Sejak 2018, sebanyak 94,165 unit kenderaan penumpang jenis Bateri Elektrik Penuh (Battery Electric Vehicle/BEV) telah berjaya dijual di Malaysia.
Angka ini diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sempena Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan (National EV Steering Committee/NEVSC) Bil. 1/2026.
EV Bukan Sekadar Trend, Tapi Sudah Menjadi Keperluan Strategik
Menurut Fadillah, EV kini bukan lagi sekadar ikutan trend global. Ia kini berkait rapat dengan pelaburan negara, daya saing industri, keselamatan tenaga, dan kesejahteraan rakyat.
Mesyuarat NEVSC yang diadakan di Menara MITI ini dilakukan bertujuan untuk mengukuhkan pembangunan ekosistem EV negara secara menyeluruh.
Apa Perancangan Kerajaan Selepas Ini?
Fadillah, yang juga memegang portfolio Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata mesyuarat itu memberi fokus kepada penyelesaian praktikal yang memberi impak tinggi untuk dilaksanakan dalam masa terdekat.
Matlamatnya adalah untuk mengukuhkan industri dan ekosistem EV negara secara lebih progresif, tersusun, dan berdaya saing.
Ini Pendapat Kami
94,165 unit BEV dalam masa lebih kurang tujuh tahun adalah satuangka yang cukup memberangsangkan, tetapi ia perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas. Populasi Malaysia yang kini menghampiri 34 juta orang dan jumlah kenderaan yang berdaftar di negara ini jauh melebihi angka tersebut. Ertinya, kadar penerimaan EV masih rendah.
Selain memantau dari segi jumlah unit terjual, soal infrastruktur pengecasan, kemampuan harga EV untuk golongan M40 ke bawah dan dasar jangka panjang kerajaan bagi memastikan ekosistem ini mampan juga perlu diambil kira
Tidak dinafikan, mesyuarat NEVSC ini adalah langkah yang baik, tetapi pelaksanaan di lapangan yang akan menentukan sama ada Malaysia benar-benar bersedia untuk peralihan tenaga ini.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
