PMKS Boleh Mohon Sehingga RM750,000! BNM Tawar Kemudahan Pembiayaan RM5 Bilion

KONGSI

Bank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan Kemudahan Bantuan Penstabilan PMKS (SME Stabilisation Relief Facility atau SME SRF) iaitu satu pakej pembiayaan bernilai RM5 bilion khusus untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat konflik di Asia Barat.

Pengumuman ini dibuat pada 28 April 2026, susulan daripada perbincangan meja bulat antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama CEO institusi kewangan pada 21 April 2026.

Berapa Banyak Yang Boleh Dimohon?

PMKS yang layak boleh memohon pembiayaan sehingga RM750,000, dengan tempoh pembayaran balik hingga lima tahun. Kadar pembiayaan ditetapkan pada maksimum 3.75% setahun, dan angka ini sudah termasuk fi jaminan.

Bagi PMKS yang tidak mempunyai cagaran yang mencukupi, pembiayaan ini turut disokong oleh jaminan sehingga 80% daripada Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC) atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

PerkaraButiran
Jumlah pembiayaanSehingga RM750,000
TempohSehingga 5 tahun
Kadar pembiayaan (maksimum)3.75% setahun (termasuk fi jaminan)
JaminanSehingga 80% oleh CGC atau SJPP
Tempoh permohonan15 Mei – 31 Disember 2026 (atau sehingga habis)

Bila dan Di Mana Boleh Mohon?

Permohonan dibuka mulai 15 Mei 2026 hingga 31 Disember 2026 atau sehingga habis jumlah peruntukkan yang diberikan.

PMKS boleh memohon terus melalui institusi kewangan yang menyertai program ini, termasuk bank perdagangan, bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh BNM.

Jangan Tunggu Sehingga Terdesak

BNM turut mengingatkan PMKS yang sedang menghadapi tekanan wang agar tidak menunggu lama sebelum menghubungi bank masing-masing.

Tindakan awal membolehkan pihak bank mencari penyelesaian yang sesuai termasuk kelonggaran bayaran balik, penyusunan semula kemudahan pembiayaan atau langkah sokongan lain yang lebih bersesuaian dengan situasi perniagaan anda.

Ada Masalah Hutang? AKPK Boleh Bantu

Selain daripada SME SRF, PMKS yang memerlukan bimbingan kewangan turut boleh mendapatkan bantuan melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melalui dua program berikut:

  • Program Pengurusan Hutang (DMP)
  • Skim Penyelesaian Hutang Kecil (SDRS)

Untuk pertanyaan lanjut, PKS boleh menghubungi institusi kewangan masing-masing secara terus atau hubungi BNM.

Terdahulu, kerajaan juga mengumumkan penangguhan pelaksanaan e-Invois sehingga 31 Disember 2027 untuk PMKS yang masih bergelut dengan kos operasi akibat krisis tenaga global.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments