Tambang perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam yang secara rasminya dibuka kepada orang ramai akan diberikan secara percuma selama sebulan bermula 29 Jun 2026 sehingga 31 Julai 2026. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara itu semalam (28 Jun) ketika Majlis Pelancaran LRT3 Laluan Shah Alam di Depoh LRT Johan Setia.
Bas Perantara Laluan Shah Alam Juga Percuma Sebulan
Menurutnya, tambang percuma itu turut diberikan bagi perkhidmatan bas perantara kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di sepanjang Laluan Shah Alam.
“Tapi kenapa agaknya laluan ini? Kerana laluan ini yang paling sesak, antara yang paling sesak dalam negara kita. Kemudian bila sesak, maknanya satu bebanan yang besar bagi rakyat.” katanya.
Projek LRT3 Laluan Shah Alam ini melibatkan pelaburan sebanyak RM16.63 bilion. Laluan sepanjang 37.8km ini menghubungkan terus kawasan koridor barat Lembah Klang dari Klang ke Petaling Jaya, menyediakan mod pengangkutan rel bagi laluan yang sebelum ini hanya bergantung sepenuhnya kepada jaringan lebuh raya.
Laluan Shah Alam Disokong Oleh 40 Bas Perantara
Prasarana sebelum ini memaklumkan Laluan Shah Alam turut disokong oleh 40 bas perantara yang beroperasi di 323 hentian membabitkan 13 laluan khusus dengan tambang hanya RM1 bermula 6 pagi hingga 11.30 malam.
Perkhidmatan Rapid On-Demand turut disediakan melibatkan 44 buah van di 20 zon dengan bayaran RM2 bermula 6 pagi hingga 11.30 malam.
Kemudahan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) juga disediakan di kesemua stesen antaranya laluan landai untuk pengguna berkerusi roda, tandas mesra OKU serta tempat duduk khas untuk pengguna OKU di setiap gerabak.
Tambang LRT3 Bermula RM0.80 Sen
Selepas tempoh percuma sebulan tamat, tambang LRT3 Laluan Shah Alam bermula serendah RM0.80 dan naik sehingga RM4.90 bagi bayaran tunai. Bagi pembayaran tanpa tunai, tambang maksimum ialah RM4.30 bagi perjalanan sehala.
Diskaun konsesi 50% turut ditawarkan kepada kanak-kanak, pelajar, warga emas dan OKU. Bagi pengguna tegar yang perlu berulang-alik setiap hari (contohnya dari stesen Johan Setia ke Bandar Utama), penggunaan Pas My50 adalah jauh lebih menjimatkan berbanding membayar tambang secara harian. Anda boleh semak jadual tambang penuh menerusi laman web RapidKL.
20 Stesen Berhubung Terus Dengan MRT Dan LRT Sedia Ada
LRT3 merangkumi 20 stesen antaranya Bandar Utama, Glenmarie 2, Stadium Shah Alam, UiTM Shah Alam, Bandar Baru Klang, Pasar Klang, Bandar Bukit Tinggi dan berakhir di Johan Setia.
Di stesen Bandar Utama, anda boleh bertukar ke MRT Laluan Kajang, manakala stesen Glenmarie 2 berhubung dengan LRT Laluan Kelana Jaya, menjadikan LRT3 sebahagian daripada Sistem Transit Bersepadu Lembah Klang.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
