Membeli kereta adalah satu pelaburan besar. Boleh dikatakan rata-rata rakyat Malaysia menganggap komitmen kereta sebagai perkara kedua paling mahal selepas membeli rumah.
Pasti anda ada kereta idaman yang sentiasa bermain di fikiran kan? Ada juga yang pilih jenama kereta tertentu kerana ia dilihat sebagai lambang kejayaan dan kekayaan, atau mungkin kerana nilai jualan semula yang tinggi. Ada juga yang lebih suka kereta elektrik (EV) kerana percaya ia lebih mesra alam.
Disebabkan faktor-faktor ini, ada sesetengah orang yang mungkin terbeli kereta yang di luar kemampuan mereka. Bila terjadi situasi seperti ini, mereka akan mula terjerat dalam masalah kewangan.
Jadi, macam mana nak tahu sama ada anda betul-betul mampu beli kereta idaman anda atau tidak? Sebenarnya, ada beberapa panduan yang boleh membantu anda dalam membuat keputusan yang bijak. Jom kita tengok apa panduannya.
Panduan 1: Harga Kereta Perlu Setanding Dengan Gaji Kasar Tahunan Anda

Secara asasnya, anda mampu membeli kenderaan yang harganya lebih kurang sama dengan pendapatan tahunan kasar anda (gaji bulanan kasar anda didarab dengan 12 bulan). Contohnya, jika gaji anda RM5,000 sebulan, anda boleh beli kereta berharga sekitar RM60,000. Ini hanyalah anggaran kasar sahaja.
Penting untuk diingat bahawa ini adalah panduan permulaan. Anda juga perlu mengambil kira kos-kos lain seperti ansuran bulanan, insurans, cukai jalan, petrol, tol, dan penyelenggaraan. Pastikan bayaran ansuran bulanan kereta anda tidak melebihi 15-20% daripada gaji bersih anda untuk mengelakkan masalah kewangan di kemudian hari.
Berdasarkan panduan ini, berikut adalah beberapa kereta yang mungkin sesuai dengan gaji anda:
| Gaji Bulanan | Gaji Tahunan | Kereta Yang Anda Mampu | Harga |
RM3,000 | RM36,000 | Perodua Bezza 1.0 G (Automatik) | RM36,580 |
| RM5,000 | RM60,000 | Perodua MyVi 1.5 AV (D-CVT) Perodua Alza 1.5 X (D-CVT) Proton Persona 1.6L Premium (CVT) Proton Iriz 1.6L Active CVT | RM59,900 RM62,500 RM58,300 RM57,300 |
| RM7,000 | RM84,000 | Proton X50 1.5T Executive Honda City 1.5L S Honda WR-V 1.5L S Toyota Vios 1.5E AT Nissan Almera 1.0L Turbo VL | RM85,800 RM84,900 RM89,900 RM90,600 RM83,888 |
| RM10,000 | RM120,000 | Proton X70 1.5 TGDi Premium 2WD Proton X90 1.5 TGDi BSG Standard Honda HR-V 1.5L S BYD Dolphin Premium Extended Range MG S5 EV | RM123,800 RM123,800 RM115,900 RM125,600 RM116,548 |
| RM17,000 | RM204,000 | Tesla Model Y (Rear- Wheel Drive) Subaru Forester 2.0i-S EyeSight GT Jaecoo J7 (CKD) (AWD) Volkswagen Tiguan All-Space 1.4TSI Elegance Chery Omoda E5 BYD Seal Performance | RM195,450 RM197,788 RM148,000 RM205,990 RM146,000 RM200,500 |
| RM20,000 | RM240,000 | Volkswagen Tiguan All-Space 2.0TSI R-Line Mercedes Benz A 200 Progressive Line BMW X1 sDrive 20i xLine MAZDA CX-8 SKYACTIV-G AWD (2.5L Turbo High Plus) BMW 218 Gran Coupe (CKD) | RM258,990 RM241,888 RM250,800 RM220,000 RM240,000 |
Kesederhanaan dan pengiraan yang mudah bagi panduan ini adalah sebab mengapa pengasas bersama RinggitPlus dan perancang kewangan berlesen, Hann Liew, berpendapat ia merupakan panduan yang baik untuk rakyat Malaysia. Ia boleh dijadikan rujukan ketika membuat keputusan untuk membeli kereta.
“Saya suka panduan ini, ia sangat jelas, mudah untuk diingat dan senang dikira semasa anda mencari kereta baharu,” katanya.

Namun, disebabkan ia terlalu ringkas, peraturan ini tidak mengambil kira kos pinjaman atau pembiayaan, iaitu faedah/keuntungan yang dikenakan ke atas pinjaman yang anda ambil. Contohnya, jika anda membeli kereta berharga RM60,000 dan mengambil pinjaman sebanyak RM48,000 (selama 5 tahun, pada kadar 3% setahun), kos pinjaman anda akan menjadi RM7,200 (RM48,000 x 3% x 5 tahun).
Penting untuk diingat bahawa kos pinjaman akan meningkat seiring dengan tempoh pinjaman anda. Lebih lama tempoh pinjaman, lebih tinggi kosnya. Untuk memahaminya dengan lebih mendalam, mari kita gunakan contoh pengiraan sebentar tadi di mana kereta berharga RM60,000 dengan pinjaman RM48,000 pada kadar faedah 3% setahun. Jika anda memilih pinjaman 7 tahun atau 9 tahun, kos pinjaman akan menjadi RM10,080 dan RM12,960, walaupun jumlah pinjaman anda tidak berubah (RM48,000).
Seperti yang anda lihat, kos kenderaan meningkat dengan banyak apabila kita mengambil kira kos pinjaman. Jadi, ada panduan kedua yang boleh membantu anda mengira kemampuan membeli kereta dengan lebih tepat berdasarkan gaji.
Panduan 2: Peraturan 20/7/20

Sama seperti panduan pertama, Peraturan 20/7/20 juga popular, tetapi ia memerlukan sedikit usaha untuk difahami kerana anda perlu membuat lebih banyak pengiraan. Secara ringkas, peraturan ini bermaksud:
- 20% – Letakkan wang pendahuluan (deposit) sebanyak 20%.
- 7 – Pilih tempoh pinjaman tidak lebih daripada tujuh tahun (dengan anggapan kadar faedah 3% setahun).
- 20% – Peruntukkan tidak lebih daripada 20% daripada gaji bersih bulanan anda untuk bayaran ansuran pinjaman.
Untuk menjelaskan bagaimana panduan ini berfungsi, mari kita ambil contoh. Katakan anda berminat untuk membeli Perodua Myvi 1.5 Advance (CVT) 2025 yang berharga kira-kira RM59,900 (harga atas jalan). Bolehkah anda membelinya jika gaji bulanan anda RM5,000 – yang memberi anda gaji bersih kira-kira RM4,305.00 selepas ditolak caruman KWSP, PERKESO dan SIP?
Mari kita gunakan Peraturan 20/7/20 untuk mengetahuinya.
| Peraturan 20/7/20 | Pengiraan |
| 20% deposit | RM59,900 x 20%= RM11,980 |
| Pinjaman 7 tahun (3% Kadar faedah setahun) | RM59,900 – RM11,980= RM47,920 Ambil pinjaman 7 tahun sebanyak RM47,920 daripada bank (3% kadar faedah setahun) Ansuran bulanan = RM690.27 |
| 20% daripada gaji bulanan bersih anda (peruntukan untuk ansuran bulanan) | RM4,305 x 20% |
Daripada pengiraan ini, anda dapat lihat yang anda sebenarnya mampu untuk membeli Perodua Myvi yang diidamkan. Ini kerana ansuran bulanan adalah RM690.27, manakala bajet bulanan anda yang diperuntukkan adalah RM861.

Bagi yang berminat, kami juga telah membuat pengiraan ansuran bulanan anggaran untuk senarai kereta yang kami kongsikan sebelum ini, berdasarkan Peraturan 20/7/20. Berikut adalah senarai tersebut, beserta dengan gaji bersih bulanan yang diperlukan untuk mampu membeli kereta yang dinyatakan:
| Gaji kasar bulanan | 20% daripada gaji bulanan bersih (anggaran) | Model kereta | Harga kereta | Anggaran ansuran bulanan |
| RM3,000 | RM529 | Perodua Bezza 1.0 G (Automatik) | RM36,580 | RM420.54 |
| RM5,000 | RM861 | Perodua MyVi 1.5 AV (CVT) Perodua Alza 1.5 X (CVT) Proton Persona 1.6L Premium (CVT) Proton Iriz 1.6L Active CVT | RM59,900 RM62,500 RM58,300 RM57,300 | RM690 RM720 RM671 RM660 |
| RM7,000 | RM1,173 | Proton X50 1.5T Standard Honda City 1.5L E Honda WR-V 1.5L S Toyota Vios 1.5E AT Nissan Almera 1.0L Turbo VL | RM85,800 RM84,900 RM89,900 RM90,600 RM83,888 | RM988 RM978 RM1,035 RM1,044 RM954 |
| RM10,000 | RM1,585 | Proton X70 1.5 TGDi Premium 2WD Proton X90 1.5 TGDi BSG Standard Toyota HR-V 1.5L S BYD Dolphin Premium Extended Range MG S5 EV | RM123,800 RM123,800 RM115,900 RM125,600 RM116,548 | RM1,426 RM1,426 RM1,335 RM1,447 RM1,343 |
| RM17,000 | RM2,481 | Tesla Model Y Subaru Forester 2.0i-S EyeSight GT Jaecoo J7 (CKD) (AWD) Volkswagen Tiguan All-Space 1.4TSI Elegance Chery Omoda E5 BYD Seal Performance | RM195,450 RM188,800 RM148,000 RM195,590 RM146,000 RM200,500 | RM2,252 RM2,175 RM1,705 RM2,373 RM1,682 RM2,310 |
| RM20,000 | RM2,865 | Volkswagen Tiguan All-Space R-Line Mercedes Benz A 200 Progressive Line BMW X1 sDrive 20i xLine MAZDA CX-8 SKYACTIV-G AWD (2.5L Turbo High Plus) BMW 218 Gran Coupe (CKD) | RM258,990 RM241,888 RM250,800 RM220,000 RM240,000 | RM2,984 RM2,787 RM2,809 RM2,890 RM2,765 |
Ketika mengulas tentang panduan ini, Hann mengakui bahawa peraturan kedua ini mungkin kelihatan rumit bagi orang awam, tetapi beliau menekankan bahawa ia lebih berguna berbanding panduan pertama.
“Bukan setakat mengira kos kereta, malah kos pinjaman juga perlu diambil kira untuk membelinya. Ia juga membolehkan anda menganggar berapa banyak kos yang perlu dibayar setiap bulan. Jadi, anda akan mendapat gambaran yang lebih tepat sama ada anda benar-benar mampu membeli kereta tersebut,” katanya.
Hann juga menegaskan bahawa seperti panduan-panduan lain dalam kewangan peribadi, anda bebas untuk mengubah suai Peraturan 20/7/20 mengikut keperluan atau pilihan anda.
“Katakan anda mendapati ansuran bulanan kereta idaman anda adalah 25% daripada gaji bersih bulanan atau anda kekurangan beberapa ribu Ringgit untuk bayaran pendahuluan 20%, namun anda masih boleh mencuba. Semak perbelanjaan dan komitmen bulanan anda, dan lihat jika anda boleh membuat beberapa pelarasan untuk menampung perbelanjaan tambahan tersebut. Anda harus jujur dengan diri sendiri, kerana ini adalah komitmen jangka sederhana,” kata Hann.
Adakah kedua-dua garis panduan itu saling melengkapi?

Menariknya, Peraturan 20/7/20 sebenarnya sepadan dengan panduan pertama (harga kereta = gaji tahunan kasar anda), malah ia adalah kesinambungan daripada panduan tersebut dari segi matematik.
Untuk bantu anda memahami dengan lebih jelas, mari kita lihat perbandingan ringkas.
Di bawah Panduan 1, harga kereta tidak sepatutnya melebihi gaji tahunan kasar anda. Jadi, berdasarkan contoh sebelum ini, jika gaji bulanan kasar anda ialah RM5,000, anda disarankan untuk membeli kereta yang harganya sekitar RM60,000.
Ini disahkan oleh pengiraan di bawah Panduan 2 (Peraturan 20/7/20), yang menunjukkan anda sebenarnya mampu membeli Perodua Myvi berharga RM59,900 (iaitu sekitar RM60,000) jika gaji bulanan kasar anda RM5,000. Malah, bajet yang anda peruntukkan untuk ansuran bulanan (RM861) adalah lebih tinggi sedikit daripada anggaran ansuran bulanan (RM690.27). Ini memberi anda wang lebihan sekitar RM170.73. Lebihan ini boleh digunakan untuk bayaran-bayaran lain seperti insurans kereta dan servis berkala.
Jika anda berhasrat untuk membeli kenderaan baharu,lebih baik anda bertanya soalan-soalan berikut terlebih dahulu:
- Adakah harga kereta sama atau kurang daripada gaji tahunan saya?
- Adakah saya mempunyai simpanan yang cukup untuk bayaran pendahuluan 20%?
- Adakah anggaran ansuran bulanan kurang daripada 20% gaji bersih saya?
Jika jawapan anda adalah “ya” untuk kesemua soalan di atas, maka anda memang mampu untuk membeli kereta tersebut!

Dengan maklumat ini, kami berharap anda akan lebih mudah membuat keputusan sekiranya anda mampu dari segi kewangan untuk membeli kereta idaman. Paling penting, jujur dengan diri sendiri kerana membeli kereta adalah komitmen jangka sederhana yang boleh memberi kesan besar kepada kewangan anda sehingga sembilan tahun (bergantung pada tempoh pinjaman anda).
Kami juga ingin mengingatkan anda bahawa panduan yang kami berikan ini hanyalah sebagai rujukan umum. Ia bertujuan untuk membantu anda mendapatkan gambaran kasar tentang apa yang anda mampu dan membolehkan anda membuat keputusan yang lebih bijak.
Jika anda memerlukan nasihat yang lebih terperinci atau sedang berada dalam situasi kewangan yang agak rumit, mungkin lebih baik anda berbincang dengan perancang kewangan berlesen sebelum membuat sebarang keputusan atau perancangan.
