Industri Insurans Am Malaysia Untung RM1.2 Bilion, Tumbuh 4.8% Pada 2025

KONGSI

Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) menyatakan Industri insurans am Malaysia mencatat Premium Bertulis Kasar (GWP) sebanyak RM24.2 bilion pada 2025, naik 4.8% berbanding RM23.1 bilion pada tahun sebelumnya. 

Keuntungan operasi industri juga meningkat kepada RM1.2 bilion, tambahan RM125 juta berbanding 2024. Nisbah Gabungan industri pula kekal stabil pada sekitar 93%. Ini menandakan syarikat insurans berjaya mengawal kos tuntutan walaupun berdepan tekanan ekonomi yang berterusan.

Motor Masih Rekod Kerugian, Tapi Ada Petanda Baik

Insurans motor kekal segmen terbesar dalam industri, menyumbang RM10.9 bilion atau 45.2% daripada jumlah premium. Segmen ini tumbuh 5.0% pada 2025, sedikit perlahan berbanding 6.7% pada 2024.

Walau bagaimanapun, ia masih mencatat kerugian. Kerugian operasi berjumlah RM289.3 juta dengan Nisbah Gabungan pada 103%. Ini bermakna, bayaran tuntutan melebihi premium yang dikutip.

Dua punca utama kerugian ini adalah:

  1. Kekerapan tuntutan masih tinggi: Kadar tuntutan kereta persendirian melebihi 7% pada 2025. Model seperti Proton X50 dan X70 mencatat kekerapan tuntutan lebih tinggi, terutama dalam kalangan pemandu muda.
  2. Kos tuntutan naik: Nilai purata kos tuntutan kereta persendirian meningkat kepada RM8,831, didorong oleh inflasi harga alat ganti bagi Proton Saga dan Proton X50.

Namun, kawalan risiko yang lebih ketat telah menambah baik Nisbah Gabungan sebanyak 0.7 mata berbanding 2024 dan ini merupakan petanda positif.

Insurans Kebakaran Jadi Penyumbang Keuntungan Terbesar

Tuntutan insurans kebakaran mencatat jumlah paling tinggi pada tahun 2025. GWP naik sebanyak 6.9% kepada RM5.0 bilion dengan keuntungan operasi mencecah RM700.8 juta dan Nisbah Gabungan pada 69.5%.

Penyebab utama pertumbuhan ini ialah inflasi nilai hartanah kediaman sekunder selari dengan kenaikan kos pembinaan semula. Pendedahan risiko kini semakin beralih kepada rumah-rumah lama di kawasan pinggir bandar.

Insurans PA Catat Pertumbuhan Terpantas

Insurans Kemalangan Diri (PA) pula mencatat pertumbuhan paling pesat dalam kalangan semua segmen utama, iaitu naik 12.2% kepada RM1.6 bilion pada 2025 berbanding RM1.4 bilion tahun sebelumnya.

Faktor yang mendorong pertumbuhan ini adalah kebangkitan semula industri pelancongan sejak 2023, penggunaan saluran digital yang semakin meluas serta pemulihan ekonomi secara umum. 

Rakyat Malaysia juga kini lebih cenderung melancong ke destinasi yang menawarkan nilai tukaran Ringgit yang lebih baik.

Insurans MAT Catat GWP Sedikit Turun

Insurans Marin, Penerbangan dan Transit (MAT) pula mencatatkan penurunan kecil iaitu sebanyak 2.2% dalam GWP, daripada RM1.83 bilion kepada RM1.79 bilion. Segmen ini didominasi oleh perniagaan minyak luar pesisir (37.6%) dan kargo (33.9%).

Walaupun GWP menyusut, keuntungan operasi masih positif pada RM108.1 juta dengan Nisbah Gabungan pada 73.1%.

Risiko Yang Industri Perlu Hadapi ke Depan

Ketua Pegawai Eksekutif PIAM, Chua Kim Soon mengakui bahawa industri perlu terus bersedia menghadapi beberapa risiko besar termasuk perubahan iklim yang semakin memberi tekanan.

Menurutnya, semasa banjir besar di Hat Yai, Thailand pada Disember 2025 lalu, syarikat insurans mengaktifkan amaran awal dan mempercepatkan bantuan tuntutan kepada pemegang polisi yang terjejas, termasuk mereka yang kenderaannya terperangkap dalam banjir.

Kenderaan elektrik (EV) turut mengubah cara industri insurans menilai risiko. Kajian tuntutan terkini yang diterbitkan pada April 2025 masih dalam proses penilaian bagi memahami impak sebenar EV terhadap kos insurans. Kenaikan harga barang juga terus mempengaruhi keputusan pengguna, namun industri berusaha memastikan perlindungan insurans kekal mampu milik melalui skim seperti Program Baucar Perlindungan Tenang 3.0.

Bagi pemilik polisi motor komprehensif, perkara penting yang perlu diingat adalah, jika berlaku sebarang kejadian di jalan raya, hubungi talian bantuan 24 jam syarikat insurans anda terlebih dahulu sebelum mengatur perkhidmatan tunda sendiri. Ini penting untuk memastikan tuntutan bayaran balik anda diluluskan.

Program Yang Rakyat Malaysia Patut Tahu

Di sebalik angka-angka ini, ada beberapa inisiatif praktikal yang dapat membantu pengguna secara langsung seperti:

  • Program Baucar Perlindungan Tenang 3.0 telah mencapai 67,946 polisi dengan RM2.04 juta baucar ditebus setakat 14 April 2026.
  • Aplikasi Digital Roadside Assistance (DRA) membolehkan pemegang polisi motor mendapat bantuan tepi jalan, perkhidmatan tunda yang diluluskan serta menghantar tuntutan secara digital.
  • Kerjasama dengan FINCO turut menyokong sekolah dan komuniti di kawasan berisiko banjir melalui program kesedaran dan kesiapsiagaan bencana.

Jika anda sedang mencari insurans kenderaan yang bersesuaian, anda boleh pilih dan banding di RinggitPlus.

Selain itu, jika anda ingin mengetahui maklumat lanjut tentang insurans, artikel-artikel kami yang berkaitan  sedia membantu anda untuk lebih faham termasuklah maksud NCD dan fungsinya.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments