Jika anda berurusan dengan agensi pelancongan untuk pakej outbound atau umrah, ada satu perkembangan terbaru yang perlu anda tahu.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) telah menunda tarikh pelaksanaan Jaminan Bank bagi agensi-agensi ini. Tarikh asal yang ditetapkan pada 15 Mei 2026 kini bertukar kepada 1 Januari 2027.
Apa Itu Jaminan Bank?
Untuk pengetahuan anda, Jaminan Bank adalah mekanisme perlindungan pengguna yang direka untuk membendung kes penipuan dalam urusan pelancongan dan umrah. Ia dilaksanakan berdasarkan peraturan 6 (1)(m) Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Perniagaan Agensi Pengembaraan) 1992.
Secara ringkasnya, ia adalah satu bentuk jaminan kewangan yang perlu ada pada agensi pelancongan sebagai lapisan perlindungan kepada pengguna. Selain melindungi pengguna, mekanisme ini juga bertujuan meningkatkan integriti dan profesionalisme dalam industri pelancongan Malaysia.
Kenapa Jaminan Bank Ditangguhkan?
MOTAC menyebut konflik yang berlaku di Asia Tengah sebagai faktor utama. Situasi itu memberi kesan kepada industri pelancongan global, termasuk operasi dan kedudukan kewangan sebahagian pemain industri tempatan.
Dengan penangguhan ini, industri pelancongan diberi ruang masa yang lebih untuk bersedia sebelum mekanisme ini dikuatkuasakan sepenuhnya pada 1 Januari 2027.
MOTAC Ambil Kira Pandangan dan Maklum Balas Persatuan Industri dan Pihak Berkepentingan
MOTAC menyatakan bahawa keputusan ini dibuat selepas mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada persatuan industri serta pelbagai pihak berkepentingan yang lain. Kementerian turut menegaskan bahawa langkah ini berasaskan kepentingan awam (public interest), bertujuan mengimbangi perlindungan pengguna dengan kelangsungan industri.
MOTAC juga komited untuk memastikan mekanisme ini akhirnya dilaksanakan secara menyeluruh dan teratur tanpa menjejaskan kelangsungan industri pelancongan negara.
Buat masa ini, tiada perubahan lain selain penangguhan tarikh. Sebarang maklumat lanjut akan diumumkan melalui saluran rasmi MOTAC.
Untuk perkembangan terkini, anda boleh ikuti media sosial MOTAC di Facebook, Instagram, X dan TikTok melalui akaun rasmi @mymotac.
Jika anda sedang dalam perancangan untuk melancong ke luar negara, artikel kami tentang di mana anda boleh menukar mata wang sebelum penerbangan boleh membantu anda.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
