Bekas Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin memaklumkan pembaziran makanan isi rumah di Malaysia berkait rapat dengan perubahan gaya hidup dan peningkatan tahap pendapatan. Kawasan bandar dan negeri berpendapatan per kapita tinggi juga menunjukkan kecenderungan lebih besar bagi pembaziran makanan.
Menurutnya, ramai yang berbelanja lebih daripada barangan keperluan dan kadangkala membeli sesuatu yang tidak begitu penting. Beliau berkata demikian kepada Bernama, menjelang persaraannya pada 8 Julai. Kenyataan itu turut dipetik Harian Metro pada tarikh yang sama.
Ibu Bapa Beli Barang Sama Tanpa Sedar
Berdasarkan corak yang kerap ditemui dalam tinjauan DOSM, ibu bapa banyak membeli makanan semasa jualan promosi. Tanpa disedari, anak-anak pula turut membeli barangan yang sama. Makanan berlebihan itu disimpan terlalu lama sehingga ada yang telah luput dan akhirnya terpaksa dibuang.
Kenduri Dan Majlis Turut Sumbang Kepada Pembaziran
Pembaziran makanan lebih tinggi di bandar, tetapi corak yang sama kini mula menular ke luar bandar. Penggunaan katering untuk kenduri turut menyumbang kepada pembaziran di luar bandar.
“Di kawasan bandar, pada hujung minggu mungkin terdapat lima atau enam majlis diadakan sehari dengan menu yang hampir sama. Tetamu biasanya sering menerima beberapa jemputan dan menghadirinya hanya untuk meraikan tuan rumah, (akhirnya) mengakibatkan banyak berlaku pembaziran dan lebihan sisa makanan,” katanya.
Negeri berpendapatan per kapita lebih tinggi sebenarnya lebih terdedah kepada tabiat ini berbanding negeri yang kurang mengadakan majlis sosial.
Diskaun Buat Anda Kurang Hargai Makanan
Mohd Uzir turut menjelaskan tentang konsep asas iaitu harga mencerminkan nilai barangan. Bila sesuatu barang murah atau senang didapati, orang mula memandang remeh terhadap lebihannya dan orang ramai tidak akan melihat lebihan makanan sebagai satu masalah.
Beliau turut perasan corak sama dalam beli-belah pakaian, terutamanya di platform dalam talian, di mana harga rendah menggalakkan pembelian berlebihan yang akhirnya berakhir sebagai pembaziran.
Berapa Banyak Makanan Yang Dibazirkan Dalam Setahun
Menurut Tinjauan Petunjuk Isi Rumah Kebangsaan (NHIS) 2025, sisa makanan isi rumah di Malaysia dianggarkan berjumlah antara 31.9 kilogram (kg) dan 97.3kg per kapita setiap tahun. Makanan yang telah dimasak sering terbazir berbanding bahan mentah. Sebanyak 94.1% isi rumah mengaku pernah membuang makanan yang sudah dimasak atau diproses, berbanding 88.7% bagi makanan mentah.
Bagi makanan yang sudah dimasak, beras mendahului senarai (16.7%), diikuti sayur (15.8%) dan makanan dibungkus dari kedai (13.8%). Bagi bahan mentah, sayur paling banyak dibazirkan (29.1%), diikuti buah-buahan (22.4%) dan ikan atau makanan laut (15%). Selain itu, hanya 20.7% isi rumah mengasingkan sisa makanan sebelum dibuang. Selebihnya, 79.3% campurkan sisa makanan dengan sampah rumah biasa.
Semak Tabiat Belanja Sebelum Terus Beli
Terdapat beberapa langkah mudah yang boleh anda lakukan untuk elak daripada pembaziran. Mulakan dengan semak dahulu inventori peti sejuk dan almari dapur anda sebelum ke kedai supaya anda tidak membeli barang yang sudah ada di rumah.
Kira juga berapa banyak majlis atau kenduri yang bakal anda hadiri dalam minggu atau bulan tersebut sebelum anda masak atau membeli makanan berlebihan. Paling penting, beli mengikut keperluan sebenar anda, bukan sebab harga murah.
Selain elak beli berlebihan di rumah, anda juga boleh bantu kurangkan pembaziran makanan dengan cara membeli lebihan makanan yang masih berkualiti menerusi dua aplikasi iaitu Value Food dan ReMeal. Kedua-dua aplikasi ini menjual lebihan stok daripada kafe, restoran dan kedai runcit pada harga yang lebih murah.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
