Ini Sebab Mengapa Inflasi Malaysia Mungkin Cecah Paras Tertinggi dalam Hampir Dua Tahun

KONGSI

Rakyat Malaysia mungkin bakal berhadapan dengan tekanan harga yang paling ketara dalam tempoh hampir dua tahun dan ia boleh berlaku seawal Mei ini.

Menurut pakar ekonomi, keupayaan pengeluar untuk menyerap kenaikan kos tenaga dan logistik sudah hampir mencapai had mereka. Apabila had itu sudah mencapai tahap maksimum, harga barangan yang lebih tinggi akan mula dirasai pengguna. . 

Kenapa Perkara Ini Berlaku Sekarang?

Ketegangan geopolitik di Timur Tengah akibat perang Iran kini memasuki bulan ketiga dan masih tiada tanda ia akan mereda. Sepanjang tempoh ini, banyak syarikat bertahan dengan menyerap kos sendiri atau menggunakan stok inventori yang dibeli sebelum perang pada harga lebih rendah. Kedua-dua “simpanan” ini semakin berkurangan.

Tanda amaran sudah mula kelihatan. Indeks harga pengeluar naik 1% berbanding tahun sebelumnya pada Mac, dan melonjak 4.1% berbanding Februari. Ia merupakan kenaikan bulan ke bulan paling besar dalam lebih dua dekad. Kos bahan seperti urea untuk baja pertanian dan diesel untuk jentera ladang kekal tinggi ekoran sekatan AS ke atas Selat Hormuz.

Apa Pula Kata Pakar Ekonomi?

Pakar ekonomi, ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan pengerusi Khazanah Research Institute iaitu Dr Nungsari Ahmad Radhi memberi amaran bahawa kesan ini akan menjadi serius memandangkan ekonomi Malaysia adalah sekitar 60% bergantung kepada penggunaan. Perniagaan hanya mampu menanggung kos yang meningkat sehingga tahap tertentu sebelum ia terpaksa dipindahkan kepada pengguna.

Profesor ekonomi Universiti Sunway yang turut merangkap ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Dr Yeah Kim Leng pula menjangkakan inflasi boleh melonjak kepada 3%. Ini melebihi unjuran Bank Negara Malaysia sebanyak 1.5% hingga 2.5%, sekiranya krisis ini berterusan. 

Bila Pengguna Akan Mula Rasa Kesannya?

Menurut Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, kenaikan harga biasanya berlaku dalam tempoh dua hingga empat bulan selepas kejutan awal. Ini bermakna pengguna mungkin mula merasai kesannya antara Mei hingga Julai 2026.

Buat masa ini, indeks harga pengguna masih terkawal pada 1.7% pada Mac dengan adanya subsidi dan kawalan harga barangan keperluan. Namun, inflasi teras sudah naik kepada 2.1% pada Mac dan permintaan domestik yang lemah mungkin hanya menangguhkan, bukannya menghentikan tekanan itu.

Kerajaan juga kini menanggung subsidi bahan api sekitar RM7 bilion sebulan, kira-kira 10 kali lebih tinggi berbanding paras sebelum perang. Dr Yeah menyatakan campur tangan ini adalah sangat penting bagi melindungi sektor seperti pengeluaran makanan, perkhidmatan penting dan pengangkutan.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.  

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments