Papan Pemuka Pemantauan Krisis Bekalan Global Akan Dibuka Kepada Orang Awam Mulai 15 Mei

KONGSI

Papan Pemuka Pemantauan Krisis Bekalan Global (Global Supply Crisis Monitoring Dashboard) boleh diakses oleh orang awam pada 15 Mei ini. Papan pemuka tersebut telah dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ia direka sebagai pusat rujukan utama yang telus dan mudah diakses untuk memantau perkembangan terkini krisis bekalan global.

Apa Yang Boleh Anda Tengok Dalam Papan Pemuka Ini?

Versi untuk orang awam mengandungi 10 submenu utama, termasuk:

  • Tenaga
  • Komoditi
  • Kos sara hidup
  • Prestasi ekonomi
  • Kadar tukaran wang asing
  • Aliran perdagangan

Selain versi orang awam, kerajaan turut mempunyai versi dalaman yang digunakan sebagai platform pemantauan khusus. Versi ini membolehkan kerajaan menilai perkembangan krisis, mengenal pasti risiko awal, serta merangka strategi mitigasi berdasarkan data semasa.

Menurut Akmal Nasrullah, perkembangan ini menandakan perubahan penting dalam cara kerajaan menguruskan krisis, iaitu dengan bergantung kepada data terkini untuk mengesan tekanan lebih awal dan menyampaikan maklumat yang lebih jelas kepada rakyat.

Apa Yang Bank Dunia Cadangkan Untuk Malaysia?

Kerajaan turut mengalu-alukan cadangan Bank Dunia yang menyenaraikan empat keutamaan untuk Malaysia:

  1. Memastikan keselamatan tenaga
  2. Mengukuhkan ruang fiskal
  3. Mengurus permintaan tenaga
  4. Menyasarkan sokongan kepada isi rumah dan perniagaan yang benar-benar terjejas

Akmal Nasrullah berkata langkah-langkah ini sebenarnya selari dengan apa yang kerajaan sudah laksanakan. Beliau menambah, pendekatan ini juga menekankan kepentingan dalam memastikan bekalan barangan penting yang lancar dan pembiayaan rantaian bekalan bagi syarikat yang mudah terjejas.

Menurut beliau, Bank Dunia menilai bahawa tekanan global mempunyai pelbagai peringkat . Kenaikan harga minyak, baja, dan makanan di peringkat global memberi impak yang berbeza tetapi saling berkaitan, dengan kesan limpahan kepada kos pengeluaran dan kos sara hidup.

“Justeru, tindak balas dasar perlu mengambil kira kesan langsung kepada rakyat serta kesan susulan ke atas perniagaan dan bekalan,” kata beliau.

Langkah Kerajaan Untuk Jaga Kestabilan Bekalan

Buat masa ini, kerajaan memberi tumpuan kepada tiga perkara utama iaitu memastikan bekalan, memanjangkan daya tahan bekalan sedia ada, dan mengekang tekanan harga.

Usaha yang sedang dijalankan merangkumi:

  • Menyelaraskan kawalan eksport bagi bahan api tertentu
  • Memastikan bekalan barangan keperluan
  • Mengurus kuota pembelian
  • Menggalakkan pemuliharaan tenaga
  • Mengukuhkan kerjasama dengan pelaku industri

Sebarang pelarasan dasar akan dilaksanakan secara bersasar dan untuk tempoh jangka masa pendek dengan keutamaan kepada perlindungan rakyat, kestabilan bekalan serta pengurusan fiskal negara.

Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan terus memperbarui status bekalan tenaga dan bahan api dari semasa ke semasa bagi memastikan keperluan domestik kekal diutamakan, sekali gus meningkatkan keyakinan industri terhadap kesinambungan operasi dan kemampanan aktiviti ekonomi negara.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.  

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen