AmBank Lancar Kad Debit Mastercard Baharu, Tawar Pulangan Tunai 30%

KONGSI

AmBank kini memperkenalkan Kad Debit Mastercard baharu, direka untuk anda yang kerap berbelanja dalam dan luar negara. Selain manfaat tetap, kad ini turut menyertakan beberapa kempen ganjaran dan promosi dengan produk lain AmBank.

Kebanyakan kempen ganjaran dalam kad ini turut terbuka kepada pemegang Kad Debit Mastercard AmBank sedia ada yang aktif. Anda tak semestinya perlu tukar ke reka bentuk kad baharu untuk layak, asalkan kad sedia ada anda aktif, anda dah boleh sertai kempen-kempen ini. 

Manfaat Tetap Kad Ini

Kad ini mengetepikan yuran transaksi asing AmBank untuk pembelian luar negara, jadi perbelanjaan antarabangsa anda dikira menggunakan kadar pertukaran Mastercard tanpa sebarang yuran tambahan daripada bank. Setiap kali anda menambah nilai Touch ‘n Go eWallet, GrabPay atau ShopeePay, tiada lagi caj 1% yang akan dikenakan. Yuran pengeluaran tunai di ATM bank lain dalam negara juga diketepikan sepenuhnya.

Pulangan Tunai Sehingga RM30 Sebulan Untuk Bil Automatik

Dari 1 Julai 2026 hingga 30 Jun 2027, anda boleh mendapatkan pulangan tunai 30% untuk pembayaran automatik di pedagang tertentu seperti Netflix, Spotify, Disney+, YouTube, Google Play, iQIYI, CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, Unifi, TNB, Air Selangor, atau langganan AI seperti ChatGPT, Claude dan Gemini.

Syaratnya ialah anda perlu mengekalkan baki purata bulanan (MAB) sekurang-kurangnya RM500. Buat tiga transaksi layak sebulan, pulangan tunai anda dihadkan kepada RM10 sahaja. Buat lima transaksi layak sebulan, had pulangan tunai anda akan dinaikkan ke RM30 sebulan, tertakluk kepada had keseluruhan RM20,000 sebulan merentasi semua pelanggan. Pemilihan pemenang berasaskan siapa cepat, dia dapat, dan tertakluk kepada budi bicara AmBank.

Yuran ATM Luar Negara Turut Dikecualikan

Yuran RM10 yang biasa dikenakan untuk pengeluaran ATM luar negara turut dikecualikan sehingga 30 Jun 2027, dengan tiada had jumlah pengeluaran. Pengecualian ini tidak termasuk sebarang caj pihak ketiga yang dikenakan oleh bank luar negara.

Dua Akses Percuma Plaza Premium Lounge Setiap Bulan

Jika anda mengekalkan baki sekurang-kurangnya RM10,000 dalam akaun sepanjang sebulan lepas, dan buat sekurang-kurangnya lima transaksi Kad Debit dalam tempoh sama, anda layak untuk mendapat dua akses percuma Plaza Premium Lounge pada bulan berikutnya, di KLIA 1, KLIA 2, Pulau Pinang, Langkawi dan Senai. Kelayakan ini boleh berulang setiap bulan selagi syarat dipenuhi, dan tawaran ini sah sehingga 7 Januari 2027. Jumlah keseluruhan penebusan dihadkan kepada 4,000 sepanjang tempoh kempen.

Diskaun Tambahan Melalui AmBank SPOT dan Priceless

Anda juga layak mendapat diskaun 10% untuk tempahan hotel antarabangsa dan tarikan pelancongan dalam negara melalui platform partner AmBank, serta diskaun 35% untuk langganan tahunan iQIYI Standard VIP dengan kod AMBANKMC. Kedua-dua tawaran ini tertakluk kepada terma platform masing-masing.

Peluang Untuk Memenangi Kredit Touch ‘n Go Sehingga RM10,000

Dari 1 Julai hingga 30 September 2026, AmBank turut menjalankan Kempen Ganjaran Lebih Kad Debit Mastercard. Anda layak mendapat RM10 kredit Touch ‘n Go selepas aktifkan Kad Debit buat kali pertama dan berbelanja dua kali (minimum RM10 setiap transaksi), ini termasuk pelanggan baharu dan pelanggan sedia ada yang belum pernah mengaktifkan Kad Debit AmBank sebelum ini. Berbelanja minimum RM500 dalam sebulan pula beri RM50 kredit tambahan.

Setiap perbelanjaan turut mengumpul penyertaan untuk Hadiah Utama RM10,000 kredit Touch ‘n Go sebulan, dengan satu pemenang dipilih setiap bulan melalui sesi soal jawab telefon daripada 30 calon tersenarai pendek. Hadiah Utama ini sebenarnya dibayar sebagai dua kredit berasingan RM5,000, disebabkan tambah nilai Touch ‘n Go dihadkan sebanyak RM8,000 sahaja dalam sebulan. Jumlah keseluruhan kekal RM10,000.

Kad Ini Beri Penyertaan Tambahan Dalam Kempen AmRewards 6.0 

Buat sekurang-kurangnya tiga transaksi sebulan dengan Kad Debit ini dan anda turut diberikan penyertaan tambahan dalam Kempen AmRewards 6.0, yang berjalan dari 1 Julai 2026 hingga 30 Jun 2027 untuk pemegang Akaun Simpanan-i AmWafeeq. Kempen ini tawarkan lebih 10,000 hadiah, termasuk percutian ke Bora Bora, Sweden dan Madagascar, kenderaan elektrik Volvo EX30 dan Proton e-Mas 5, cabutan khas suku tahunan ke Yunnan, Jepun, Cappadocia dan New Zealand, serta hadiah tunai bulanan dan suku tahunan.

Sehingga RM100 Untuk Pelanggan Baharu Yang Buka Akaun

Kad debit baharu ini turut sekali dengan Kempen Pembukaan Akaun CASA/CASA-i New to Bank melalui AmOnline. Pelanggan baharu yang buka akaun simpanan atau semasa yang layak (seperti TRUE Savers, eFlex Savings atau AmWafeeq Savings-i) melalui aplikasi AmOnline boleh menerima RM10 pulangan tunai serta-merta, dengan tambahan sehingga RM90 lagi dengan mengekalkan baki minimum sepanjang tiga bulan pertama. Kempen ini berjalan dari 1 Julai hingga 31 Oktober 2026, atau sehingga jumlah bayaran maksimum RM130,000 dicapai, mana-mana yang terdahulu.

Cara Anda Boleh Memohon atau Ganti Kad

Sekiranya anda merupakan pelanggan baharu, anda boleh memohon kad ini dengan membuka akaun melalui aplikasi AmOnline, atau datang terus ke cawangan AmBank berhampiran. Kalau anda sudah memiliki Kad Debit Mastercard AmBank dan ingin tukar ke reka bentuk baharu, anda boleh mohon penggantian melalui aplikasi AmOnline, dengan caj penggantian RM12 dikenakan pada kad baharu anda. Anda juga boleh buat penggantian di cawangan sebagai alternatif.

Penggantian ini pilihan sahaja untuk anda yang mahu reka bentuk kad baharu. Anda tidak perlu buat penggantian untuk layak sertai mana-mana kempen ganjaran di atas, selagi Kad Debit Mastercard AmBank sedia ada anda masih aktif. 

Untuk mengaktifkan kad anda, muat turun aplikasi AmOnline, cari fungsi “Activate Card”, log masuk dan sahkan melalui AmSecure.

Sesetengah tawaran ini tertakluk kepada had kelayakan dan bilangan pemenang, jadi sila semak terma dan syarat penuh setiap kempen di laman web AmBank sebelum anda memohon.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.  

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen