Apa Perlu Anda Buat Jika Tuan Rumah Enggan Pulangkan Deposit

KONGSI

Apabila tuan rumah buat keputusan untuk tidak mahu pulangkan semula deposit sewa, pasti ramai yang sakit hati lebih-lebih lagi kalau mereka tiba-tiba senyap atau buat potongan yang anda langsung tidak jangka. Kalau anda menyewa pada harga RM2,000 sebulan, itu bermakna sehingga RM7,000 atau lebih wang anda masih dipegang oleh tuan rumah.

Kebanyakan bayaran awal ini mengikut struktur deposit 2+1+0.5 iaitu dua bulan sewa sebagai deposit keselamatan, satu bulan sebagai sewa pendahuluan dan setengah bulan sebagai deposit utiliti. Ada juga tuan rumah yang mengenakan 2+1+1 untuk unit berperabot penuh, dengan bulan tambahan itu untuk menampung perabot serta perkakas.

Deposit keselamatan meliputi kerosakan harta dan sewa yang belum dibayar, manakala deposit utiliti pula untuk menampung bil elektrik, air, atau gas yang tertunggak pada akhir tempoh sewaan. Kedua-dua deposit ini sepatutnya dipulangkan sebaik sahaja tempoh sewaan tamat dan semuanya selesai. Sewa pendahuluan pula untuk sewa bulan pertama dan tidak dipulangkan secara berasingan, jadi bila anda membuat belanjawaan untuk sewaan, deposit-deposit inilah bahagian yang sepatutnya anda dapat semula.

Jika tuan rumah masih belum memulangkan deposit selepas anda berpindah keluar, penyediaan dokumen yang lengkap serta pemahaman yang jelas tentang hak anda akan memudahkan proses mendapatkan semula wang tersebut. 

Mulakan Dengan Perjanjian Anda

Sebelum anda mendesak tuan rumah memulangkan deposit, baca perjanjian sewaan (tenancy agreement) anda dengan teliti. Sebarang pemotongan yang boleh atau tidak boleh dibuat bergantung sepenuhnya pada apa yang telah dipersetujui dan ditandatangani oleh kedua-dua pihak. 

Kebanyakan perjanjian membenarkan tuan rumah membuat pemotongan bagi kerosakan yang melebihi kadar wear and tear biasa, tunggakan sewa, bil utiliti yang belum dijelaskan, atau penamatan sewaan lebih awal. Sesetengah perjanjian juga mewajibkan anda membayar kos pembersihan profesional atau servis penyaman udara sebelum menyerahkan kunci. Semak setiap klausa mengenai pemotongan sebelum anda membuat andaian bahawa anda berhak mendapat jumlah deposit penuh. 

Kadar wear and tear biasa seperti cat yang makin pudar atau kesan cela kecil akibat mendiami rumah tersebut selama satu atau dua tahun secara amnya tidak boleh dikenakan caj oleh tuan rumah. Namun, jika perjanjian anda menyatakan sebaliknya, klausa tersebut boleh dikuatkuasakan. Tuan rumah yang mengenakan caj RM3,000 untuk mengecat semula keseluruhan pangsapuri sedangkan dinding hanya menunjukkan kesan lusuh biasa dikira keterlaluan, tetapi anda perlu menyemak isi kandungan perjanjian terlebih dahulu sebelum membantah. 

Deposit utiliti pula sepatutnya dipulangkan sepenuhnya sebaik sahaja semua bil terakhir dijelaskan. Jika anda mempunyai bukti pembayaran bil elektrik dan air yang terkini, tuan rumah tidak mempunyai alasan untuk menahannya. 

Perjanjian Anda Perlu Penyeteman

Sekiranya berlaku pertikaian mengenai deposit, perjanjian sewaan ialah dokumen utama yang akan anda sandarkan di mahkamah. Di bawah Akta Setem 1949, perjanjian yang tidak dimatikan setem tidak boleh digunakan sebagai bahan bukti sehinggalah ia dimatikan setem. Jika perjanjian anda belum pernah dimatikan setem, anda masih boleh membetulkannya dengan membuat penyeteman lewat melalui sistem e-Duti Setem LHDN dan membayar penalti sebanyak RM50 atau 10% daripada nilai duti setem (mana-mana yang lebih tinggi) jika masih dalam tempoh tiga bulan dari tarikh akhir. Selepas tempoh tersebut, penalti akan meningkat kepada RM100 atau 20%. Setelah selesai, perjanjian anda secara sah boleh diterima di mahkamah (admissible), dan anda boleh menggunakannya untuk membuktikan jumlah deposit, tarikh akhir pemulangan, serta terma-terma lain yang telah dipersetujui.

Jika perjanjian yang telah dimatikan setem itu menyatakan tuan rumah wajib memulangkan deposit dalam tempoh 14 atau 30 hari selepas anda menyerahkan kunci, tarikh akhir itu mengikat secara sah. Sekiranya perjanjian tidak menyatakan sebarang tempoh masa, pihak mahkamah biasanya menganggap 30 hari sebagai tempoh yang munasabah. 

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Deposit Anda Tidak Dipulangkan

Anda boleh mula mengambil tindakan dengan membuat panggilan telefon atau mesej WhatsApp. Panggilan yang tegas tetapi sopan kepada tuan rumah atau ejen mereka, sambil mengingatkan mereka tentang tarikh akhir pemulangan seperti dalam perjanjian, selalunya dapat menyelesaikan isu ini. Jika tuan rumah bersetuju untuk membuat bayaran, susuli dengan mesej bertulis bagi mengesahkan jumlah yang dipersetujui serta tarikh pembayaran. 

Jika cara itu tidak berkesan, anda boleh menghantar surat rasmi tuntutan pemulangan deposit melalui e-mel atau pos berdaftar. Nyatakan tempoh sewaan, jumlah deposit yang telah dibayar, sebarang pemotongan yang telah dipersetujui semasa pemeriksaan akhir,  jumlah yang anda berhak terima, dan butiran akaun bank anda. Rujuk klausa khusus dalam perjanjian anda yang meliputi tempoh bayaran balik. Kebanyakan pertikaian berjaya diselesaikan pada peringkat ini, terutamanya apabila tuan rumah menyedari anda mempunyai dokumen yang lengkap untuk menyokong tuntutan.

Sekiranya masih tiada maklum balas selepas 14 hari, hantarkan Surat Tuntutan (Letter of Demand). Ini ialah dokumen yang lebih rasmi yang menyatakan jumlah yang perlu dibayar, asas undang-undang tuntutan anda, tempoh akhir untuk membayar (biasanya 14 hari), dan niat anda untuk mengambil tindakan undang-undang jika isu ini gagal diselesaikan. Anda boleh menulis surat ini sendiri, ataupun mengupah peguam untuk mendrafnya dengan kos sekitar RM300 hingga RM500 supaya tuntutan tersebut dipandang lebih serius. 

Bawa Kes Ke Mahkamah

Tuntutan deposit RM5,000 ke bawah dibawa ke Mahkamah Tuntutan Kecil. Kosnya cuma RM10 untuk memfailkan, dan peguam tidak dibenarkan dalam prosedur ini, jadi kedua-dua pihak mewakili diri sendiri. Kes biasanya didengar dalam tempoh satu hingga tiga bulan. Bawa perjanjian sewaan anda yang telah dimatikan setem, bukti pembayaran deposit, gambar semasa masuk dan keluar rumah, serta sebarang mesej atau surat antara anda dan tuan rumah. Pastikan semuanya tersusun rapi kerana hakim akan membuat keputusan berdasarkan bukti yang anda bawa.

Untuk tuntutan antara RM5,001 hingga RM100,000, anda perlu ke Mahkamah Majistret. Anda tidak diwajibkan untuk melantik peguam dan boleh wakili diri sendiri di sini juga, walaupun ramai yang memilih untuk mengupah peguam bagi tuntutan yang lebih besar, ia bagaimanapun akan menambah kos guaman yang perlu anda pertimbangkan berbanding jumlah yang anda cuba dapatkan semula. Sekiranya tuan rumah anda potong RM4,000 untuk kerja mengecat dan RM1,500 untuk pembersihan yang tidak dinyatakan dalam perjanjian, ia bermakna RM5,500 yang boleh anda tuntut semula melalui Mahkamah Majistret.

Anda mungkin pernah membaca cadangan di internet untuk membuat aduan di Tribunal Tuntutan Pengguna memandangkan yuran pemfailannya serendah RM5. Namun, laluan ini jarang berkesan untuk pertikaian deposit sewaan. Di bawah Akta Pelindungan Pengguna 1999, tuntutan berkaitan tanah atau kepentingan dalam tanah adalah di luar bidang kuasa tribunal, dan pertikaian sewaan biasanya dikategorikan di bawah urusan tanah. Pemfailan di sana berkemungkinan besar akan ditolak dan membuang masa anda, jadi lebih baik terus menggunakan saluran Mahkamah Tuntutan Kecil atau Mahkamah Majistret. 

Lindungi Diri Anda Dari Awal Lagi

Pada hari pertama berpindah masuk, semak senarai inventori barang (property inventory checklist) bersama tuan rumah atau ejen sebelum menandatanganinya. Kebanyakan perjanjian rumah berperabot akan melampirkan senarai ini, memaparkan setiap barangan beserta keadaannya. Pastikan setiap barang yang disenaraikan wujud dan berfungsi dengan baik, serta catatkan sebarang kerosakan, kotoran, atau kecacatan sedia ada sebelum anda menandatanganinya. Jika tiada senarai inventori disediakan, ambil gambar dan rakam video setiap bilik, dinding, lantai, siling, dan peralatan elektrik, kemudian dapatkan pengesahan bertulis daripada tuan rumah mengenai keadaan tersebut. 

Selain itu, pastikan semua bayaran deposit dibuat secara pemindahan bank (bank transfer) supaya anda mempunyai rekod transaksi yang sah. Baca setiap klausa dalam perjanjian sewaan sebelum menandatanganinya terutamanya mengenai pemotongan deposit, tempoh pemulangan, syarat pembersihan, dan penalti penamatan awal. Pastikan juga perjanjian tersebut dimatikan setem melalui sistem e-Duti Setem LHDN dalam tempoh 30 hari selepas ditandatangani. 

Deposit sewa bukanlah satu jumlah yang kecil, jadi simpan rekod serta bukti persetujuan sepanjang tempoh sewaan anda. Sekiranya berlaku pertikaian mengenai pemotongan atau pemulangan deposit pada masa hadapan, pegangan bukti yang kukuh akan meletakkan anda di posisi yang jauh lebih selamat. 

Mahu lebih banyak perkongsian dan tip kewangan? Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen