Di Mana Anda Patut Tukar Duit Sebelum Pergi Melancong?

Seorang pelancong memegang pelbagai mata wang asing di tangannya dalam kawasan lapangan terbang.
KONGSI

Merancang perjalanan ke luar negara bukan sekadar tempah tiket dan hotel. Cara anda mengurus dan menukar wang juga boleh memberi kesan besar kepada bajet anda. Kadar tukaran, caj tersembunyi, atau membuat keputusan di saat akhir sering menyebabkan kos jadi lebih tinggi daripada yang dijangka.

Selain caj transaksi luar negara untuk kad kredit, keputusan seperti di mana ingin menukar wang, berapa banyak tunai perlu dibawa, dan bila patut guna kad atau ATM semuanya memainkan peranan dalam jumlah perbelanjaan keseluruhan.

Di Mana Nak Tukar Duit di Malaysia

Pengurup Wang Berlesen

Pengurup wang (money changer) berlesen biasanya menawarkan kadar tukaran yang paling kompetitif di Malaysia, terutamanya untuk mata wang popular seperti USD, EUR, SGD, JPY, dan THB. Pengurup wang ini biasanya terdapat di pusat membeli-belah dan kawasan komersial seperti Mid Valley, KLCC, dan Bukit Bintang, di mana anda boleh bandingkan kadar yang dikenakan sebelum membuat pertukaran.

Pastikan pengurup wang memaparkan lesen sah daripada Bank Negara Malaysia.

Bank

Bank merupakan pilihan yang selamat dan berguna untuk mata wang yang kurang didagangkan. Namun, kadar tukaran biasanya kurang menarik berbanding pengurup wang kerana terdapat kos tambahan dan perlindungan terhadap turun naik mata wang. Ini bermakna, anda dapat kurang mata wang asing untuk jumlah ringgit yang sama.

Bank lebih sesuai jika anda utamakan kemudahan atau ketersediaan mata wang berbanding kadar terbaik.

Kaunter Tukaran di Lapangan Terbang

Kaunter tukaran wang di lapangan terbang sememangnya dapat memudahkan anda, tetapi kadar yang ditawarkan biasanya kurang kompetitif. Jika terpaksa tukar di sini, tukar hanya sekadar untuk perbelanjaan segera seperti pengangkutan atau makanan.

Platform Tukaran Wang Dalam Talian

Sesetengah platform membolehkan anda mengunci kadar tukaran secara dalam talian dan mengambil tunai kemudian di lokasi tertentu. Pilihan ini sesuai jika anda mahu kepastian kadar sebelum berlepas, walaupun ketersediaannya bergantung pada mata wang yang dipilih.

Berapa Banyak Tunai Perlu Dibawa?

Jumlah yang sesuai bergantung pada destinasi dan cara anda berbelanja..

Sebagai panduan, bawa tunai yang cukup untuk dua hingga tiga hari perbelanjaan asas seperti pengangkutan, makan, dan pembelian kecil. Ini boleh jadi sandaran jika kad tidak diterima atau anda bertemu peniaga yang hanya menerima tunai.

Di negara yang mesra kad seperti Jepun, Singapura, Korea Selatan, atau kebanyakan negara Eropah, kad boleh digunakan untuk hampir semua transaksi. Namun, bagi destinasi yang masih mengutamakan tunai seperti Vietnam, Indonesia, atau kawasan luar bandar di Thailand, anda mungkin perlu bawa lebih banyak wang tunai.

Wang tunai yang hilang sukar diganti, manakala kad boleh disekat dan diganti. Dari sudut keselamatan, kad adalah lebih selamat jika jumlah wang yang ingin dibawa agak banyak.

Menggunakan Kad Malaysia di Luar Negara

Kebanyakan kad debit dan kredit Malaysia boleh digunakan di peringkat antarabangsa, tetapi tahap penerimaannya adalah berbeza mengikut tempat.

Kad debit biasanya digunakan untuk pengeluaran ATM dan mungkin perlu diaktifkan terlebih dahulu untuk penggunaan di luar negara. Kad kredit pula lebih mudah diterima di hotel, syarikat penerbangan, dan peniaga besar, serta menawarkan perlindungan dari penipuan yang lebih baik.

Visa dan Mastercard menggunakan kadar tukaran rangkaian mereka sendiri, tetapi kebanyakan kad Malaysia mengenakan caj transaksi luar negara sekitar 2% hingga 2.5% bagi setiap transaksi. Bagi mereka yang banyak bergantung pada kad, memahami bagaimana caj ini berfungsi dapat membantu anda jimat dalam jangka panjang.

Dynamic Currency Conversion

Dynamic Currency Conversion (DCC) berlaku apabila peniaga atau ATM menawarkan untuk mengenakan caj dalam ringgit Malaysia berbanding mata wang tempatan.

Dalam situasi ini, kadar tukaran ditetapkan oleh peniaga atau pengendali ATM, bukan rangkaian kad. Ini selalunya datang dengan caj tambahan. Memilih untuk membayar dalam mata wang tempatan biasanya menjadikan kosnya lebih rendah.

Patut Ke Guna ATM di Luar Negara?

Mengeluarkan wang tunai di luar negara memang mudah, tetapi caj boleh terkumpul dengan cepat.

Bank Malaysia biasanya mengenakan caj pengeluaran luar negara dan caj pertukaran mata wang. Pengendali ATM luar negara pula mungkin mengenakan caj tambahan.

Untuk mengurangkan kos, keluarkan jumlah wang yang lebih besar untuk setiap transaksi tetapi jangan terlalu kerap, dan gunakan ATM daripada bank utama. Mesin ATM di kawasan pelancongan selalunya mengenakan caj lebih tinggi dan sebaiknya dielakkan.

Cara Bandingkan Kadar Tukaran

Sebelum tukar duit, semak kadar antara bank (mid-market rate) melalui Google Finance atau XE.com sebagai rujukan. Ini dapat membantu anda untuk menilai berapa margin yang ditambah oleh bank atau pengurup wang.

Apabila menukar ringgit kepada mata wang asing, anda perlu perhatikan kadar jualan (selling rate). Manakala kadar beli (buying rate) pula hanya relevan apabila anda ingin tukar baki mata wang asing kembali kepada ringgit.

Kad Melancong dan Kad Prabayar Mata Wang Asing

Kad melancong membolehkan anda memuatkan beberapa mata wang dan mengunci kadar tukaran lebih awal. Ia berguna untuk perjalanan ke beberapa negara atau jika anda mahukan perbelanjaan yang boleh dijangka.

Walau bagaimanapun, kad melancong juga berkemungkin dikenakan yuran seperti  caj pengeluaran, caj penyelenggaraan, atau caj tidak aktif. Bandingkan kos keseluruhan sebelum membuat keputusan, dan jangan anggap kad melancong semestinya lebih murah daripada kad debit atau kredit biasa.

Apa Nak Buat dengan Baki Mata Wang Asing?

Untuk jumlah yang kecil sebaiknya simpan sahaja untuk perjalanan akan datang ke destinasi yang sama. Manakala bagi baki yang lebih besar pula boleh ditukar semula kepada ringgit di pengurup wang yang menawarkan kadar beli-balik yang kompetitif.

Syiling umumnya tidak boleh ditukar. Anda boleh menggunakannya sebelum berlepas, mendermakan di lapangan terbang, atau simpan sebagai cenderamata.

Akses Wang Kecemasan di Luar Negara

Jika anda kehilangan akses kepada wang ketika berada di luar negara, perkhidmatan pemindahan antarabangsa seperti Western Union boleh membantu anda mendapatkan tunai dengan cepat. Sesetengah bank juga menawarkan wang pendahuluan kecemasan melalui kad kredit, tetapi ini biasanya dikenakan caj yang tinggi dan faedah serta-merta.

Sebelum berlepas, pastikan anda ada gabungan tunai dan kad yang sesuai. Sedikit perancangan boleh membantu anda jimat kos dan elakkan tekanan ketika berada di luar negara.

Mahu lebih tips kewangan praktikal untuk rakyat Malaysia? Sertai Saluran WhatsApp kami.

5 2 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments