Inisiatif BAKAT MADANI Sasar 25,000 Penerima Manfaat

KONGSI

Kerajaan telah melancarkan Inisiatif BAKAT MADANI iaitu sebuah pelan strategik nasional yang menyatukan PETRONAS, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dalam memperkasakan pembangunan bakat negara. Dalam tempoh setahun bermula pertengahan 2026, inisiatif ini menyasarkan seramai 25,000 individu akan menerima manfaat melalui peluang mengikuti pembangunan kemahiran, pekerjaan berkualiti serta mobiliti sosial yang lebih baik. 

Bagi mereka yang sedang mencari kerja, graduan dan belia Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), langkah ini menjadi penghubung penting untuk mendekati ekosistem korporat gergasi negara. 

Sektor Utama dan Fokus Kepada Gaji Yang Lebih Adil

Pelaksanaan BAKAT MADANI kali ini memberi tumpuan kepada beberapa sektor utama. Melalui inisiatif ini, para peserta akan dilatih dan berpeluang ditempatkan secara langsung di dalam rangkaian korporat besar di bawah ekosistem GLIC, GLC dan PETRONAS. Latihan tertumpu kepada sektor berpotensi besar seperti semikonduktor, tenaga boleh baharu, ekonomi digital dan pembuatan termaju.

Sebagai usaha menambah baik insentif kebolehpasaran sedia ada, kerajaan akan memperkenalkan peningkatan kadar elaun minimum bagi memastikan para pelatih menerima ganjaran yang lebih adil dan kompetitif. Menariknya, liputan insentif ini turut diperluas kepada lepasan TVET. Bagi menggalakkan penyertaan industri secara lebih meluas, syarikat yang melaksanakan program latihan di bawah inisiatif ini bakal menikmati potongan cukai istimewa. 

Setakat ini, perincian lanjut mengenai pelaksanaan insentif serta struktur elaun tersebut sedang dimuktamadkan oleh Kementerian Kewangan untuk diumumkan dalam masa terdekat.

Akses Terbuka Kepada Golongan Sasar

Program ini direka dengan prinsip Modal Ihsan sebagai teras pengambilan, terutamanya bagi kelompok yang sering terlepas pandang dalam pasaran kerja korporat. Selain graduan universiti dan belia TVET, peluang peningkatan kemahiran serta penempatan kerjaya ini dibuka luas kepada individu daripada isi rumah B40 dan golongan asnaf. Malah, inisiatif ini turut menyediakan ruang buat individu yang memerlukan peluang kedua di dalam masyarakat, serta bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini sedang melalui fasa peralihan kerjaya.

Vista i-Plus dan Rangkaian Universiti

Bagi sektor TVET, program VISTA kendalian PETRONAS kini ditransformasikan kepada model bersepadu Vista i-Plus. Program ini menggabungkan kepakaran HRD Corp, MPRC, MOGSC, dan Kontraktor Pengaturan Petroleum (PAC) bersama institusi teknikal utama seperti Institut Kemahiran MARA (IKM), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Advanced Technology Training Centre (ADTEC) dan Akademi Binaan Malaysia (ABM). 

Di peringkat akademik pula, Khazanah Nasional Berhad mengetuai kerjasama melibatkan 23 institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi menyediakan bakat muda menghadapi alam pekerjaan melalui latihan industri, pensijilan teknikal dan pendedahan kepada keperluan industri.

BAKAT MADANI menghubungkan bakat rakyat dengan peluang ekonomi masa depan, membolehkan graduan, belia TVET dan golongan rentan mendapat akses kepada latihan, pensijilan dan pekerjaan berkualiti dalam sektor bernilai tinggi.

Untuk maklumat lanjut mengenai Inisiatif BAKAT MADANI, anda boleh layari laman web rasmi Kementerian Kewangan Malaysia.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen