Semalam (9 Jun), Kementerian Pengangkutan (MOT) telah melancarkan Program Cermat Madani yang menawarkan rebat tambahan 10% ke atas premium insurans kenderaan bermotor kepada pemandu yang memperbaharui polisi melalui aplikasi MyJPJ. Rebat ini diberikan di atas Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD) sedia ada yang boleh mencecah sehingga 55%.
Difahamkan, jika seseorang pemandu sudah layak mendapat NCD maksimum 55% dan mempunyai rekod pemanduan yang baik, mereka boleh menerima diskaun tambahan sehingga 10% dan menjadikan diskaun keseluruhan mencapai 65%. Sebanyak 10 syarikat insurans terlibat dalam program ini.
Fasa Pertama: Semua Orang Layak Dapat Rebat
Untuk makluman, program ini dilaksanakan dalam dua fasa. Pada fasa pertama iaitu dari 9 Jun sehingga 9 September 2026, semua pemandu yang memperbaharui insurans melalui aplikasi MyJPJ akan menerima rebat 10% secara automatik tanpa mengira rekod pemanduan.
Fasa Kedua: Rekod Pemanduan Jadi Penentu
Manakala bermula 10 September 2026, kelayakan rebat akan dinilai melalui sistem penilaian risiko berkuasa kecerdasan buatan (AI). Sistem ini akan menyemak rekod daripada pangkalan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis secara automatik setiap kali pemandu memperbaharui insurans melalui aplikasi MyJPJ
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihak penginsurans akan menentukan kaedah penilaian dan tahap diskaun yang ditawarkan kepada setiap pemandu.
MOT tidak menetapkan had tertentu bagi bilangan saman. Penginsurans akan menilai profil risiko keseluruhan pemandu dan menentukan tahap diskaun yang sesuai. Buat masa ini, hanya saman JPJ dan polis yang akan diambil kira. Kompaun majlis tempatan tidak termasuk dalam penilaian.
Penginsurans Kini Boleh Akses Data Pemanduan
Menurut Loke, sebelum ini penginsurans menghadapi kesukaran untuk menilai profil risiko pemandu kerana tiada akses kepada rekod pemanduan yang boleh dipercayai.
“Sebelum ini, penginsurans tidak mempunyai cara untuk tahu sama ada seseorang pemandu pernah melakukan kesalahan trafik, ada rekod kemalangan atau mempunyai sejarah pemanduan yang buruk. Melalui integrasi ini, mereka kini boleh menerima skor risiko pemandu, sementara data peribadi tetap dilindungi,” katanya.
Program ini juga diwujudkan untuk menggalakkan lebih ramai pengguna menggunakan aplikasi MyJPJ bagi urusan digital seperti pembaharuan cukai jalan dan insurans.
Tiga Bulan Pertama Adalah Tempoh Promosi
Loke juga menegaskan bahawa tiga bulan pertama program ini adalah tempoh promosi untuk membiasakan pemandu dengan aplikasi MyJPJ.
“Dalam tempoh ini, semua orang akan menerima rebat. Tetapi matlamat sebenar kami adalah untuk beri ganjaran kepada pemandu yang benar-benar menjaga rekod pemanduan mereka. Jika pemandu yang kumpul banyak saman menerima ganjaran yang sama seperti pemandu bertanggungjawab, program ini hilang tujuannya,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa program ini hanya permulaan. Di masa hadapan, pemandu dengan rekod cemerlang mungkin layak mendapat premium insurans yang lebih rendah, bukan sekadar diskaun.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemaskini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
