Sebanyak 700 slot geran kini dibuka untuk usahawan India kategori B40 dan M40 yang ingin mengembangkan operasi perniagaan mereka. Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) mengumumkan Program Geran Startup Usahawan India (Uyarvu MADANI) Tahun 2026 ini menawarkan bantuan kewangan sehingga RM50,000 mengikut tempoh operasi syarikat.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan menegaskan bahawa dana ini bukan sekadar bantuan kewangan sementara, sebaliknya ia berfungsi sebagai pelaburan jangka panjang bagi melahirkan syarikat komuniti yang berdaya saing tinggi. Fokus insentif ini juga untuk membantu perniagaan sedia ada ke tahap lebih kukuh, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan baharu.
Tiga Kategori Mengikut Bidang Perniagaan dan Tempoh
Jumlah geran yang boleh dipohon ditentukan sepenuhnya oleh bidang atau sektor perniagaan yang anda jalankan. Tempoh operasi syarikat pula bertindak sebagai julat tahun wajib (had minimum dan maksimum) yang mesti dipenuhi bagi kategori sektor tersebut.
MITRA telah menetapkan 29 bidang perniagaan yang dibahagikan terus kepada 3 kategori utama:
- Kategori MICRO (Geran sehingga RM20,000): Lima bidang iaitu Perniagaan dalam Talian, Jahitan dan Fesyen, Kraftangan dan Produk Komuniti, Fotografi dan Videografi dan Bisnes dari Rumah (Home-based).
- Kategori GROWTH (Geran sehingga RM35,000): Merangkumi 15 bidang seperti Restoran/Katering (F&B), Kedai Runcit, Salun/Kecantikan, Logistik/Lori Sewa, Percetakan, dan Content Creator/TikToker.
- Kategori HIGH (Geran sehingga RM50,000): Melibatkan 9 bidang industri berat atau profesional seperti Bengkel Automotif, Pertanian/Ternakan, Kontraktor/Pembinaan, Kitar Semula, dan Servis Profesional (Akauntan/HR).
Anda juga perlu memastikan tempoh operasi syarikat anda berada tepat di dalam julat tahun yang ditetapkan:
- Jika bidang anda dalam MICRO, syarikat mesti sudah beroperasi antara satu hingga tiga tahun.
- Jika bidang anda dalam GROWTH, syarikat mesti sudah beroperasi antara empat hingga enam tahun.
- Jika bidang anda dalam HIGH, syarikat mesti sudah beroperasi tujuh tahun dan ke atas.
Geran ini tidak dikreditkan secara sekali gus. Bayaran dibuat mengikut fasa tertentu dan terikat dengan pencapaian sasaran dalam pelan perniagaan anda. Penerima Micro menerima geran dalam dua fasa, manakala Growth dan High dalam tiga fasa. Fasa pertama dibayar selepas permohonan diluluskan, dan baki fasa berikutnya hanya disalurkan selepas MITRA mengesahkan penggunaan dana dan kemajuan perniagaan anda.
Siapa yang Layak Memohon?
Program ini menyasarkan usahawan India dalam kategori B40 dan M40, jadi tidak semua perniagaan layak. Untuk memohon, anda perlu memenuhi syarat-syarat berikut:
- Warganegara Malaysia berketurunan India dalam kategori B40 atau M40
- Berumur antara 21 hingga 55 tahun
- Tidak diisytiharkan muflis
- Mempunyai perniagaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengikut tempoh operasi kategori masing-masing
- Mempunyai akaun bank aktif atas nama syarikat
- Bukan penerima bantuan Malaysian Indian Transformative Agri Programme (MITAP) 2024 atau Malaysian Indian Community Entrepreneurship Programme (MICEP) 2024.
Bagi kategori Growth dan High, anda juga perlu mengemukakan penyata cukai terkini, iaitu Borang B bagi tahun 2025, Borang C bagi tahun 2025/2026, atau laporan juruaudit kewangan tahun 2025/2026. Satu isi rumah hanya boleh menghantar satu permohonan sahaja. Anda juga perlu menyediakan pelan perniagaan menggunakan borang yang disertakan dalam Garis Panduan rasmi MITRA [PDF].
Mohon Melalui Google Form, Bukan Ejen
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan Google Form rasmi MITRA yang telah dibuka sejak 29 Jun 2026 (jam 10:00 pagi) hingga 13 Julai 2026 (jam 5:00 petang). Walau bagaimanapun, sistem akan ditutup serta-merta sebaik sahaja menerima had maksimum 1,500 permohonan mengikut ‘siapa cepat, dia dapat’.
MITRA turut menegaskan bahawa mereka tidak melantik mana-mana individu, ejen, atau pihak ketiga sebagai orang tengah untuk urusan permohonan. Jika ada pihak yang mendakwa boleh “menguruskan” kelulusan anda dengan bayaran, itu adalah satu penipuan. Berurusan hanya melalui saluran rasmi MITRA sahaja.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
