LHDN Keluarkan Taksiran Cukai Tambahan RM4.4 Bilion

KONGSI

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengeluarkan taksiran cukai tambahan berjumlah RM4.4 bilion setakat 30 Jun 2026, hasil daripada audit dan pemeriksaan pematuhan cukai. Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin, mengumumkan perkara ini semasa perasmian Persidangan Percukaian Kebangsaan ke-26 di KLCC pada 4 Ogos 2026.

LHDN Sasarkan Pengelakan Cukai Dan Perancangan Cukai Agresif

Abu Tariq berkata LHDN akan terus menumpukan perhatian kepada kes ketidakpatuhan cukai yang serius, termasuk pengelakan cukai dan perancangan cukai agresif. “Pendekatan ini penting bagi memastikan keadilan sistem percukaian dan setiap pembayar cukai memenuhi tanggungjawab mereka secara saksama,” katanya.

Anda Boleh Merayu Jika Tak Bersetuju Dengan Taksiran

Beliau turut menegaskan bahawa usaha memperkukuh pematuhan cukai berjalan seiring dengan usaha melindungi hak anda sebagai pembayar cukai. Sekiranya anda menerima taksiran cukai tambahan dan merasakan ia tidak tepat, anda boleh membuat rayuan melalui Jabatan Penyelesaian Pertikaian LHDN.

Jelasnya lagi, kes-kes yang dibawa ke mahkamah oleh pembayar cukai turut membantu memberikan kepastian lebih jelas tentang cara undang-undang cukai ditafsir dan dilaksanakan.

Taksiran Disemak Tiga Peringkat Sebelum Dikeluarkan

Menurut Abu Tariq, setiap kes disemak di peringkat cawangan, negeri dan ibu pejabat sebelum sebarang taksiran cukai tambahan dikeluarkan. “Proses ini memastikan setiap keputusan dibuat secara telus, objektif dan mengikut undang-undang, sekali gus memperkukuh keyakinan pembayar cukai terhadap sistem percukaian,” katanya.

Sistem AI Bakal Permudah Urusan Duti Setem Anda

Beliau juga mengumumkan bahawa LHDN kini sedang membangunkan sistem berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk menyokong pentadbiran duti setem. Sistem ini dibangunkan selaras dengan Sistem Duti Setem Taksir Sendiri (STSDS) yang diperkenalkan pada 1 Januari 2026. Ia mengenal pasti kategori dan jenis instrumen yang betul, serta duti setem yang perlu dikenakan.

Menurutnya lagi, sistem AI ini dijangka meningkatkan ketepatan taksiran, mengurangkan kesilapan klasifikasi, mempercepatkan proses pematuhan, serta menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap dan mesra pengguna.

Kesilapan Pemfailan Cukai Pendapatan Boleh Rugikan Anda

Selain daripada merayu, anda sebagai pembayar cukai juga perlu tahu bahawa kesilapan dalam memfailkan cukai pendapatan turut boleh merugikan anda. Kesilapan yang paling biasa dilakukan adalah apabila anda terlepas tarikh akhir dan ia akan membawa kepada penalti 10% ke atas baki cukai yang tidak dibayar. 

Malah, ada juga pekerja bebas yang hanya bergantung pada Borang EA, sedangkan pendapatan kerja bebas, sewa, atau hasil platform seperti Shopee dan Grab tetap perlu diisytiharkan tanpa mengira jumlah, manakala pendapatan dividen melebihi RM100,000 setahun tertakluk kepada cukai dividen 2% tambahan. Pengisytiharan yang silap atau cuai boleh dikenakan denda RM1,000 hingga RM10,000 di bawah Seksyen 113, bersama penalti 200% daripada cukai yang dikenakan, manakala pengelakan cukai yang disengajakan pula jatuh di bawah Seksyen 114, dengan denda sehingga RM20,000, penjara sehingga tiga tahun, dan penalti 300% daripada cukai yang dikenakan. 

Kesilapan lain termasuk tuntut pelepasan tanpa dokumen sokongan, terlepas pandang pelepasan sah seperti KWSP dan insurans perubatan, serta butiran bank lapuk dalam MyTax yang menyebabkan bayaran balik gagal diproses tanpa notis. 

Bagi anda yang ingin mengetahui tentang panduan penuh proses e-Filing, sila rujuk Panduan Cukai Pendapatan 2026 (YA 2025) yang telah kami sediakan ini.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.   

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen