Industri Pelancongan Jana RM323 Bilion Untuk Ekonomi Negara, Selangor Paling Ramai Pelawat Domestik

KONGSI

Industri pelancongan menyumbang RM323 bilion kepada ekonomi negara pada tahun 2025, mewakili 15.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.  Angka ini datang daripada laporan Akaun Satelit Pelancongan 2025 terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 15 September 2026. Industri ini berkembang 8.6% tahun ini, naik daripada 7.8% pada 2024.

Beli-Belah Kekal Punca Pendapatan Utama

Perdagangan runcit mengambil bahagian terbesar dalam sumbangan industri ini, iaitu 50.6%. Makanan dan minuman di tempat kedua dengan 16.4%. Perkhidmatan khusus pelancongan seperti rawatan kesihatan dan acara mesyuarat, insentif, persidangan, pameran (MICE) menyumbang 13.1%. Penginapan catat 9.3%, manakala aktiviti kebudayaan, sukan dan rekreasi 4.3%.

Perbelanjaan Pelancongan Dalaman Cecah RM236.9 Bilion

Perbelanjaan pelancongan dalaman, gabungan perbelanjaan pelancong asing dan tempatan, naik 15.2% kepada RM236.9 bilion berbanding RM205.6 bilion tahun sebelumnya.

Daripada jumlah ini, pelancong asing membelanjakan RM124.8 bilion, naik 16.5%. Peningkatan ini didorong oleh pelancong bermalam yang menyumbang 95.6% bahagian, manakala pelawat harian menyumbang baki 4.4%. Pelancong tempatan pula membelanjakan RM112.1 bilion, naik 13.8%. Pelancong bermalam menyumbang 58.3%, sementara pelawat harian 41.7%.

3.7 Juta Pekerja Bergantung Kepada Industri Ini

Industri pelancongan menggajikan 3.7 juta orang pada tahun 2025, sama dengan 22.1% daripada jumlah guna tenaga negara. Kadar pertumbuhan guna tenaga sektor ini mencatat 3.5%, sedikit perlahan berbanding 4.6% pada 2024.

Selangor Paling Ramai Pelawat, Tapi KL Kutip Lebih Banyak Duit

DOSM turut keluarkan laporan berasingan pada bulan yang sama, iaitu Survei Pelancongan Domestik (DTS) 2025 [PDF]. Laporan ini pecahkan bilangan pelawat domestik dan terimaan pelancongan mengikut negeri.

Secara keseluruhan negara, DTS mencatatkan 290.1 juta pelawat domestik dengan jumlah terimaan RM121.3 bilion. Angka ini berbeza daripada RM112.1 bilion di dalam Akaun Satelit Pelancongan di atas kerana kedua-dua tinjauan ini berasingan.

Selangor rekod bilangan pelawat domestik paling tinggi, iaitu 36.4 juta orang. Wilayah Persekutuan (W.P.) Kuala Lumpur di tempat kedua dengan 35.1 juta, diikuti Perak dengan 23.6 juta. Tetapi dari segi terimaan pelancongan, W.P. Kuala Lumpur paling tinggi. Negeri ini mencatat RM16.9 bilion, lebih tinggi daripada Selangor yang mencatat RM15.8 bilion walaupun jumlah pelawat Selangor lebih ramai.

NegeriPelawat Domestik (juta)Terimaan Pelancongan (RM bilion)
Selangor36.415.8
W.P. Kuala Lumpur35.116.9
Perak23.68.0
Pahang23.29.8
Sarawak22.79.1
Sabah22.49.8
Melaka20.88.7
Negeri Sembilan19.46.5
Johor18.28.7
Pulau Pinang17.78.5
Kedah15.65.5
Terengganu15.55.8
Kelantan12.15.2
W.P. Putrajaya3.11.2
Perlis3.81.2
W.P. Labuan0.60.4

Enam Negeri Kuasai Pelawat, Tujuh Negeri Lampaui Purata Pertumbuhan 

Selangor, W.P. Kuala Lumpur, Perak, Pahang, Sarawak dan Sabah bersama-sama menyumbang 56.3% daripada jumlah pelawat domestik negara pada 2025. Dari segi pertumbuhan terimaan pula, tujuh negeri mencatat kadar lebih tinggi daripada purata negara 13.6%. Negeri-negeri itu ialah Kelantan, Pulau Pinang, Perlis, Sarawak, W.P. Kuala Lumpur, W.P. Labuan dan W.P. Putrajaya.

Kos Percutian Bermalam Naik Ke RM658, Lebih Pantas Daripada Inflasi

Purata perbelanjaan rakyat Malaysia bagi setiap kali bercuti dalam negara pula ialah RM365 pada tahun 2025. Angka ini terbahagi kepada RM221 untuk perjalanan harian (naik 0.3%) dan RM658 untuk perjalanan bermalam (naik 3.4%), hampir tiga kali ganda kos perjalanan harian.

Kadar inflasi tahunan Malaysia pada 2025 pula hanya 1.4% berdasarkan Indeks Harga Pengguna DOSM. Ini bermakna kos bercuti dalam negara naik jauh lebih pantas berbanding kos sara hidup keseluruhan, jadi bajet percutian anda tahun lepas berkemungkinan tidak lagi mencukupi untuk pengalaman yang sama tahun ini.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen