Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan peruntukan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah lebih RM14.4 juta bagi 96,013 pelajar Tingkatan Enam tahun ini. Jumlah tersebut merangkumi pelajar baharu dan pelajar sedia ada.
52,810 Pelajar Baharu Terima RM150 Bermula 28 Jun
Daripada jumlah itu, seramai 52,810 pelajar Tingkatan Enam baharu menerima sebanyak RM150 seorang. Agihan telah bermula sejak 28 Jun lalu dan berterusan sehingga 27 Julai ini. Bantuan ini diberikan khusus untuk pelajar yang mendaftar di 616 Pusat Tingkatan Enam (PTE) di seluruh negara pada 8 Jun lalu.
Skop BAP Diperluas Kepada Pelajar Tingkatan Enam
KPM menyatakan bahawa penyaluran ini diteruskan selepas kerajaan pada tahun lalu membuat keputusan untuk memperluaskan skop BAP kepada pelajar Tingkatan Enam, satu kategori yang sebelum ini tidak termasuk dalam bantuan ini. Inisiatif itu juga mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam meringkankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga bagi membuat persediaan persekolahan.
Malah sebelum ini, kira-kira 2.2 juta pelajar di bawah KPM sudah boleh menebus Baucar Buku MADANI bernilai RM100. Tempoh penebusan ini akan berlangsung sehingga 31 Oktober 2026.
Bantuan Lain untuk Pelajar Dalam Belanjawan 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 sebelum ini telah mengumumkan seramai 5.2 juta pelajar sekolah kerajaan menerima RM150 BAP dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM800 juta. Kerajaan turut memperluaskan Bantuan Am Persekolahan (BAPs) kepada murid dari golongan miskin sehingga Tingkatan Lima, berbanding sehingga Tingkatan Tiga sahaja sebelum ini dengan peruntukan RM180 juta.
Anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan pula boleh memohon Biasiswa Kecil Persekutuan sebagai insentif untuk kekal cemerlang dalam akademik dan kokurikulum sepanjang persekolahan. Bagi murid sekolah rendah, terutamanya di kawasan luar bandar dan dari keluarga berpendapatan rendah, kerajaan menyediakan RM870 juta di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk membekalkan makanan berkhasiat kepada 870,000 murid.
Murid Orang Kurang Upaya (OKU) juga tidak ketinggalan. KPM menyediakan Elaun Murid Berkeperluan Khas (EBMPK) bagi mereka yang belajar di sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan dalam program pendidikan khas. Kadar bantuan sebanyak RM150 diberikan sepanjang tahun persekolahan.
Bagi ibu bapa atau penjaga yang perlu menanggung kos persekolahan anak, bantuan-bantuan yang disediakan oleh kerajaan ini pastinya dapat meringankan beban kewangan mereka.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
