jumlah caruman KWSP bulanan anda (pekerja dan majikan) adalah RM1,000. Maka RM750 masuk ke Akaun Persaraan, RM150 ke Akaun Sejahtera, dan RM100 ke Akaun Fleksibel. Perubahan paling ketara ialah Akaun Persaraan kini menerima bahagian lebih besar berbanding Akaun 1 yang lama. 

Akaun Sejahtera pula hanya dapat separuh daripada apa yang Akaun 2 pernah terima. Sebagai gantinya, terciptalah Akaun Fleksibel baharu yang membolehkan anda mengeluarkan sebahagian simpanan pada bila-bila masa yang diperlukan.

Kegunaan Setiap Akaun

Akaun Persaraan menyimpan wang persaraan jangka panjang anda. Walau bagaimanapun, wang yang dimasukkan ke dalam akaun ini akan tidak boleh dikeluarkan sehingga umur 55 tahun dengan pengecualian yang sangat terhad. Anda boleh melabur sebahagiannya melalui Skim Pelaburan Ahli (SPA) KWSP, yang membenarkan pemindahan sebahagian simpanan ke institusi pengurusan dana yang diluluskan. Selain itu, wang ini kekal dan berkembang melalui dividen tahunan. Ahli KWSP boleh memilih antara dua pilihan simpanan iaitu Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah yang hanya melabur dalam instrumen patuh Syariah. Kedua-duanya terpakai untuk ketiga-tiga akaun dan anda boleh tukar ke Simpanan Shariah melalui aplikasi KWSP i-Akaun. Pertukaran boleh dibatalkan sebelum tarikh berkuat kuasa tapi setelah berkuat kuasa, perubahan itu kekal.

Sebelum ini, KWSP tidak pernah menetapkan sasaran simpanan khusus untuk ahli. Tapi ia telah  berubah pada Januari 2026, apabila Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (Retirement Income Adequacy/RIA) diperkenalkan. Rangka kerja ini menetapkan tiga penanda aras: RM390,000 untuk keperluan persaraan asas, RM650,000 untuk taraf hidup yang mencukupi, dan RM1.3 juta untuk keselamatan kewangan yang dipertingkat. Kalau simpanan anda sudah melepasi ambang Simpanan Dipertingkat RM1.3 juta, anda boleh keluarkan lebihan tersebut sebelum umur 55 tahun. Had ini dilaksanakan secara berperingkat bermula RM1.1 juta pada 2026 dan naik RM100,000 setiap tahun.

Akaun Sejahtera pula untuk perbelanjaan besar sebelum bersara. Anda boleh keluarkan wang daripada akaun ini untuk tujuan yang diluluskan seperti membeli atau membina rumah, bayaran pendidikan (anda atau anak-anak), perbelanjaan perubatan, perlindungan insurans atau takaful, pembiayaian ibadah Haji serta pengeluaran separa apabila mencecah umur 50 tahun. Setiap jenis pengeluaran ada syarat dan keperluan dokumen tersendiri, jadi semak peraturan spesifik di laman web KWSP sebelum membuat permohonan. Mulai Januari 2026, had pengeluaran untuk Haji dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM10,000 dan keperluan mengesahkan baki Tabung Haji sebelum memohon pun telah dimansuhkan.

Akaun Fleksibel adalah yang paling mudah diakses. Anda boleh keluarkan wang pada bila-bila masa tanpa mengira tujuan dengan pengeluaran minimum RM50. Tak perlu sediakan apa-apadokumen atau mendapat kelulusan. Mohon sahaja melalui aplikasi KWSP i-Akaun atau di cawangan KWSP, dan wang akan dikreditkan terus ke akaun bank anda.

Bolehkah Anda Mengeluarkan Wang Sebelum Persaraan?

Boleh tapi bergantung pada akaun. Sebahagian besar daripada Akaun Persaraan tidak boleh disentuh sehingga umur 55 tahun, kecuali dalam situasi terhad seperti kecacatan kekal, meninggalkan negara secara kekal atau kematian. Akaun Sejahtera pula membenarkan pengeluaran untuk tujuan yang diluluskan. Akaun Fleksibel boleh diakses bila-bila masa.

Tetapi anda perlu ingat bahawa  setiap Ringgit yang dikeluarkan pada tempoh yang lebih awal boleh memberi kesan terhadap dividen yang bakal anda terima. KWSP mengumumkan dividen 6.15% untuk tahun 2025 bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah dengan jumlah pembayaran RM79.6 bilion. Kadar ini adalah lebih rendah berbanding 6.3% pada 2024, tapi masih melebihi purata lima tahun KWSP sebanyak 5.88% untuk simpanan konvensional.

Secara praktikalnya, RM5,000 yang dikeluarkan daripada Akaun Fleksibel hari ini, kalau dibiarkan pada kadar 6% setahun, akan berkembang kepada lebih kurang RM16,000 dalam 20 tahun atau RM28,700 dalam 30 tahun. Hampir enam kali ganda jumlah asal dan itulah wang yang tidak akan ada pada anda ketika bersara kelak.

Mengapa KWSP Mengubah Struktur Akaun

Salah satu faktor kepada penyusunan semula akaun KWSP ini adalah kerana respons kepada apa yang berlaku semasa COVID-19. Antara 2020 dan 2022, kerajaan membenarkan beberapa pusingan pengeluaran khas KWSP iaitu i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra untuk membantu rakyat Malaysia menghadapi tekanan kewangan akibat pandemik. Walaupun ia beri kelegaan untuk jangka masa pendek, ia turut menjejaskan simpanan persaraan ramai ahli.

Susulan itu, KWSP memberi penyelesaian dengan mewujudkan akaun simpanan kecil yang mudah diakses (Akaun Fleksibel) supaya ahli KWSP mempunyai pelan kewangan  kecemasan tanpa perlu menyentuh dana persaraan. Pada masa sama, peruntukan lebih besar kepada Akaun Persaraan (75% berbanding 70%) membantu pulihkan kecukupan simpanan jangka panjang. Rangka Kerja RIA yang diperkenalkan Januari 2026 pula melangkah lebih jauh dengan memberi ahli penanda aras simpanan yang konkrit, bukan sekadar mengumpul wang tanpa sasaran yang jelas.

KWSP juga terus memperluaskan skop liputan. Caruman menjadi wajib untuk pekerja asing mulai Oktober 2025. Skim sukarela baharu seperti i-Saraan Plus yang dilancarkan pada Januari 2026 untuk pemandu e-hailing dan p-hailing, dengan padanan kerajaan sehingga RM600 setahun bertujuan membawa pekerja gig ke dalam jaringan simpanan persaraan. Program i-Suri untuk suri rumah dan pengurus rumah tangga juga diperluas dengan had umur kelayakan dinaikkan daripada 55 kepada 60 tahun.

Cara Semak Baki Akaun Anda

Cara paling mudah ialah melalui aplikasi KWSP i-Akaun, yang boleh dimuat turun pada Android dan iOS. Setelah log masuk, halaman utama akan terus memaparkan baki setiap akaun secara berasingan. Anda juga boleh muat turun penyata KWSP tahunan yang memperincikan caruman, dividen, dan pengeluaran mengikut akaun.

Kalau tidak mahu guna aplikasi, boleh juga log masuk melalui portal web i-Akaun di, hubungi Pusat Pengurusan Hubungan KWSP di 03-8922 6000, atau pergi ke mana-mana cawangan KWSP dengan MyKad anda.

Manfaatkan KWSP Anda Sepenuhnya

Boleh keluarkan wang daripada Akaun Fleksibel tidak bermakna anda perlu melakukannya. Setiap Ringgit yang dibiarkan di dalam akaun membolehkan anda  mendapat dividen yang sama seperti baki KWSP lain, dan nilainya terus bertumbuh dari masa ke masa. Kalau anda tidak mempunyai sebarang kecemasan untuk membiarkan wang kekal di dalam akaun KWSP, ia akan menjadi simpanan persaraan tambahan tanpa sebarang kos.

Menambah caruman secara sukarela juga adalah satu pilihan yang wajar. Wang tambahan tersebut akan dibahagikan kepada ketiga-tiga akaun. Kelebihan daripada mencarum secara sukarela adalah anda boleh memperoleh lebih dividen KWSP, dan mungkin layak untuk mendapat pelepasan cukai. Untuk memahami lebih lanjut tentang cara dividen KWSP dikira dan kesannya terhadap persaraan anda, baca penjelasan kami tentang dividen 6.15% KWSP untuk 2025.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments