Lebih ramai keluarga golongan B40 kini memerlukan bantuan makanan. Jumlah permohonan meningkat antara 35% hingga 40% antara 2025 dan 2026, menurut The Lost Food Project (TLFP), iaitu sebuah pertubuhan yang mengumpul lebihan makanan dan mengagihkannya kepada yang memerlukan.
Kos sara hidup yang terus meningkat menjadi punca utama isu ini. Isi rumah B40 sudah pun membelanjakan lebih daripada satu pertiga pendapatan mereka untuk makanan, dan tekanan kewangan semakin terasa.
36,000 Keluarga, 150,000 Hidangan Seminggu
TLFP kini menyalurkan bantuan kepada lebih 36,000 keluarga golongan B40 di 180 lokasi dengan agihan melebihi 150,000 hidangan setiap minggu. Operasinya tertumpu di Lembah Klang, malah turut meliputi Pulau Pinang dan Johor.
Pengurus Besar TLFP, Stuart Galvin berkata, organisasi ini sudah pun memberi amaran awal mengenai kenaikan 30% pada awal 2024. Sejak itu, angka tersebut terus meningkat.
Makanan Yang Akan Dibuang, Diubah Jadi Hidangan
TLFP telah beroperasi selama 11 tahun dengan mengumpul lebihan makanan dari pengeluar, pengedar, dan pembekal runcit yang tidak terjual, lalu mengagihkannya kepada yang memerlukan. Inilah yang mereka sebut sebagai “makanan terbiar” (lost food), iaitu makanan yang masih segar dan selamat dimakan tetapi hampir dibuang.
Sepanjang 2025, TLFP berjaya menyelamatkan 2.9 juta kilogram lebihan makanan dan menukarnya kepada 8.5 juta hidangan. Setiap kilogram yang diselamatkan juga dapat mengurangkan gas rumah hijau yang dapat memberi kesan buruk terhadap alam sekitar.
Malaysia membuang anggaran 4,000 tan makanan boleh dimakan setiap hari, cukup untuk memberi makan 10 juta orang. TLFP hanya mampu menyelamatkan sekitar 40 tan seminggu, kira-kira 1% daripada jumlah pembaziran harian itu.
35% Lebihan Makanan Ke Badan Amal, 65% Pula Terus Ke Komuniti
Daripada semua yang dikumpul, hanya 35% disalurkan kepada badan amal seperti pusat penyediaan makanan untuk golongan susah, rumah kanak-kanak, dan tempat perlindungan gelandangan. Selebihnya, 65%, dihantar terus ke komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan B40 secara bergilir-gilir.
Rangkaian agihan TLFP kini meliputi 92 badan amal di Lembah Klang, 10 di Johor Bahru, dan dua di Pulau Pinang. Untuk komuniti perumahan awam, mereka beroperasi di 28 lokasi tetap dan 26 tapak lagi secara ‘ad hoc’, dengan setiap komuniti menempatkan purata 5,000 penduduk. Jawatankuasa penduduk setempat yang menentukan keluarga mana paling memerlukan bagi setiap agihan.
Barangan kering seperti mi segera, beras, minyak masak, makanan dalam tin, minuman serbuk, dan biskut diperolehi daripada lebih 50 pengedar, pengeluar, dan kedai runcit. Hasil segar pula datang dari pasar borong Kuala Lumpur. TLFP turut menerima barangan keperluan asas seperti tuala wanita, berus gigi, syampu dan sabun pencuci pakaian untuk menangani isu kebersihan.
Semua barangan disusun dan diagihkan dari gudang TLFP di Jalan Chan Sow Lin. Badan amal biasanya datang mengikut jadual untuk mengambil bungkusan, sementara penghantaran berjalan dari Isnin hingga Jumaat. Hari Jumaat dikhaskan untuk aktiviti sukarela CSR.
Macam Mana Agihan Ini Berlaku Di Lapangan
Di salah sebuah komuniti PPR di kawasan Pandan, prosesnya sudah sebati dengan rutin mingguan. Pengerusi Voice of Pandan, J. Vikneswaran sudah bekerjasama dengan TLFP selama enam tahun untuk memastikan bantuan sampai kepada yang memerlukan.
Setiap hari Isnin, sayur dan buah-buahan dihantar secara bergilir-gilir ke empat lokasi iaitu Pandan Jaya pada Isnin pertama setiap bulan, diikuti Pandan Indah, Maju Jaya, dan Taman Seraya. Melalui kerjasama antara sukarelawan tempatan dan pasukan TLFP, sekitar 400 keluarga menerima bantuan mingguan di kesemua lokasi tersebut.
Bila Bajet Bulanan Tidak Cukup
Bagi isi rumah B40 yang sudah membelanjakan lebih daripada satu pertiga gaji untuk makan, kenaikan 40% dalam permintaan bantuan makanan ini mencerminkan apa yang ramai keluarga sedang hadapi setiap bulan.
Subsidi minyak masak dan tepung masih ada, tetapi harga sayur segar, protein dan barangan keperluan harian terus menaik. Bagi isi rumah berpendapatan di bawah RM5,000 sebulan, bajet perbelanjaan bulanan kini semakin ketat. Perbelanjaan bahan makanan mingguan antara RM150 hingga RM200 sahaja sudah menelan RM600 hingga RM800 sebulan, tidak termasuk yuran sekolah, pengangkutan, dan bil bulanan.
TLFP hadir untuk menutup jurang tersebut. Mereka menerima sumbangan dalam bentuk makanan, wang dan masa sebagai sukarelawan.
Jika anda merupakan individu yang ingin menyertai atau pengusaha yang ingin menyumbang, anda boleh layari laman web TLFP untuk mengetahui lebih lanjut.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
