Nilai perdagangan borong dan runcit di Malaysia mencecah RM174.8 bilion pada April 2026, melonjak 15.3% berbanding April tahun lalu. Nilai jualan mencatatkan pertumbuhan sederhana pada kadar 3.5% hingga 6.6% berbanding lonjakan Mac 2026 akibat normalisasi pasca-Hari Raya.
Anda sebenarnya tidak semestinya membeli lebih banyak barang, hakikatnya hanya membayar lebih mahal.
Jumlah Barang Yang Dibeli Tidak Banyak Berubah
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa walaupun nilai jualan naik 15.3%, kuantiti sebenar barang yang didagangkan hanya meningkat 6.2% dalam tempoh sama, mencatat 170.7 mata.
Dua angka ini penting kerana bila nilai naik jauh lebih daripada kuantiti, itu petanda harga yang memandu pertumbuhan, bukan permintaan sebenar. Bagi pengguna, ini bermakna anda menggunakan wang yang sama untuk membeli barangan yang lebih sedikit.
Sektor Petroleum Dan Bahan Binaan Jadi Salah Satu Penyebab Utama
Sektor borong merekodkan kenaikan 24.1% kepada RM83.5 bilion. Mengikut data DOSM, kategori Borong Khusus Lain yang merangkumi petroleum dan bahan binaan mencatat pertumbuhan 52% tahun ke tahun. Borong barangan isi rumah turut meningkat 8.2%, manakala borong makanan, minuman dan tembakau naik 6.9%.
Kuantiti borong turut naik 7.3% tahun ke tahun mencatatkan 158.6 mata dengan tambahan 1% pada bulan ke bulan. Ini bermakna sebahagian pertumbuhan borong memang didorong oleh permintaan sebenar. Namun, jurang antara pertumbuhan nilai (24.1%) dan pertumbuhan kuantiti (7.3%) menunjukkan harga tetap memainkan peranan besar, terutamanya dalam kategori petroleum dan bahan binaan.
Nilai Runcit Naik, Tapi Kuantiti Terhad
Perdagangan runcit mencatat jualan RM71 bilion, naik 6.3% tahun ke tahun. Pertumbuhan ini datang daripada kedai runcit tidak khusus seperti pasar raya besar dan pasaraya mini (naik 6.1%), barangan isi rumah dalam kedai khusus (naik 6.8%) serta peralatan isi rumah dalam kedai khusus (naik 3.5%).
Walaupun begitu, kuantiti sebenar barang runcit yang terjual hanya naik 3.9% kepada 192.4 mata. Dalam erti kata mudah, nilai jualan naik 6.3% tetapi kuantiti barang yang dibeli hanya naik 3.9%. Wang lebih banyak keluar, barang yang dibeli tidak banyak bertambah.
Berbanding Mac 2026 pula, jualan runcit turun 1.5% dan indeks kuantiti sebenar menyusut 1.9%, mencerminkan normalisasi perbelanjaan selepas musim Hari Raya.
Automotif Jadi Satu-satunya Sektor Yang Permintaan Sebenarnya Tinggi
Segmen automotif mencatat pertumbuhan paling ketara berbanding sektor lain. Nilai jualan naik 15.5% kepada RM20.4 bilion, manakala indeks volum automotif melonjak 13.6% kepada 147.9 mata.
Dalam segmen automotif, motosikal mencatat lonjakan paling ketara dengan jualan, servis, dan pembaikan motosikal meningkat 38.7% tahun ke tahun. Jualan kenderaan baharu pula naik 18.1%, manakala alat ganti dan aksesori meningkat 9.2%. Secara keseluruhan, nilai jualan segmen automotif naik 9.2% berbanding Mac 2026, dengan indeks kuantiti sebenar meningkat 13.6% tahun ke tahun kepada 147.9 mata.
Apa Yang Perlu Anda Lakukan Sekarang
Data ini menunjukkan bahawa kos sara hidup masih tinggi dan ia datang dari lebih dari satu arah.
Berikut beberapa perkara yang wajar anda lihat semula:
- Semak peruntukan bulanan untuk bahan api, barangan keperluan dan pengangkutan. Jika perbelanjaan dalam kategori ini meningkat, kemungkinan besar ia disebabkan harga yang naik dan bukan perubahan tabiat.
- Pastikan kadar simpanan anda tidak terjejas. Jika lebih banyak wang keluar setiap bulan untuk keperluan asas, nilai semula sama ada simpanan bulanan anda masih mencukupi untuk matlamat kewangan jangka panjang.
Pertumbuhan 15.3% dalam nilai ringgit kedengaran positif. Tapi apabila kuantiti keseluruhan hanya naik 6.2%, sebahagian besar daripada angka itu adalah kenaikan harga, bukan peningkatan sebenar dalam apa yang anda beli.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemaskini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
