Kos penerbangan Malaysia Airlines kini semakin meningkat berbanding beberapa bulan lalu. Syarikat penerbangan itu telah menaikkan harga tiket antara 20% hingga 30% akibat lonjakan mendadak pada harga bahan api global susulan ketegangan geopolitik yang berlaku di Timur Tengah sejak akhir Februari lalu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Nasaruddin A. Bakar, mengesahkan langkah tersebut semasa mengadakan lawatan kerja ke Media Prima. Beliau menjelaskan bahawa kenaikan itu selaras dengan tindakan yang diambil oleh syarikat penerbangan lain, baik di peringkat serantau mahupun global. Kos bahan api yang biasanya merangkumi kira-kira 30% daripada keseluruhan kos operasi Malaysia Airlines, kini melonjak sehingga mencecah hampir 50%.
Strategi ‘Lindung Nilai’ dan Kawalan Kos MAG
Bagi mengurangkan impak pasaran, MAG telah melaksanakan strategi lindung nilai (hedging) bagi kira-kira 36% daripada keperluan bahan apinya untuk tahun 2026. Strategi ini berfungsi dengan cara menetapkan harga pembelian bahan api pada kadar tetap. Ia sekali gus melindungi syarikat daripada kesan langsung sekiranya harga pasaran melambung tinggi.
Walau bagaimanapun, langkah lindung nilai ini hanya mampu menampung sebahagian daripada risiko berkenaan. Baki kos selebihnya terpaksa diuruskan melalui kombinasi pelarasan harga tiket, penjadualan semula rangkaian penerbangan, serta beralih kepada penggunaan pesawat yang lebih menjimatkan bahan api.
Permintaan Kekal Tinggi Walaupun Harga Tiket Meningkat
Setakat ini, kenaikan tambang tersebut dilihat tidak menjejaskan minat orang ramai untuk melancong. Menurut Nasaruddin, kadar isian penumpang (load factor) bagi keseluruhan rangkaian Malaysia Airlines ketika ini amat memberangsangkan dengan purata sekitar 84%, malah terdapat beberapa laluan popular yang mencatatkan kadar sehingga 95%.
Laluan jarak jauh ke Eropah, terutamanya London, terus menyaksikan permintaan yang sangat tinggi sehingga syarikat penerbangan terpaksa menambah kekerapan penerbangan bagi menampung jumlah penumpang. Aliran ini turut dibantu oleh pelancong dari Australia dan New Zealand yang menuju ke Eropah. Mereka kini lebih gemar memilih untuk transit di Kuala Lumpur bagi mengelakkan laluan ruang udara Asia Barat yang terkesan akibat konflik berterusan.
Pesawat Baharu Mampu Tingkatkan Kecekapan Operasi
Sebagai rancangan jangka panjang, MAG telah menempah sebanyak 95 buah pesawat baharu bagi memperkukuhkan lagi usaha untuk meningkatkan kecekapan operasi. Pesawat model baharu ini dijangka mampu mengurangkan penggunaan bahan api antara 12% hingga 15%. Difahamkan, 27 buah pesawat daripadanya telah pun selamat diterima.
Namun, kesan penjimatan ini akan mengambil masa sebelum dapat dirasai secara menyeluruh merentasi keseluruhan operasi. Memandangkan pesawat baharu ini membakar lebih sedikit bahan api bagi setiap penumpang bagi setiap kilometer, pihak MAG kini mengutamakan penggunaannya bagi laluan-laluan yang paling sibuk dan paling jauh terlebih dahulu.
Tips Merancang Bajet Percutian
Trend kenaikan harga tiket ini sebenarnya tidak terhad kepada Malaysia Airlines sahaja. Awal tahun ini, AirAsia telah pun menaikkan tambang mereka sehingga 40%, manakala syarikat penerbangan serantau lain di Asia Tenggara juga mengambil pendekatan serupa bagi mendepani krisis harga bahan api ini.
Sebagai gambaran, bagi penerbangan pergi-balik ke London menaiki Malaysia Airlines, kenaikan antara 20% hingga 30% ini boleh meningkatkan kos perbelanjaan anda sebanyak beberapa ratus Ringgit berbanding harga pada awal tahun. Perkara yang sama turut berlaku bagi laluan-laluan domestik dan serantau yang popular.
Bukan itu sahaja, kos pelancongan lain seperti sewaan bas, van persiaran dan kadar penginapan hotel juga boleh berubah dari semasa ke semasa. Jadi, jika anda sedang merancang percutian, pastikan anda mengambil kira kos-kos tambahan lebih awal bagi memastikan bajet anda masih terkawal. Dalam masa sama, gunakan kad kredit pelancongan yang dapat memberi pelbagai manfaat seperti mata ganjaran penerbangan (air miles), 0% caj transaksi luar negara, pulangan tunai dan insurans perjalanan percuma bagi membantu mengurangkan sebahagian kos tiket tersebut.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
