Johor bakal mengagihkan RM138 juta kepada rakyat melalui Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa Empat. Lebih 600,000 penerima dijangka mendapat manfaat daripada pakej ini, termasuk warga emas, suri rumah, peniaga kecil dan pelajar kategori orang kurang upaya (OKU).
Pengumuman ini dibuat oleh Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi yang turut menegaskan bahawa Johor kekal kukuh dari segi ekonomi.
Johor mencatatkan aliran masuk pelaburan tertinggi di Malaysia, mewujudkan lebih 80,000 pekerjaan dengan pertumbuhan KDNK negeri sebanyak 6.4%. Hasil negeri pula sudah mencecah RM2.6 bilion dengan RM1 bilion dikutip setakat April sahaja.
Jualan Kasih Johor Dapat Tambahan RM30 Juta
Program Jualan Kasih Johor diperluaskan dengan peruntukan tambahan RM30 juta, menjadikan jumlah keseluruhannya RM45.4 juta.
Program ini menyediakan pakej barangan keperluan pada harga bersubsidi untuk lebih 750,000 isi rumah di seluruh negeri.
Bantuan Perumahan dan Komuniti Turut Dipertingkat
Bagi yang tercari-cari bantuan perumahan, program Perumahan Kasih Johor diperuntukkan RM137.8 juta tahun ini. Ia merangkumi bantuan tunai untuk pembeli rumah pertama dan penyewa, serta pembinaan dan pembaikan rumah bagi mereka yang memerlukan.
Sementara itu, program Infaq Jumaat Johor turut diperluaskan dengan peruntukan meningkat kepada RM26.9 juta. Program ini dilaksanakan setiap minggu di 538 masjid dan surau seluruh negeri, menyalurkan sokongan kewangan terus ke peringkat komuniti.
Pelabur Masih Yakin dengan Johor, Lebih 30 Syarikat Berminat di JS-SEZ
Pada masa yang sama, Onn Hafiz menegaskan keyakinan pelabur terhadap Johor kekal tinggi meskipun dalam suasana ketidaktentuan ekonomi global.
Lawatan kerja terbaru ke China menunjukkan minat yang berterusan dalam kalangan syarikat untuk membuka operasi di Johor, terutamanya menerusi strategi “China Plus One”. Lebih 30 syarikat telah menyatakan hasrat untuk beroperasi di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Antara penanda aras terbesar ialah syarikat logistik global DHL, yang dilaporkan telah menyiapkan sasaran pengembangan dalam masa dua tahun sahaja, jauh lebih awal daripada unjuran asal selama 15 tahun.
JS-SEZ, yang merupakan inisiatif bersama Malaysia dan Singapura, kini semakin dilihat oleh pelabur sebagai enjin pertumbuhan baharu untuk rantau Asia Tenggara.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
