MBSB Bank kini menawarkan Kempen Pembiayaan Peribadi-i Bagi Rawatan Kesuburan, iaitu kemudahan pembiayaan khas untuk menampung kos rawatan kesuburan di KL Fertility Centre. Tempoh kempen ini berlangsung dari 3 Ogos 2026 hingga 28 Februari 2027. Anda boleh memohon pembiayaan sehingga RM50,000, tanpa perlu meletakkan sebarang deposit sekuriti.
Siapa yang Layak Memohon
Anda layak memohon jika anda pelanggan baharu atau sedia ada MBSB Bank, termasuk kakitangan MBSB Group. Untuk pakej Afdhal-i dan Mumtaz-i, umur minimum anda ialah 19 tahun. Bagi pakej Afdhal Premium-i dan Private Sector-i pula, umur minimum ialah 21 tahun. Had umur maksimum ialah 60 tahun semasa tamat tempoh pembiayaan, atau umur persaraan pilihan anda, bergantung mana yang lebih awal. Anda juga perlu membuka Akaun Semasa-i atau Akaun Simpanan-i (CASA-i) dengan MBSB Bank sebagai salah satu syarat kelayakan permohonan.
Anda juga tidak semestinya perlu menjalani rawatan sendiri untuk memohon. Anda boleh membuat permohonan bagi pihak anak atau pasangan anda. Namun jika anda membenarkan bank menyalurkan dana bagi pihak pesakit lain seperti anak atau pasangan anda, anda perlu bersetuju untuk memberikan indemniti penuh kepada bank daripada sebarang tuntutan, kerugian atau liabiliti yang timbul akibat arahan tersebut.
Kadar Keuntungan Mengikut Pakej
Terdapat empat pakej untuk anda pilih, iaitu Mumtaz-i, Afdhal-i, Afdhal Premium-i dan Private Sector-i. Kadar berbeza mengikut pakej dan tempoh pembiayaan yang anda pilih.
| Pakej | Kadar (Sehingga 3 Tahun) | Kadar (4 Hingga 10 Tahun) |
| Mumtaz-i | KAS + 2.20% = 4.95% setahun | KAS + 2.50% = 5.25% setahun |
| Afdhal-i | KAS + 2.65% = 5.40% setahun | KAS + 2.95% = 5.70% setahun |
| Afdhal Premium-i | KAS + 4.15% = 6.90% setahun | KAS + 4.45% = 7.20% setahun |
| Private Sector-i | KAS + 8.25% = 11.00% setahun | KAS + 8.55% = 11.30% setahun |
Kadar sebenar yang anda akan dapat bergantung kepada penarafan kredit dan penilaian kredit peribadi anda. Walau apa pun pakej yang anda pilih, kadar keuntungan maksimum yang boleh dikenakan ialah 15.00% setahun. Kadar Asas Standard (KAS) pula boleh berubah dari semasa ke semasa, jadi semak angka terkini di laman web rasmi MBSB Bank sebelum anda mohon.
Jika anda memilih pakej Mumtaz-i atau Afdhal-i, ansuran bulanan anda dipotong terus daripada gaji melalui Biro Angkasa, Akauntan General (AG) Negara atau Negeri, atau majikan anda. Untuk pakej Afdhal Premium-i dan Private Sector-i pula, anda boleh membuat bayaran melalui transaksi over-the-counter, Interbank GIRO (IBG), pindahan segera, arahan tetap, atau debit terus.
Jumlah Pembiayaan dan Tempoh Bayaran
Anda boleh mohon pembiayaan bermula dari RM10,000 sehingga RM50,000, dengan tempoh bayaran balik antara 2 hingga 10 tahun. Deposit sekuriti dikecualikan sepenuhnya.
Sekiranya anda mengambil pakej Mumtaz-i atau Afdhal-i, anda turut layak untuk tempoh penangguhan bayaran selama tiga bulan, jika berkenaan. Pakej Afdhal Premium-i dan Private Sector-i tidak menawarkan penangguhan ini.
Keuntungan pembiayaan anda mula dikira secara harian sebaik pembiayaan dikeluarkan, termasuk sepanjang tempoh penangguhan. Ansuran bulanan anda bermula pada hari kelima bulan berikutnya selepas tempoh penangguhan tamat, dan berterusan pada hari kelima setiap bulan sehingga pembiayaan selesai dibayar. Apabila anda menggunakan kaedah pemotongan gaji, potongan hanya bermula pada bulan ketiga selepas pembiayaan dikeluarkan sepenuhnya, jadi Bank baru terima bayaran pertama anda pada bulan keempat.
Senarai Dokumen Permohonan
Anda perlu melengkapkan borang permohonan Pembiayaan Peribadi-i, Surat Pengesahan Rawatan Kesuburan yang sekali gus menjadi kebenaran untuk menyalurkan pembiayaan terus kepada KL Fertility Centre, serta salinan asal invois daripada pusat rawatan tersebut. Dokumen sokongan lain akan dimaklumkan oleh Penasihat Kewangan MBSB Bank mengikut keperluan kes anda.
Sekiranya permohonan lengkap anda dihantar sebelum 12 tengah hari, ia dikreditkan pada hari yang sama. Selepas jam 12 tengah hari, ia akan diproses pada hari bekerja seterusnya. Ini tertakluk kepada Bank menerima semua dokumen sokongan anda, pengesahan pekerjaan, semakan kredit, dan penyelesaian kemudahan sedia ada dengan bank lain.
Wang Disalurkan Terus Ke KL Fertility Centre dan Bukannya Ke Akaun Anda
Pembiayaan ini tidak masuk ke akaun peribadi anda. Sebaliknya, jumlah pembiayaan disalurkan terus kepada KL Fertility Centre berdasarkan invois yang mereka keluarkan.
Anda tidak dibenarkan untuk menggunakan duit sendiri sebagai bayaran pendahuluan untuk rawatan, dan tidak boleh mengemukakan invois yang sama bagi tuntutan semula kepada MBSB Bank. Invois daripada KL Fertility Centre dikira sebagai jumlah muktamad untuk rawatan anda. Jika ada perubahan jumlah, sama ada tambahan atau pengurangan caj, dalam tempoh sebulan dari tarikh invois dikeluarkan, anda perlu hantar invois terkini kepada Penasihat Kewangan.
Rawatan Gagal Atau Perlu Diteruskan, Anda Masih Boleh Mohon Pembiayaan Kedua
Sekiranya rawatan pertama anda tidak berjaya dan anda mahu meneruskan rawatan lanjut, atau merancang kehamilan kedua dan seterusnya, anda boleh mohon pembiayaan kedua dengan kemukakan invois baharu daripada KL Fertility Centre.
Namun, apabila rawatan pertama anda berjaya dan MBSB Bank sudah membayar penuh kepada KL Fertility Centre, sebarang baki yang tidak digunakan akan diselesaikan berdasarkan persetujuan bersama antara anda dan pusat rawatan tersebut. Bank tidak bertanggungjawab atas sebarang pemulangan atau pertikaian berkaitan baki ini.
Sekiranya anda membatalkan pembiayaan selepas wang sudah disalurkan kepada KL Fertility Centre, kemudahan pembiayaan anda tetap berkuat kuasa. Anda masih perlu teruskan ansuran bulanan mengikut terma asal sehingga tamat tempoh pembiayaan atau anda selesaikan awal.
Perlindungan Takaful Sebagai Pilihan
Group Credit Family Takaful (GCFT) juga ditawarkan sebagai pilihan untuk anda, bukannya wajib. Perlindungan ini melunaskan baki pembiayaan anda yang belum dijelaskan sekiranya anda meninggal dunia atau mengalami kehilangan upaya menyeluruh dan kekal. Sumbangan Takaful ditolak terus daripada jumlah pembiayaan anda yang diluluskan, jadi ambil kira potongan ini semasa merancang jumlah pembiayaan yang anda perlukan. Sebaik anda melanggan mana-mana produk Banca Takaful, ia perlu kekal berkuat kuasa sepanjang tempoh pembiayaan anda.
MBSB Bank turut menawarkan produk Banca Takaful tambahan seperti An-Nur dan penulisan wasiat, jika anda mahu tambah perlindungan, tertakluk kepada pembaharuan.
Siapa yang Tidak Layak Untuk Memohon
Kempen ini tidak dibuka kepada bukan warganegara Malaysia. Sekiranya anda pernah disyaki atau terlibat dalam tindakan penipuan berkaitan kemudahan pembiayaan, diisytiharkan muflis, atau tertakluk kepada prosiding kebankrapan, anda turut tidak layak. Begitu juga sekiranya anda ada akaun tertunggak, terlibat transaksi penipuan, atau disyaki dalam kes berkaitan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.
Kelayakan permohonan anda tetap tertakluk kepada penilaian dan kelulusan MBSB Bank. Bank akan memaklumkan sebab jika permohonan anda tidak diluluskan.
Sebelum memohon, sila semak terlebih dahulu terma dan syarat penuh [PDF] serta kadar terkini kerana kadar dan syarat kempen boleh berubah dari semasa ke semasa.
Sokongan Pembiayaan Di Tengah Kadar Kelahiran Yang Menurun
Tawaran pembiayaan ini hadir ketika Malaysia sedang berdepan dengan kadar kelahiran yang semakin menurun dan populasi warga emas di negara ini mencecah 4.2 juta orang atau 12.3% daripada jumlah penduduk (data permulaan) menerusi laporan Anggaran Penduduk Semasa 2026 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Pertambahan semula jadi penduduk iaitu perbezaan antara kelahiran dan kematian yang dicatatkan oleh DOSM juga menunjukkan trend menurun. Perkara ini disebabkan oleh kadar kesuburan yang rendah serta kenaikan bilangan kematian tahunan. Kalau anda sedang merancang rawatan kesuburan, pembiayaan MBSB Bank ini boleh anda pertimbangkan.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
