Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) merancang untuk beroperasi 24 jam sehari bermula Januari 2027, membolehkan anda membuat pemeriksaan kenderaan pada bila-bila masa.
Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman, memberitahu Bernama selepas melancarkan GiCheck Auto Weekend 2026 di Klang pada 5 September 2026 bahawa pelaksanaan ini bergantung kepada satu fasa ujian dahulu, iaitu pelanjutan operasi kepada tujuh hari seminggu bermula November 2026, tertakluk kepada sambutan orang ramai, kesediaan tenaga kerja, dan kapasiti operasi.
Fasa Tujuh Hari Jadi Ujian Dahulu
PUSPAKOM telah berbincang dengan Kesatuan Pekerja-Pekerja Perdagangan Kebangsaan (NUCW) dan Kesatuan Sekerja Kakitangan PUSPAKOM untuk mendapatkan pandangan tentang waktu kerja yang lebih munasabah bagi kakitangan.
Konsep yang dicadangkan ialah kakitangan bekerja lapan hingga 10 jam sehari, berbanding 12 jam seperti sekarang. Mereka turut akan dapat dua hari rehat seminggu, dua kali ganda daripada satu hari cuti yang diberikan pada waktu ini.
PUSPAKOM Towering Malaysian Awards dan Pemeriksaan di Lokasi Pelanggan
Selain waktu operasi, PUSPAKOM turut mendedahkan beberapa inisiatif lain yang sedang dirancang. Antaranya ialah anugerah pengiktirafan wira komuniti bernama PUSPAKOM Towering Malaysian Awards, dan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan terus di lokasi pelanggan.
Menurut Mahmood, program anugerah baharu itu diwujudkan khusus untuk menghargai individu yang membawa perubahan positif kepada masyarakat mahupun alam sekitar walaupun sumbangan mereka jarang mendapat perhatian umum. Beliau menambah, inisiatif pengiktirafan ini sedang dibangunkan bersama rakan strategik serta agensi media terpilih sebelum perincian lanjut diumumkan tidak lama lagi.
Sorotan Pelancaran GiCheck Auto Weekend 2026
Kenyataan Mahmood ini dibuat sempena pelancaran GiCheck Auto Weekend 2026, program yang julung kali diadakan. Turut hadir ialah Setiausaha (Bahagian Darat) Kementerian Pengangkutan, Datuk Mohamed Irwan Mansor, dan Ketua Pegawai Operasi PUSPAKOM, Dr Ahmad Zahiri Ismail.
Acara itu menampilkan demonstrasi teknikal, ujian tali pinggang keledar, serta pameran teknologi Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) bertemakan Driving Safer Roads Together, sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Setakat ini, tiada tarikh khusus diumumkan bagi pelaksanaan penuh operasi 24 jam selain sasaran Januari 2027 yang bergantung kepada hasil fasa tujuh hari bermula November ini.
PUSPAKOM Turut Ada Perkhidmatan GEAR Untuk Pemeriksaan Segera
Selain rancangan operasi 24 jam ini, PUSPAKOM turut menawarkan perkhidmatan GiCheck Early Access Reservation (GEAR) yang membolehkan anda menempah slot pemeriksaan seawal hari berikutnya. Perkhidmatan ini kini tersedia di 26 cawangan seluruh Malaysia, dengan kadar permulaan RM150 setiap slot.
RM150 ini hanya untuk hak akses keutamaan dan ditambah kepada caj pemeriksaan standard, bukan menggantikannya. Sebagai contoh, pemeriksaan sewa beli melalui GEAR berjumlah RM210 (RM150 tambah RM60), berbanding RM60 sahaja melalui tempahan biasa. GEAR terhad kepada kenderaan persendirian bagi tiga jenis pemeriksaan, iaitu Pemeriksaan Khas (B2), Pemeriksaan Tukar Hak Milik (MV15), dan Pemeriksaan Sewa Beli (B7). Tempahan boleh dibuat melalui GiCheck.
Anda Tidak Perlu Ambil Cuti Untuk Pemeriksaan Kenderaan
Sekiranya rancangan 24 jam ini dilaksanakan, anda tidak lagi perlu mengambil cuti kerja atau tergesa-gesa pada waktu pejabat semata-mata untuk membuat pemeriksaan kenderaan. Ini mungkin membantu mereka yang bekerja waktu pejabat dan perlukan sijil pemeriksaan segera untuk urusan seperti pertukaran hak milik kenderaan atau permohonan pembiayaan.
Walaupun begitu, perubahan ini masih bergantung kepada keputusan PUSPAKOM selepas menilai fasa tujuh hari yang bermula November 2026. Sehingga tarikh pelaksanaan disahkan, anda masih perlu rancang lawatan pemeriksaan mengikut waktu operasi semasa.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
