Tidak dinafikan, kos tuisyen swasta boleh mencecah ratusan ringgit sebulan danjumlah tersebut boleh menjadi kos yang agak berat untuk keluarga berpendapatan rendah.
Susulan itu, Program Misi Tuisyen Putrajaya (TMP) bakal diteruskan untuk tahun ini dan sasarannya lebih besar daripada sebelumnya.
161 Pelajar Berjaya Melalui Program Ini Tahun Lepas
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh mendedahkan bahawa 161 pelajar berjaya meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 melalui program ini dengan peningkatan 23% berbanding 2024.
Lebih membanggakan lagi, empat orang daripada 161 pelajar yang terlibat berjaya mendapat 9A manakala seorang lagi meraih 8A. Malah, kadar kelulusan keseluruhan juga meningkat 8.3% dan kesemua peserta TMP 2025 layak menerima sijil SPM.
Ia bukan sekadar statistik, tetapi menjadi bukti bahawa program tuisyen percuma yang dilaksanakan itu boleh mengubah nasib pelajar yang betul-betul memerlukannya.
Apa Yang Ditawarkan Untuk Tahun Ini
Kerajaan memperuntukkan RM150,000 untuk program tahun ini. Perbadanan Putrajaya (PPj) bersama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menyasarkan 150 pelajar daripada sembilan sekolah menengah di Putrajaya untuk menyertai program ini.
Butiran kelas:
- Tempoh: 5 Mei hingga 18 Oktober 2026
- Bilangan kelas: 30 sesi
- Hari: Setiap Selasa dan Khamis
- Lokasi: Kompleks Kejiranan Presint 16, Putrajaya
- Mata pelajaran: Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah
- Guru: 20 orang tenaga pengajar berpengalaman yang akan menyediakan modul pengajaran
Selain kelas biasa, program ini turut merangkumi aktiviti pembelajaran luar bilik darjah pada Sabtu kedua setiap bulan.
Sasaran 2026: Semua Lulus, Sekurang-kurangnya Gred C
TMP 2026 menetapkan sasaran yang lebih jelas berbanding tahun sebelumnya iaitu 100% kelulusan SPM dalam kalangan peserta, dengan setiap pelajar memperoleh sekurang-kurangnya gred C bagi semua subjek.
Hannah Yeoh turut menekankan prinsip di sebalik program ini semasa majlis pelancaran di Kompleks Perbadanan Putrajaya pada baru-baru ini.
“Sistem yang adil bukan bermakna semua orang diperlakukan sama. Ia memastikan tiada seorang pun yang tertinggal, walaupun mereka bermula dari titik yang lebih rendah,” katanya.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
