MOF Kaji Makanan Segar Bawah SARA, Kategori Sejuk Beku Sudah Diperluas

KONGSI

Buat makluman kepada penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA), makanan segar masih belum boleh dibeli menggunakan bantuan ini. Berdasarkan laporan The Malaysian Reserve, Kementerian Kewangan (MOF) menerusi Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Dewan Negara pada 3 Ogos 2026 yang lalu berkata ianya masih dalam kajian.

Makanan Sejuk Beku Sudah Dalam Senarai SARA, Makanan Segar Masih Dikaji 

Menurut Amir Hamzah, bagi makanan segar, kerajaan sedang menjalankan kajian lanjut bagi memastikan kualiti, keselamatan makanan dan perlindungan pengguna dapat dikekalkan sebelum sebarang keputusan besar dibuat.

Sejak Februari 2026, makanan sejuk beku pula sudah boleh dibeli dengan SARA sebagai kategori baharu, menjadikan SARA kini merangkumi 15 kategori barangan asas, termasuk makanan asas, produk penjagaan diri, barangan pembersihan rumah dan ubat-ubatan. Peruntukan untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA turut naik daripada RM10 bilion pada 2024 kepada RM15 bilion pada 2026.

Anda boleh menggunakan SARA untuk membeli lebih 140,000 produk, antaranya beras, tepung, bahan masakan, roti, telur, susu, susu formula bayi, produk kebersihan diri, barangan pembersihan rumah, alat tulis sekolah, ayam sejuk beku dan makanan laut sejuk beku.

Lebih Banyak Kedai Runcit Terima SARA

Kerajaan juga telah memperluas liputan SARA kepada lebih 14,000 kedai runcit dan pasar, dengan lebih 6,000 antaranya ialah kedai runcit kecil dan koperasi. Kerajaan menyasarkan bilangan peruncit kecil meningkat kepada 10,000 menjelang akhir tahun ini. Jarak maksimum ke gerai yang menerima pembayaran SARA terdekat juga akan dikurangkan daripada 10km kepada 7km. Amir Hamzah turut menjawab soalan berkaitan penyertaan kedai serbaneka dan pasar mini stesen minyak dalam SARA. Beliau berkata kebanyakan kedai serbaneka tidak memenuhi syarat asas jualan SARA iaitu menawarkan barangan asas seperti beras dan minyak masak. 

Untuk makluman, hampir sembilan juta penerima sudah memanfaatkan SARA, dengan kadar penggunaan bulanan sentiasa melebihi 99%. Bagi program SARA Untuk Semua pula, kira-kira 22 juta rakyat telah membuat perbelanjaan iaitu 87% daripada keseluruhan jumlah penerima, dengan nilai transaksi di pasaran tempatan melebihi RM1.77 bilion.

Kadar Diskaun Peniaga 1% Masih Kekal

Senator Tan Sri Datuk Low Kian Chuan bertanya sama ada kadar diskaun peniaga (MDR) 1% ke atas transaksi SARA boleh dikurangkan atau dihapuskan, dan sama ada SARA boleh diperluas untuk bil utiliti dan petrol.

Amir Hamzah berkata kadar 1% ini selaras dengan amalan pasaran semasa bagi transaksi bukan tunai seperti kad debit dan kad kredit, dan tidak membebankan perniagaan secara tidak munasabah. Beliau menambah bahawa kerajaan masih terbuka untuk menyemak semula kadar ini, terutamanya untuk meringankan beban peniaga kecil. “Kerajaan sentiasa menilai cadangan daripada semua pihak, termasuk cadangan untuk mengurangkan caj yang dikenakan ke atas peniaga, dan kadar ini akan disemak dari semasa ke semasa,” katanya. Buat masa ini, SARA kekal fokus kepada barangan asas sahaja dan tidak merangkumi utiliti atau bahan api. 

Amir Hamzah menjelaskan MDR yang dikutip oleh Yayasan MyKasih digunakan untuk membiayai kos operasi program, termasuk pembangunan dan penyelenggaraan pangkalan data, integrasi sistem tempat jualan, peralatan pengimbas, sambungan rangkaian, latihan peniaga, pemantauan transaksi, serta langkah audit dan keselamatan. 

Anda boleh melakukan semakan kelayakan, baki terkumpul atau senarai kedai berdekatan yang menerima SARA di portal rasmi SARA.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.   

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen