Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) pada 19 Ogos 2026 telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang menasihatkan anda agar memberitahu syarikat insurans sebaik sahaja memasang pengecas kenderaan elektrik (EV) secara kekal di rumah. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PIAM, Chua Kim Soon, langkah ini untuk memastikan jumlah insurans rumah anda kekal selaras dengan kos sebenar untuk membina semula rumah, sekiranya berlaku kebakaran.
Kenyataan ini dikeluarkan susulan kes kebakaran di Alam Damai, Cheras yang dipercayai bermula daripada EV yang sedang dicas di kawasan hadapan rumah. Rumah dua tingkat itu musnah sepenuhnya.
Kenapa Jumlah Insurans Anda Boleh Jadi Tak Cukup
Bila anda memasang pengecas EV kekal, anda sebenarnya mengubah struktur elektrik rumah, sama seperti anda menaik taraf dapur atau menambah bilik. Kalau anda tidak memaklumkan perkara ini kepada pihak insurans, jumlah insurans yang anda daftarkan mungkin sudah tidak cukup untuk menampung kos membina semula rumah. Ini yang PIAM sebut sebagai underinsured, iaitu bila jumlah perlindungan anda lebih rendah daripada kos sebenar pembaikan atau pembinaan semula.
Apabila anda memaklumkan naik taraf ini lebih awal, proses tuntutan anda akan menjadi lebih jelas kalau berlaku kebakaran kelak. Anda juga boleh menggunakan Kalkulator Kos Pembinaan PIAM untuk menganggarkan jumlah insurans yang sepatutnya anda daftarkan. Perkhidmatan ini disediakan secara percuma oleh PIAM.
Pengecas Kekal dan Kabel Mudah Alih, Beza Perlindungan Anda
Kalau anda memasang pengecas EV secara kekal atau hard-wired, ia mungkin dikategorikan sebagai kelengkapan bangunan di bawah polisi insurans rumah anda, bergantung kepada terma polisi masing-masing. Sekiranya anda menggunakan kabel pengecas mudah alih pula, ia biasanya tidak termasuk dalam polisi rumah anda. Sebaliknya ia jatuh di bawah polisi insurans motor atau pakej tambahan khas untuk EV yang ditawarkan sesetengah syarikat insurans.
PIAM mengesyorkan anda semak kedua-dua polisi motor dan rumah anda, supaya tidak ada jurang perlindungan antara kenderaan, peralatan pengecasan, dan struktur rumah anda.
Kebakaran Sebab EV, Polisi Standard Anda Masih Lindungi
Polisi insurans pemilik rumah dan kebakaran standard anda tetap melindungi kerosakan akibat kebakaran, tidak kira punca kebakaran sama ada dari kenderaan, pengecas, atau pendawaian dengan syarat tiada unsur penipuan atau perbuatan disengajakan, dan anda mematuhi terma polisi anda.
Had Liabiliti Pihak Ketiga RM50,000, Cukup Ke Untuk Anda
Ini bahagian yang ramai pemilik rumah teres dan kondominium terlepas pandang. Polisi Houseowner standard biasanya menghadkan liabiliti pihak ketiga pada RM50,000. Jika kebakaran di rumah anda merebak ke rumah jiran, jumlah ini mungkin tidak mencukupi untuk menampung kerosakan yang berlaku.
Anda boleh membeli lanjutan pilihan untuk naikkan had liabiliti ini. PIAM mencadangkan pemilik rumah teres atau kediaman bertingkat tinggi khususnya mempertimbangkan langkah ini, memandangkan risiko kebakaran merebak lebih tinggi bagi jenis kediaman sebegini.
Pemasangan Tak Bertauliah Boleh Jejaskan Tuntutan Insurans Anda
Bila berlaku kebakaran, syarikat insurans akan menyemak laporan siasatan rasmi daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk menentukan sama ada piawaian keselamatan elektrik dipatuhi.
Laporan ini turut digunakan untuk mengenal pasti sebarang perbuatan sengaja seperti kes bakar (arson) atau penipuan, serta ketidakpatuhan kepada peraturan berkanun seperti pengubahsuaian atau pemasangan elektrik yang tiada pensijilan. Kalau pengecas anda dipasang oleh pihak tidak bertauliah, ini boleh menjejaskan kelulusan tuntutan anda. Jadi pastikan anda menggunakan khidmat pemasang berdaftar, bukan sebarangan teknisyen.
Kalau ada apa-apa yang tidak jelas tentang terma polisi atau pilihan add-on EV, anda boleh hubungi mana-mana daripada 19 syarikat insurans am ahli PIAM. Jumlah insurans yang tidak dikemas kini boleh menyebabkan anda terpaksa menanggung baki kos pembinaan semula dari poket sendiri, tertakluk kepada terma dan syarat polisi masing-masing.
Penggunaan EV di Malaysia Cecah Lebih 90,000 Unit Sejak 2018
Nasihat yang diberikan oleh PIAM ini sangat penting memandangkan penggunaan EV di Malaysia sejak 2018 telah melebihi 90,000 unit, menurut pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Mei 2026. Dengan bilangan pemilik EV yang semakin bertambah, isu perlindungan insurans rumah dan kenderaan menjadi semakin relevan untuk anda ambil tahu.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
