Kadar pengangguran di Malaysia kekal 3.0% pada bulan Jun 2026, sama seperti Mei 2026. Bagaimanapun, jumlah penganggur meningkat kepada 517,800 orang berbanding 513,400 orang sebulan sebelumnya, menurut Statistik Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dikeluarkan pada 11 Ogos 2026.
Tenaga Kerja Makin Bertambah, Namun Kadar LFPR Kekal
Tenaga kerja Malaysia meningkat 0.04% kepada 17.34 juta orang pada Jun 2026, sama seperti Mei 2026. Kadar penyertaan tenaga kerja (LFPR) pula kekal pada 70.9%. Bagi bulan Jun 2026 sahaja, LFPR lelaki berada pada 82.9%, manakala LFPR wanita pada 57.3%. Bilangan orang bekerja pula naik sedikit kepada 16.83 juta orang, daripada 16.82 juta orang pada Mei 2026. Nisbah pekerjaan kepada populasi kekal pada 68.8%.
Majoriti rakyat Malaysia yang bekerja masih berstatus pekerja bergaji. Kategori ini merangkumi 75.0% daripada semua orang bekerja, atau 12.61 juta orang. Pekerja sendiri (own-account workers) pula berjumlah 3.15 juta orang atau 18.7%. Baki golongan lain ialah majikan pada 3.6%, dan pekerja keluarga tanpa gaji pada 2.7%, turun 0.4%.
Bilangan Penganggur Naik 0.9%, Golongan Belia Paling Terjejas
Jumlah penganggur meningkat 0.9% bulan ke bulan kepada 517,800 orang. DOSM bahagikan golongan ini kepada dua. Penganggur aktif, iaitu mereka yang sedang cari kerja secara aktif, mewakili 79.4% daripada jumlah keseluruhan. Kumpulan ini naik kepada 410,900 orang daripada 408,000 orang pada Mei 2026. Penganggur tidak aktif pula, iaitu mereka yang dah putus asa cari kerja kerana percaya tiada peluang, naik kepada 106,900 orang berbanding 105,500 orang sebulan sebelumnya.
Kadar pengangguran golongan belia yang berumur 15 hingga 24 tahun pula berada pada 10.2%, jauh lebih tinggi daripada kadar pengangguran keseluruhan negara pada 3.0%. Seramai 292,200 belia dalam kumpulan umur ini menganggur.
Ramai Masih Di Luar Tenaga Kerja Kerana Tanggungjawab Keluarga
Sebanyak 7.11 juta orang berada di luar tenaga kerja pada Jun 2026, naik daripada 7.10 juta orang sebulan sebelumnya. Tanggungjawab rumah tangga dan keluarga kekal jadi sebab utama, mewakili 43.3% daripada kumpulan ini. Persekolahan dan latihan pula menyumbang kepada 40.3%.
Sektor Perkhidmatan Kekal Penyumbang Pekerjaan Terbesar
Sektor perkhidmatan kekal jadi penyumbang utama kepada jumlah keseluruhan pekerjaan negara, terutamanya dalam pengangkutan dan penyimpanan, penginapan serta makanan dan minuman, dan perdagangan borong dan runcit. Sektor pembuatan dan pembinaan turut catat pertumbuhan positif. Sebaliknya, sektor pertanian serta perlombongan dan pengkuarian menyusut.
Underemployment Berkaitan Masa Turun ke 121,900 Orang
Bilangan orang bekerja kurang 30 jam seminggu turun kepada 230,000 orang pada suku kedua 2026, daripada 231,600 orang. Daripada kumpulan ini, mereka yang sudah bekerja kurang 30 jam seminggu tetapi bersedia dan mampu menambah jam kerja, dipanggil underemployment berkaitan masa, turun kepada 121,900 orang, dengan kadar 0.7%.
Underemployment berkaitan kemahiran pula merujuk kepada mereka yang berkelulusan tinggi tetapi bekerja dalam pekerjaan separuh mahir atau kurang mahir. Kumpulan ini meningkat 0.7% kepada 1.95 juta orang pada suku kedua 2026, berbanding 1.93 juta orang pada suku pertama. Kadar underemployment jenis ini kekal pada 35.2%, diukur berdasarkan jumlah pekerja berkelulusan tinggi.
Putrajaya Rekod Kadar Pengangguran Terendah
Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatat kadar pengangguran paling rendah di negara ini pada 1.3% bagi suku kedua 2026. Melaka dan Pahang pula masing-masing merekodkan 2.0%, manakala Selangor pada 2.1%. Putrajaya juga mencatatkan LFPR tertinggi di negara ini pada 79.4%. Kalau anda sedang pertimbangkan peluang kerja di negeri lain, angka ini boleh jadi salah satu rujukan tambahan.
DOSM menjangkakan pasaran buruh kekal positif bermula Julai 2026, disokong oleh keadaan ekonomi domestik yang stabil, aktiviti pelaburan yang berterusan, dan pasaran buruh itu sendiri sudah menunjukkan daya tahan.
Namun, DOSM juga memberi amaran bahawa ketidaktentuan pasaran tenaga global, perkembangan geopolitik, dan syarat perdagangan luar boleh menjejaskan kos perniagaan dan keputusan syarikat untuk mengambil pekerja baharu jika tekanan ini berterusan. Ini bermakna, anda perlu terus pantau perkembangan ekonomi sebelum buat keputusan kewangan yang besar seperti menukar kerja atau memohon pinjaman.
Peluang Kerja Baharu Terus Terbuka Untuk Anda
Bagi anda yang kehilangan pekerjaan, jangan berputus asa kerana peluang baharu terus terbuka untuk anda. Jika anda memiliki kemahiran teknikal dan vokasional pula, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan pada 29 Julai lalu menyatakan sebanyak 343,836 peluang pekerjaan berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ditawarkan menerusi platform MYFutureJobs sepanjang tempoh enam bulan tahun ini.
Artikel kami berkaitan dengan apa yang perlu dilakukan oleh anda selepas kehilangan pekerjaan di Malaysia juga dapat membantu anda.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
