Faraid: Cara Harta Anda Dibahagikan Mengikut Hukum Islam

KONGSI

Apabila seseorang ahli keluarga meninggal dunia, ada segelintir keluarga di Malaysia berasa mereka tidak tahu untuk mula dari mana Harta simati ada, tetapi proses untuk menguruskannya terasa agak rumit, terutamanya ketika masih berada dalam kesedihan.

Sekiranya individu yang meninggal dunia itu merupakan individu beragama Islam, ada satu sistem khas yang mengatur pembahagian harta simati dan ia dipanggil Faraid.

Apa Itu Faraid?

Faraid ialah sistem pembahagian harta pusaka bagi orang Islam yang telah ditetapkan dalam al-Quran. Ia menentukan siapa yang berhak menerima harta simati, berapa bahagian setiap orang dan siapa yang tidak layak. Di Malaysia, Faraid terpakai kepada semua individu beragama Islam tanpa mengira negeri dan ia dikuatkuasakan melalui Mahkamah Syariah.

Antara perkara yang masih menjadi salah faham bagi segelintir umat Islam adalah mengenai wasiat. Wasiat yang dibuat untuk bukan waris faraid seperti anak angkat atau rakan hanya sah sehingga satu pertiga daripada jumlah harta sahaja. Wasiat kepada waris fariad pula memerlukan persetujuan waris-waris lain selepas kematian pewasiat sebelum ia boleh dikuatkuasakan. Baki harta yang tidak diwasiatkan dibahagikan mengikut faraid. Jadi kalau anda tulis dalam wasiat bahawa anak sulung anda patut dapat semua, ia tidak boleh dilaksanakan begitu sahaja tanpa persetujuan waris yang lain.

Siapa yang Termasuk Dalam Kategori Waris?

Bukan semua orang yang mempunyai hubungan rapat dengan simati secara automatik layak menerima harta di bawah Faraid. Waris yang diiktiraf terbahagi kepada beberapa kumpulan dan bahagian setiap orang berbeza bergantung kepada siapa lagi yang masih hidup.

Jadual di bawah menunjukkan bahagian waris yang paling biasa:

WarisJika Ada AnakJika Tiada Anak
Suami1/41/2
Isteri1/81/4
Ibu / Bapa1/6 masing-masingIbu: 1/3 (jika tiada adik-beradik); Bapa: Asabah (baki)
Anak Lelaki : PerempuanNisbah 2:1
Adik-beradikTidak layakLayak (jika tiada ibu bapa)

Anak angkat tidak termasuk dalam senarai waris Faraid, begitu juga anak luar nikah bagi pihak bapa. Kalau anda ingin memastikan mereka tetap mendapat harta, hibah (pemberian ketika masih hidup) atau wasiat dalam had yang dibenarkan adalah pilihan yang ada. Untuk mengira anggaran bahagian waris dengan cepat, anda boleh guna Kalkulator Faraid di portal MyGovernment atau laman kirafaraid.my yang berasaskan Mazhab Syafie seperti yang diamalkan di Malaysia.

Apa Yang Berlaku Pada Wang KWSP, Takaful, dan ASB?

Ini bahagian yang selalu anda terlepas pandang dan ia sebenarnya memberi impak besar kepada pembahagian sebenar.

Wang dalam akaun KWSP anda tetap tertakluk kepada Faraid. Berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan ke-49 pada tahun 2000, wang KWSP adalah harta pusaka yang perlu dibahagikan secara Faraid. Penama yang anda daftarkan hanya bertindak sebagai pentadbir atau wasi, bukannya pemilik mutlak. Mereka wajib mengagihkan wang itu kepada waris yang layak mengikut Faraid, dan bukan hak mereka untuk menyimpan wang itu sendiri.

Bagi Takaful (perlindungan hayat Islam), keadaannya bergantung kepada jenis penamaan yang anda buat semasa hidup. Jika anda menamakan penama sebagai Penerima Hibah Mutlak, wang manfaat itu menjadi hak penuh penama dan tidak perlu melalui Faraid. Tetapi jika penama didaftarkan sebagai Wasi atau Pentadbir sahaja, wang itu wajib diagihkan mengikut Faraid seperti KWSP. Semak borang penamaan Takaful anda untuk mengetahui kategori mana yang terpakai. Bagi insurans hayat konvensional pula, berdasarkan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA), penama Muslim hanya bertindak sebagai wasi dan wang pampasan tetap wajib dibahagikan mengikut Faraid.

Bagi produk ASB dan unit amanah, ia bergantung sama ada akaun tersebut mempunyai penama atau tidak. Kalau tiada penama, barulah harta itu masuk dalam tuntutan pusaka biasa.

Hartanah yang dimiliki secara bersama (joint name) pun tidak semudah yang disangka. Walaupun hartanah didaftarkan sebagai joint tenancy, bahagian simati yang beragama Islam tetap tertakluk kepada Faraid dan tidak boleh secara automatik jatuh kepada pemilik bersama yang masih hidup. Pasangan yang hidup tidak boleh menuntut 100% hak milik melainkan semua waris bersetuju melalui proses persetujuan yang sah, atau jika ada dokumen Hibah yang disediakan sebelum kematian.

Proses Tuntutan Harta Pusaka

Proses tuntutan harta pusaka di Malaysia melibatkan beberapa pihak, dan proses yang betul bergantung kepada nilai dan jenis harta yang ditinggalkan.

Untuk harta bernilai RM5 juta ke bawah, anda boleh ke Pejabat Pusaka Kecil di bawah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG). Had nilai ini telah dinaikkan daripada RM2 juta kepada RM5 juta berkuat kuasa 15 Julai 2024 melalui pindaan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955. Permohonan kini boleh dibuat secara dalam talian melalui portal JKPTG, dan prosesnya lebih mudah serta kos lebih rendah berbanding laluan lain.

Untuk harta melebihi RM5 juta, atau jika ada pertikaian dalam kalangan waris, anda perlu memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Sivil. Amanah Raya Berhad juga boleh dilantik sebagai pentadbir pusaka untuk membantu urus proses ini, terutamanya bagi kes yang melibatkan harta alih dan tak alih yang kompleks.

Bagi mendapatkan Sijil Faraid, anda perlu ke Mahkamah Syariah di negeri simati bermastautin. Sijil ini mengesahkan bahagian setiap waris mengikut undang-undang Islam, dan ia biasanya dikemukakan semasa berurusan dengan bank atau Pejabat Tanah. Anda juga boleh mendapatkan khidmat pengiraan Faraid melalui e-Faraid Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) jika simati bermastautin di Selangor.

Dokumen asas yang biasanya diperlukan termasuklah surat kematian, kad pengenalan simati, dokumen harta seperti geran tanah atau penyata akaun bank, serta senarai nama waris beserta hubungan mereka dengan simati.

Contoh Pengiraan Mudah

Katakan Encik Hafiz meninggal dunia dan meninggalkan seorang isteri, dua orang anak lelaki, dan seorang anak perempuan. Jumlah harta yang tertakluk kepada Faraid ialah RM300,000.

Isteri mendapat 1/8 kerana ada anak, iaitu RM37,500. Baki RM262,500 dibahagikan kepada anak-anak dengan nisbah 2:2:1, bermaksud setiap anak lelaki mendapat dua bahagian dan anak perempuan mendapat satu bahagian. Dalam jumlah tersebut setiap anak lelaki menerima lebih kurang RM105,000, manakala anak perempuan menerima lebih kurang RM52,500.

Uruskan Perancangan Pengagihan Harta Sebelum Terlambat

Rata-rata keluarga di Malaysia terpaksa berdepan dengan pertikaian harta pusaka yang berlarutan sehingga bertahun-tahun kerana simati tidak meninggalkan sebarang perancangan. Waris ada, tetapi tiada rekod yang jelas dan tiada yang tahu di mana dokumen-dokumen penting disimpan. Menurut laporan, nilai harta pusaka orang Islam yang masih beku dan belum dituntut di Malaysia dianggarkan telah mencecah lebih RM90 bilion.

Perkara paling mudah yang boleh anda lakukan sekarang adalah dengan menyemak penama dalam akaun KWSP, polisi insurans, dan akaun pelaburan anda. Pastikan senarai penama dikemaskini dan mencerminkan kehendak anda yang sebenar. Kalau anda ada harta yang lebih kompleks, bincang dengan peguam syarie atau perancang harta yang berlesen untuk  membantu anda lebih memahami pilihan yang ada, sama ada melalui wasiat, hibah, atau instrumen lain.

Faraid bukanlah penghalang kepada perancangan yang baik. Ia adalah rangka kerja yang sudah ditetapkan, prosesbagaimana ia berfungsi dalam situasi keluarga anda sendiri perlu difahami dengan baik

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments