Kerajaan kini membuka pendaftaran akses percuma selama tiga bulan ke platform pembelajaran dalam talian iaitu Coursera. Inisiatif ini menyasarkan 100,000 rakyat Malaysia yang akan dimasukkan secara berfasa mengikut kohort. Menurut siaran media Kementerian Digital, tawaran ini diberikan menerusi Pas Pembelajaran Global, salah satu bahagian portal Rakyat Digital yang dibawakan oleh Kementerian Digital dan dijayakan oleh MyDIGITAL Corporation yang baru sahaja dilancarkan pada 11 Ogos 2026 di acara Malaysia AI Takeover 2026 (AIMTO_26).
Kohort Pertama 25,000 Peserta Bermula 16 September
Pelaksanaan Pas Pembelajaran Global dibahagikan kepada empat kohort, dengan kohort pertama membabitkan 25,000 daripada sasaran keseluruhan 100,000 peserta, bakal bermula pada 16 September 2026. Anda boleh daftar sekarang di laman web Rakyat Digital. Tarikh bermula bagi tiga kohort seterusnya belum dinyatakan dalam siaran media ini.
Rakyat Digital Beroperasi Mengikut Pendekatan 3A
Pas Pembelajaran Global ialah bahagian daripada portal Rakyat Digital, yang digerakkan melalui tiga fasa dikenali sebagai pendekatan 3A. Fasa pertama, Kesedaran, membina asas literasi digital anda menerusi Hab Literasi Digital yang menawarkan kursus percuma. Akses pula fasa kedua, di sinilah Pas Pembelajaran Global, yang menawarkan akses Coursera anda, berada bersama Hab Kemahiran Digital yang ada kursus percuma dan berbayar serta persijilan diiktiraf. Fasa terakhir, Penerimagunaan, mendorong anda guna kemahiran itu secara praktikal menerusi Hab Pembina AI, Hab Alat Digital dan program penilaian keupayaan.
Portal ini turut menyasarkan kepada komuniti luar bandar, warga emas, belia, komuniti kelainan upaya serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Modul Nilai Dan Prinsip Malaysia MADANI Turut Ditambah
Kerajaan turut memperkenalkan modul tambahan berkaitan nilai dan prinsip Malaysia MADANI dalam senarai modul pembelajaran di bawah Rakyat Digital. Modul ini melengkapkan modul-modul sedia ada seperti Keselamatan AI, CyberSAFE untuk Rakyat, Generatif AI, Agentic AI dan Cloud untuk Rakyat, iaitu enam modul yang wajib diselesaikan oleh belia layak untuk tawaran AI generatif percuma di bawah.
Tawaran AI Percuma Untuk Belia Turut Disahkan Bermula 31 Ogos
Kerajaan turut menyediakan akses percuma tiga bulan kepada aplikasi AI generatif terkemuka buat 100,000 belia berumur 18 hingga 30 tahun, bermula 31 Ogos 2026. Tawaran ini tertakluk kepada pelaksanaan secara berfasa serta terma dan syarat yang ditetapkan kerajaan. Kelayakan bergantung kepada penyempurnaan modul pembelajaran berkaitan, bukan sekadar pendaftaran.
Kedua-dua tawaran melibatkan platform Coursera dan akses AI generatif ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan MADANI memacu Malaysia menuju Negara AI menjelang 2030 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), MD2030 dan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
