Pemindahan Kelayakan BUDI Diesel Tidak Lagi Terhad Kepada Ahli Keluarga Sahaja

KONGSI

Kerajaan MADANI bersetuju memperluas kemudahan pemindahan kelayakan BUDI Diesel (BUDI Madani Diesel) berkuat kuasa 16 September 2026, dengan pemindahan kini tidak lagi terhad kepada ahli keluarga sahaja. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara ini semasa sambutan Hari Malaysia. 

Penambahbaikan ini dibuat susulan maklum balas yang diterima Anwar, terutamanya daripada pengguna kenderaan diesel di Sabah dan Sarawak. Di negeri-negeri ini, urusan jual beli kenderaan secara “sambung bayar” dan pemilikan beberapa kenderaan diesel dalam satu isi rumah lebih lazim berlaku.

Kelayakan Kini Boleh Dipindah Kepada Pengguna Sebenar Kenderaan

Anda boleh memindahkan kelayakan kepada mana-mana warganegara Malaysia yang mempunyai MyKad sah dan layak menerima BUDI95 (BUDI Madani RON95), asalkan penerima itu benar-benar menggunakan kenderaan berkenaan. Penerima yang diluluskan akan dapat kelayakan bulanan sendiri untuk beli RON95 bersubsidi, diesel bersubsidi, atau gabungan kedua-duanya menggunakan MyKad mereka sendiri.

Pemindahan ini tidak melibatkan pertukaran hak milik kenderaan. Seorang penerima pula cuma boleh terima pemindahan daripada seorang pemilik berdaftar sahaja.

Had Kelayakan Bulanan Anda 

Had asas kelayakan bulanan bagi BUDI95 dan BUDI Diesel telah dinaikkan kepada 300 liter sebulan berkuat kuasa 1 September 2026. Pemilik kenderaan pikap atau jip diesel yang layak pula menerima tambahan 100 liter, menjadikan jumlah kelayakan mereka sehingga 400 liter sebulan. 

Pemilik Berbilang Kenderaan Boleh Pindah Kepada Tiga Individu 

Kalau anda pemilik lebih daripada satu kenderaan diesel persendirian, anda boleh pindahkan kelayakan bulanan kenderaan tersebut kepada maksimum tiga individu lain, tertakluk kepada jumlah kenderaan diesel berdaftar anda. Anda tetap kekalkan kelayakan bulanan bagi kenderaan yang belum dipindahkan untuk kegunaan sendiri.

Sebagai contoh, kalau anda ada empat kenderaan diesel persendirian, anda boleh pindahkan kelayakan tiga daripadanya kepada pengguna sebenar seperti isteri, anak, dan pekerja anda. Anda dan ketiga-tiga individu itu akan menerima kelayakan bulanan masing-masing mengikut jenis kenderaan yang digunakan. Kalau salah satu kenderaan yang dipindahkan itu jenis pikap atau jip yang layak menerima tambahan 100 liter, anda sebagai pemilik berdaftar perlu mohon tambahan itu dahulu, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan, sebelum permohonan pindah kelayakan boleh dibuat.

Kalau anda pindahkan ketiga-tiga kenderaan diesel yang anda miliki, anda sebagai pemilik berdaftar hanya akan menikmati subsidi BUDI95 sahaja.

Setiap Kenderaan Hanya Boleh Dipindahkan Sekali

Setiap kenderaan yang layak hanya boleh dipindahkan sekali. Selepas diluluskan, kelayakan itu tidak boleh dipindahkan semula kepada anda sebagai pemilik berdaftar atau kepada individu lain, kecuali dalam keadaan khusus yang ditetapkan.

Pemindahan yang telah diluluskan sebelum 16 September 2026 kekal muktamad. Kalau permohonan pemindahan anda masih belum selesai diproses setakat 15 September 2026, permohonan itu akan dikembalikan dan anda perlu kemukakan permohonan baharu mulai 16 September 2026.

Cara Mohon Pemindahan Kelayakan

Anda boleh buat permohonan melalui Portal BUDI MADANI di www.budimadani.gov.my, secara fizikal di mana-mana pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), atau dapatkan maklumat lanjut serta bantuan di stesen minyak berdekatan.

Untuk kelayakan mula digunakan pada 1 haribulan berikutnya, anda perlu kemukakan permohonan selewat-lewatnya pada 27 haribulan semasa. Sebagai contoh, permohonan selewat-lewatnya pada 27 September 2026 membolehkan kelayakan digunakan mulai 1 Oktober 2026, tertakluk kepada semakan dan pengesahan data. 

Maklumat pemilik, penerima, dan kenderaan yang anda kemukakan akan disemak silang dengan rekod agensi berkaitan sebelum kelulusan diberikan. Anda boleh semak status kelayakan dan permohonan anda melalui Portal BUDI MADANI. Untuk maklumat lanjut, hubungi Pusat Khidmat BUDI MADANI di talian 1300-88-9595, WhatsApp +603-2631 4595, atau e-mel tanya@budimadani.gov.my.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen