PUSPAKOM telah melancarkan Tempahan Akses Awal GiCheck (G.E.A.R), perkhidmatan premium untuk mendapatkan slot pemeriksaan kenderaan seawal hari berikutnya bagi urusan yang memerlukan tindakan segera. Perkhidmatan ini ditawarkan kepada kenderaan persendirian yang layak, pada kadar pengenalan RM150 bagi setiap kenderaan.
G.E.A.R mula beroperasi sejak 19 Julai lalu menerusi platform tempahan dalam talian GiCheck. Buat masa ini, perkhidmatan hanya disediakan di tiga cawangan perintis iaitu Batu Caves, Glenmarie dan Wangsa Maju, sebelum diperluaskan secara berperingkat ke seluruh negara mengikut permintaan.
Disasar Kepada Pembeli, Penjual dan Urusan Pembiayaan
Inisiatif ini diwujudkan bagi memberi pilihan kepada pelanggan yang memerlukan pemeriksaan dengan kadar segera, terutamanya apabila slot tempahan biasa sudah penuh atau ketika tempoh permintaan tinggi seperti hujung bulan, musim perayaan dan peningkatan dalam urus niaga jual beli kenderaan.
Perkhidmatan ini turut memberi manfaat kepada pemilik kenderaan persendirian, termasuk pembeli dan penjual yang sedang menjalankan urusan pertukaran hak milik kenderaan. Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman, turut menyebut inisiatif ini membantu pelanggan yang sedang melengkapkan keperluan pembiayaan atau berdepan situasi tidak dijangka yang memerlukan pemeriksaan segera.
Pelanggan yang menggunakan G.E.A.R akan menerima pengesahan slot janji temu pemeriksaan yang diberi keutamaan menerusi platform GiCheck.
G.E.A.R Beri Lebih Pilihan Tanpa Jejaskan Pengguna Lain, Kata CEO
Mahmood berkata, G.E.A.R diperkenalkan untuk memberi lebih kemudahan kepada pelanggan tanpa menjejaskan peluang pengguna lain mendapatkan slot pemeriksaan biasa.
“Keperluan pelanggan hari ini semakin pelbagai dan mereka mengharapkan perkhidmatan yang bukan sahaja cekap serta boleh dipercayai, malah cukup fleksibel untuk memenuhi keperluan yang berbeza. G.E.A.R diperkenalkan bagi memberi pilihan kepada pemilik kenderaan persendirian yang memerlukan slot pemeriksaan dalam tempoh lebih singkat tanpa menjejaskan peluang pelanggan lain mendapatkan slot melalui sistem tempahan yang sedia ada,” katanya.
Slot G.E.A.R Terhad, Sistem Biasa Masih Kekal
Menurut PUSPAKOM, hanya sebahagian kecil daripada kapasiti pemeriksaan harian di cawangan yang mengambil bahagian diperuntukkan untuk G.E.A.R. Sebahagian besar slot akan terus disediakan melalui sistem tempahan biasa bagi memastikan akses yang adil kepada semua pelanggan.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
