Mulai 1 Julai 2027, Maybank memaklumkan Kuala Lumpur Interbank Offered Rate (KLIBOR) tidak lagi boleh digunakan untuk produk baharu dan ia akan dihentikan sepenuhnya pada 1 Januari 2029. KLIBOR yang telah digunakan oleh kebanyakan bank di Malaysia sejak 1987 untuk akan digantikan dengan dua kadar baharu iaitu MYOR dan MYOR-i.
Perubahan ini melibatkan seluruh industri perbankan Malaysia, mengikut pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) pada Oktober 2025.
Kenapa KLIBOR Perlu Diganti?
Fungsi KLIBOR yang telah wujud sejak Jun 1987 adalah untuk menunjukkan berapa kos bagi sebuah bank untuk meminjam ringgit antara satu bank dengan bank yang lain dan angka itu mempengaruhi harga sebahagian pinjaman serta produk perbankan tertentu.
Isu utamanya adalah KLIBOR sebahagiannya bergantung pada kadar yang dilaporkan sendiri oleh bank, bukan sepenuhnya daripada urus niaga sebenar. United Kingdom pernah menggunakan kadar serupa yang dikenali sebagai London Interbank Offered Rate (LIBOR), dan ia telah dihentikan pada 2023. Negara-negara lain turut beralih kepada kadar berasaskan transaksi sebenar dan Malaysia kini mengikut langkah yang sama.
MYOR Dan MYOR-i Jadi Pengganti KLIBOR
Dua kadar baharu yang akan menggantikan KLIBOR adalah Malaysia Overnight Rate (MYOR) dan Malaysia Islamic Overnight Rate (MYOR-i). BNM memperkenalkan MYOR pada 2021 dan MYOR-i pada 2022, jadi kedua-duanya telah beroperasi selama beberapa tahun.
Berbeza dengan KLIBOR, kedua-dua kadar ini berasaskan urus niaga sebenar antara bank untuk pinjaman ringgit jangka pendek. Dengan kata lain, ia lebih mencerminkan keadaan pasaran yang sebenar.
Tiga Tarikh Penting Yang Perlu Anda Ingat
| Tarikh | Perkembangan |
| 1 Julai 2027 | KLIBOR tidak boleh digunakan untuk mana-mana produk baharu |
| Sebelum 1 Julai 2028 | Perjanjian sedia ada yang berasaskan KLIBOR akan dipindahkan ke kadar baharu, atau ditambah peruntukan peralihan |
| 1 Januari 2029 | KLIBOR dihentikan sepenuhnya |
Pelan ini timbul daripada kertas perbincangan yang BNM terbitkan pada September 2024, dan mendapat sokongan luas dari industri perbankan sebelum garis masa ini disahkan.
Adakah Pinjaman Anda Terjejas?
Bagi kebanyakan pengguna, kesannya adalah kecil. Pinjaman perumahan biasa mengikut kadar asas bank berdasarkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang ditetapkan oleh BNM, bukan KLIBOR. Jadi, bayaran balik pinjaman rumah anda tidak akan berubah.
Apa yang mungkin terjejas dengan pertukaran ini adalah produk yang menggunakan KLIBOR secara spesifik sebagai kadar rujukan. Ini termasuk pinjaman atau pembiayaan tertentu, deposit dan akaun pelaburan. Jika anda memegang mana-mana produk ini, ia akan dipindahkan ke MYOR atau MYOR-i. Pertukaran ini tidak mengubah jumlah yang anda berhutang kerana BNM telah mengarahkan bank-bank untuk memindahkan perjanjian sedia ada atau menambah klausa yang menjelaskan kadar pengganti dan sebarang pelarasan yang berkaitan.
Maybank menyatakan bahawa pihaknya akan menghubungi pelanggan secara terus jika produk mereka terjejas. Sementara itu, semak dokumen perjanjian pinjaman atau pembiayaan anda dan lihat kadar mana yang dirujuk. Pantau juga sebarang notis dari bank anda menjelang 2027 dan 2028.
Bagi mereka yang merancang untuk mengambil produk kewangan baharu dalam beberapa tahun akan datang, nama kadar yang tertera mungkin berbeza daripada sebelum ini. Tapi dari segi fungsinya, ia tetap sama iaitu kadar yang bergerak mengikut keadaan pasaran semasa.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
