Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) menjangkakan Bank Negara Malaysia akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75% sepanjang tahun 2026 dengan bank pusat mengekalkan usaha kestabilan dasar.
Menurut nota kajian Kenanga IB, permintaan domestik negara dilihat berdaya tahan. Manakala tekanan inflasi secara menyeluruh pula kekal terkawal di sebalik ketidaktentuan pasaran komoditi global ketika ini.
Firma penyelidikan itu menjelaskan, kedudukan ringgit yang agak stabil serta persekitaran luaran yang lebih seimbang hasil daripada ketegangan geopolitik yang semakin reda turut memberikan ruang fleksibiliti kepada BNM. Ini sekali gus menyokong pendekatan BNM yang lebih mampan berbanding mengambil tindakan secara terburu-buru.
Inflasi Mei Cecah Kadar Tertinggi Dua Tahun
Di peringkat makro, kadar inflasi Malaysia bagi Mei 2026 meningkat kepada 2.0% tahun ke tahun, sekali gus mencatatkan tahap tertinggi dalam tempoh dua tahun. Bagaimanapun, bacaan tersebut adalah sedikit rendah berbanding jangkaan Kenanga IB dan anggaran umum para penganalisis pada kadar 2.1%.
Secara bulanan, harga meningkat sebanyak 0.15% pada Mei, turun daripada 0.37% yang direkodkan pada April. Peningkatan kos makanan dan perumahan pada bulan tersebut sebahagiannya telah diimbangi oleh penurunan harga bagi sektor pengangkutan.
Menurut Kenanga IB lagi, kenaikan bulanan yang lebih perlahan ini memberi gambaran bahawa momentum Indeks Harga Pengguna (IHP) mula reda, meskipun bacaan tahunan kelihatan sedikit tinggi. Sementara itu, inflasi teras kekal stabil pada paras 2.0% tahun ke tahun, mengukuhkan pandangan bahawa tekanan harga asas masih terkawal.
Harga Makanan dan Perumahan Meningkat, Sektor Pengangkutan Menurun
Berdasarkan pecahan komponen IHP, inflasi bagi kategori makanan dan minuman meningkat ke tahap tertinggi dalam tempoh empat bulan kepada 1.4% pada Mei berbanding 1.2% pada April. Ia didorong oleh kenaikan harga daging segar dan sayur-sayuran.
Bagi komponen perumahan dan utiliti, kadarnya meningkat sedikit kepada 1.2% berikutan kenaikan kos sewa, kerja-kerja penyelenggaraan, serta kos elektrik.
Bagaimanapun, inflasi bagi sektor pengangkutan menunjukkan trend penurunan daripada 4.1% kepada 3.8%. Ini hasil daripada harga runcit diesel dan petrol serta bahan pelincir yang lebih rendah pada bulan Mei.
Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) seterusnya dijadualkan pada awal Julai ini. Sama-sama kita nantikan sama ada jangkaan yang dikemukakan oleh Kenanga IB ini tepat atau sebaliknya.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
