Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kini sedang menjalankan operasi pematuhan cukai seluruh negara yang dinamakan “Op Syahbandar“.
Operasi ini dijalankan selama lima hari bermula 4 Mei sehingga 8 Mei 2026 melibatkan seramai 2,195 pegawai LHDN dari seluruh negara untuk menyiasat 1,300 kes yang dikenal pasti berisiko tinggi.
Objektif utama operasi ini adalah untuk mengukuhkan pematuhan cukai dan membendung kebocoran hasil negara.
Siapa Yang Menjadi Sasaran Dalam Operasi Ini?
Op Syahbandar memberi tumpuan kepada tiga kategori cukai utama, iaitu cukai korporat, cukai bukan korporat dan percukaian berkaitan majikan.
Sektor pembuatan menjadi tumpuan utama operasi ini, ia dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi berikutan perkembangan aktiviti ekonomi digital dan perubahan struktur perniagaan.
Antara kes yang sedang disemak:
- Syarikat yang melaporkan margin keuntungan terlalu rendah berbanding piawaian industri
- Firma yang tidak pernah diaudit sebelum ini
- Entiti yang disyaki menyalahgunakan insentif cukai
- Perniagaan yang terlibat dalam urus niaga penetapan harga pindahan (transfer pricing) merentas sempadan
LHDN Memandang Serius Tentang Kebocoran Hasil
Operasi ini berpusat di LHDN Melaka sebagai tuan rumah pelancaran, namun penguatkuasaan berlangsung secara serentak di seluruh negara.
LHDN menegaskan bahawa Op Syahbandar bukan sekadar operasi yang dilakukan sekali-sekala. Ia merupakan sebahagian daripada agenda strategik yang lebih luas untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan menjaga integriti sistem percukaian Malaysia bagi menyokong kestabilan fiskal jangka panjang.
Jika perniagaan anda termasuk dalam kategori yang disenaraikan di atas, ini adalah masa yang tepat untuk menyemak semula rekod cukai anda.
Sekiranya anda sedang mencari panduan penuh proses e-Filing, rujuk Panduan Cukai Pendapatan 2026 (YA 2025) kami. Anda juga boleh membaca artikel berkaitan cukai pendapatan kami yang lain untuk mendapat maklumat yang lebih.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
