Selangor Buka 50,000 Slot Baharu Skim Mesra, Ini Cara Untuk Anda Mohon

KONGSI

Kerajaan negeri Selangor membuka 50,000 slot permohonan baharu bagi Skim Mesra secara rasmi mulai 17 September 2026. Kalau anda warga emas atau Orang Kurang Upaya (OKU) yang menetap di Selangor, anda kini boleh memohon insentif kewangan tahunan RM150 yang diberikan sempena bulan kelahiran anda, lapor Bernama.

Skim ini disalurkan menerusi Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS). Menurut Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari, inisiatif ini merupakan tanda penghargaan kerajaan negeri kepada golongan warga emas dan OKU sempena bulan kelahiran mereka.

Syarat Kelayakan Bagi Warga Emas Dan OKU 

Skim Mesra terbuka kepada dua golongan sahaja, iaitu warga emas dan OKU. Anda layak dalam kategori warga emas jika berumur 60 tahun ke atas, warganegara Malaysia, dan pengundi berdaftar yang menetap di Selangor.

Bagi kategori OKU pula, anda perlu memiliki kad OKU yang sah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan berstatus warganegara Malaysia tanpa had umur. Anda juga perlu berumur 19 tahun ke atas, wajib mengundi, dan menetap di Selangor. Bagi pemohon OKU berumur 18 tahun ke bawah, syarat pengundi dan kediaman ini terpakai kepada ibu atau bapa mereka.

Agihan manfaat skim ini dijadualkan bermula pada 2027.

Cara Anda Boleh Mohon Skim Mesra

Penuhi syarat-syarat di atas dan anda boleh terus mendaftar secara dalam talian menerusi portal rasmi Skim Mesra YAWAS di mesra.yawas.com.my.

Perlukan bantuan pendaftaran atau ada soalan lanjut? Hubungi talian khidmat pelanggan YAWAS di 03-5481 8800 atau hantarkan e-mel ke pertanyaan.yawas@gmail.com.

Anda dinasihatkan untuk mendaftar hanya melalui portal dan talian rasmi YAWAS seperti di atas bagi mengelakkan berlakunya sebarang penipuan.

Bantuan Lain Yang Disediakan Kerajaan Selangor Untuk Golongan B40

Skim Mesra bukan satu-satunya bantuan yang ditawarkan oleh Kerajaan Selangor. Sepanjang tahun, kerajaan negeri turut memperkenalkan pelbagai bantuan lain yang disasarkan khusus kepada golongan B40 dan kumpulan sasaran tertentu di Selangor.

Antaranya, Baucar Kita Selangor (BKS) menawarkan RM100 sebulan selama enam bulan kepada isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak bawah 18 tahun, dengan permohonan dibuka sehingga 31 Disember 2026

Ibu bekerja pula boleh memohon MamaKerja 2.0, bantuan tunai RM1,000 yang disalurkan dalam dua fasa menerusi aplikasi NINE. Permohonan akan ditutup selepas mencapai kuota 10,000 penerima yang diluluskan.

Syarat kelayakan dan tempoh permohonan bagi bantuan-bantuan ini kerap dikemas kini setiap tahun. Sila semak kemas kini terkini supaya anda tidak terlepas peluang memohon.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen