Melaka Bakal Sediakan Subsidi Servis Motosikal Untuk Penunggang P-Hailing

KONGSI

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan kerajaan negeri bakal memperkenalkan subsidi penyelenggaraan motosikal khusus untuk lebih 3,000 penunggang p-hailing di negeri itu. Peruntukan bagi inisiatif ini akan dibawa ke mesyuarat Exco minggu ini, dengan butiran penuh dijangka diumumkan minggu hadapan.

Jika anda seorang penunggang p-hailing yang beroperasi di Melaka, anda belum boleh memohon subsidi ini sekarang. Anda perlu tunggu pengumuman rasmi minggu depan.

Berapa Banyak Subsidi Yang Anda Bakal Terima

Anda bakal menerima subsidi antara 20% hingga 30% daripada jumlah kos keseluruhan servis motosikal. Subsidi ini hanya sah di bengkel motosikal yang bakal dilantik di setiap DUN, bukan mana-mana bengkel pilihan anda sendiri.

Menurut Ab Rauf, kebajikan golongan ini sentiasa dalam perhatian kerajaan negeri, dan inisiatif terbabit selaras dengan konsep Melaka Sayang Rakyat (MeSRa). Proses pendaftaran untuk bengkel yang layak, serta penyedia perkhidmatan seperti Grab, Foodpanda dan Shopee, akan diumumkan tidak lama lagi.

Ab Rauf Rasai Sendiri Pengalaman Jadi Penunggang P-Hailing 

Sebelum mengumumkan inisiatif ini, Ab Rauf turun padang untuk merasai sendiri pengalaman menjadi penghantar makanan dalam tempoh sehari, beliau mengambil tempahan dan menghantarnya di sekitar Pengkalan Balak dan bandar Masjid Tanah pada 1 September 2026. Katanya, pengalaman itu membantu beliau memahami cabaran harian yang dihadapi penunggang p-hailing seperti anda dalam menyara keluarga.

Perlindungan PERKESO Turut Dikaji

Selain subsidi servis motosikal, kerajaan negeri Melaka turut mengkaji cara memperluas sumbangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk pekerja p-hailing. Ab Rauf berkata ekonomi digital telah mengubah cara hidup, cara berniaga dan corak pekerjaan rakyat Malaysia, menjadikan p-hailing salah satu sektor penting dalam bidang itu.

Sebagai pekerja gig, anda turut dilindungi PERKESO secara automatik sebaik mendaftar dengan platform dan menerima tugasan pertama, di bawah Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872). Perlindungan ini kekal aktif walaupun anda tidak menerima tempahan selama beberapa hari, atau belum sempat membayar caruman bulanan minimum sebanyak RM13.10. Anda boleh semak status caruman melalui aplikasi Prihatin yang boleh dimuat turun di Google Play dan App Store

Kampung Bakal Ada Alamat Rasmi

Usaha memantapkan p-hailing di Melaka turut sejajar dengan hasrat menjadikan negeri itu lebih digital. Antaranya, kerajaan negeri merancang melaksanakan sistem alamat rasmi di kawasan kampung yang masih tiada alamat formal, supaya perkhidmatan kerajaan sampai kepada rakyat dengan pantas dan cekap, setanding sistem penghantaran yang anda jalankan setiap hari. 

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.  

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen