LHDN Kesan RM3.5 Bilion Pendapatan Tidak Dilaporkan Melalui e-Invois

KONGSI

Sistem e-invois bukan sekadar alat digital untuk mengurus resit perniagaan. Ia juga memberi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) gambaran yang lebih jelas tentang aliran pendapatan sebenar sesebuah perniagaan dan jurang antara apa yang dilaporkan dengan apa yang sebenarnya berlaku.

Kini, dengan data e-invois, LHDN mula menggunakannya secara aktif untuk mengesan ketidakpatuhan cukai. Ribuan pembayar cukai yang menerima notis peringatan akhirnya tampil ke hadapan secara sukarela sebelum tindakan lebih serius diambil.

38,906 Pembayar Cukai Tampil Secara Sukarela

LHDN tidak perlu buat serbuan. Mereka hantar notis peringatan atau nudge kepada pembayar cukai yang disyaki tidak melaporkan pendapatan dengan tepat.

Hasil daripada tindakan itu, seramai 38,906 pembayar cukai mengemukakan borang nyata cukai pendapatan secara sukarela. Selain mengisytiharkan pendapatan berjumlah RM3.5 bilion melibatkan RM760.7 juta cukai yang perlu dibayar.

Masih Buat Tak Endah? LHDN Akan Ambil Tindakan Lanjut

Menurut LHDN, pembayar cukai yang masih belum mengemukakan penyata walaupun selepas menerima peringatan boleh berhadapan dengan audit dan tindakan penguatkuasaan.

“LHDN menyeru semua pihak untuk memenuhi tanggungjawab cukai masing-masing. Laporkan pendapatan secara tepat dan membayar cukai dengan sewajarnya,” kata LHDN.

Operasi Pematuhan e-Invois Dijalankan Serentak di Seluruh Negara

LHDN turut menjalankan operasi semakan pematuhan e-invois peringkat kebangsaan 2026 dari 20 hingga 24 April di seluruh negara.

108 pembayar cukai didapati masih belum melaksanakan e-invoi. Meskipun sudah diwajibkan berbuat demikian di bawah Fasa 1 dan Fasa 2 pelaksanaannya.

Lebih 225,000 Perniagaan Sudah Guna e-Invois

Sejak sistem e-invois diperkenalkan pada 1 Ogos 2024, sebanyak 225,604 pembayar cukai telah menggunapakai sistem ini dengan jumlah e-invois yang dikeluarkan mencecah 1.299 bilion.

LHDN menyifatkan sambutan ini sebagai petanda positif sokongan pembayar cukai. Inisiatif pendigitala ini bertujuan meningkatkan operasi perniagaan dan memastikan penyimpanan rekod yang lebih cekap.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan penangguhan pelaksanaan e-invois sehingga 31 Disember 2027 untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Ia bertujuan untuk meringankan beban mereka yang harus bergelut dengan kos operasi akibat krisis tenaga global.

Anda juga boleh membaca artikel kami tentang sistem e-Invois dan kesannya kepada cukai untuk mendapatkan segala jawapan yang diinginkan.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.  

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments