8.5 Juta Pekerja Pilih Kekal Dalam LINDUNG 24 Jam Walaupun Tidak Lagi Wajib

KONGSI

Seramai 8.5 juta atau 87.6% pekerja Malaysia memilih untuk terus menyertai skim LINDUNG 24 Jam, atau nama rasminya Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja, daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Ini berlaku walaupun caruman skim ini sudah tidak lagi wajib bagi pekerja tempatan sejak Julai lalu dan mereka boleh memilih untuk opt-out.

Angka tersebut didedahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, pada sidang media di Menara PERKESO, Jalan Ampang hari ini (9 September 2026). Kami juga berada di sidang akhbar tersebut untuk mendengar sendiri penjelasan beliau.

Golongan Bergaji Bawah RM3,500 Paling Ramai Pilih Keluar 

Daripada 12.4% pekerja yang memilih opt-out, hampir 52% merupakan mereka yang bergaji bawah RM3,500 sebulan. Kalau anda berada dalam kumpulan pendapatan ini dan sudah opt-out, PERKESO mahu anda fikir semula.

Mohammed Azman risau dengan trend ini. Golongan ini majoritinya tergolong dalam kumpulan B40, yang menurut data Bank Negara Malaysia (BNM) 2024, hanya 4% daripada mereka memiliki insurans hayat, bermakna lebih 96% tiada perlindungan insurans hayat langsung. “Jangan bandingkan kami dengan insurans. Kami sama sekali berbeza daripada insurans. Ini perlindungan sosial,” katanya. 

Maksudnya, LINDUNG 24 Jam bertindak sebagai jaringan terakhir untuk anda sebelum sesuatu kemalangan menjatuhkan anda ke tahap kesusahan kewangan. Kalau anda pula bergaji tinggi dan rasa insurans peribadi anda sudah cukup, fikir semula kerana Mohammed Azman mengingatkan anda bahawa jangan beranggapan insurans dengan liputan penuh yang dimiliki anda sama seperti perlindungan sosial, ia sama sekali tidak.

Anda Tak Boleh Dipecat Semasa Terima Faedah Ini

Berkongsi lanjut sewaktu sidang akhbar tersebut, Mohammed Azman menyatakan bahawa majikan anda tidak boleh mengambil sebarang tindakan untuk memecat atau mengeluarkan anda daripada pekerjaan selagi anda menerima bayaran faedah akibat kemalangan di bawah LINDUNG 24 Jam ini.

RM9.97 Juta Faedah Sudah Dibayar Dalam Tiga Bulan

PERKESO menerima 6,330 tuntutan dalam tempoh tiga bulan pertama pelaksanaan skim ini, dari 1 Jun hingga 31 Ogos 2026. Itu bersamaan purata 69 kes sehari, atau kira-kira tiga kes setiap jam. Jumlah faedah yang telah dibayar mencecah RM9.97 juta. Bayaran ini merangkumi Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, ganti belanja perubatan, Faedah Pengurusan Mayat, Faedah Orang Tanggungan, serta alat pemulihan dan implan.

Bayaran jangka pendek ini boleh bertukar menjadi bayaran jangka panjang, dengan jumlah keseluruhan mencecah lebih 10 kali ganda daripada bayaran asal. 

Ada individu yang sudah opt-out, tetapi masih cuba membuat tuntutan faedah selepas mengalami kemalangan di luar waktu kerja. Dalam masa sama, antara 9,000 hingga 10,000 pekerja yang mulanya memilih opt-out sudah kembali menyertai semula skim ini sejak kemudahan sertai semula dibuka pada 2 September lepas.

Selangor, KL Dan Putrajaya Paling Ramai Opt-Out

Mengikut pecahan negeri, 53% pekerja yang memilih opt-out bekerja di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Johor mencatatkan 11%, Pulau Pinang 9%, dan baki 27% tersebar di negeri-negeri lain.

Dr. Mohammed Azman jelaskan negeri-negeri ini mempunyai kepadatan penduduk tinggi dan aktiviti ekonomi yang lebih rancak. Namun negeri-negeri berisiko tinggi kemalangan ini turut mencatatkan kadar opt-out paling tinggi.

Caruman Anda Cuma 35 Hingga 40 Sen Sehari, Kata PERKESO

Semasa diajukan soalan mengenai sama ada kadar caruman terlalu tinggi bagi sesetengah pekerja, Mohammed Azman menjawab kadar 0.75% ini antara yang terendah di dunia untuk jenis perlindungan sebegini. Sebagai contoh, jika gaji anda RM2,000 sebulan iaitu paras gaji minimum, caruman 0.75% ini bersamaan kira-kira 35 hingga 40 sen sehari sahaja.

Menurut Mohammed Azman lagi, tiada negara lain di rantau Asia Tenggara menawarkan perlindungan 24 jam seperti ini, dengan negara terdekat yang ada skim serupa di rantau Asia Pasifik ialah New Zealand. Beliau turut mendakwa Malaysia antara negara pertama di dunia yang perkenalkan liputan sebegini.

Data yang dikongsi turut menunjukkan 74% pekerja yang membuat tuntutan faedah di bawah skim ini bergaji bawah RM3,500, kebanyakannya pekerja muda berpendapatan rendah.

Anda Boleh Sertai Semula Bila-Bila Masa, Tiada Had Tempoh 

Tempoh opt-out rasmi sudah tamat pada 31 Ogos 2026 dan tidak akan dibuka semula. Anda yang sudah opt-out masih boleh sertai semula skim ini pada bila-bila masa, tanpa had tempoh, secara dalam talian menerusi lindungfaedah.perkeso.gov.my. Kemudahan ini dibuka sejak 2 September lepas.

Kalau anda kekal dalam skim ini, perlindungan anda akan terus berjalan selagi anda memenuhi syarat di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4). PERKESO namakan prinsip ini “Once In, Always In“.

LINDUNG 24 Jam Melindungi Anda Di Luar Waktu Kerja 

Untuk makluman, LINDUNG 24 Jam mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2026 untuk melindungi anda daripada kemalangan yang berlaku di luar waktu bekerja, contohnya semasa balik rumah atau hujung minggu. 

Skim ini khusus untuk pekerja tempatan yang mencarum di bawah Akta 4 (LINDUNG PEKERJA). Caruman bagi pekerja asing pula kekal wajib secara berasingan. Selepas Jemaah Menteri memutuskan pada 8 Julai lalu bahawa caruman ini tidak lagi mandatori untuk pekerja tempatan, PERKESO membuka tempoh opt-out dari 13 Julai hingga 31 Ogos 2026 bagi sesiapa yang tidak mahu meneruskan penyertaan.

Caruman Akan Naik Ke 1.25% Menjelang Tahun Keenam

Kadar caruman 0.75% sekarang bukan kadar tetap selamanya. Timbalan Ketua Eksekutif (Strategik dan Korporat) PERKESO, Edmund Cheong Peck Huang, pernah mendedahkan kadar ini akan dinaikkan secara berperingkat kepada 1.25% menjelang tahun keenam pelaksanaan skim.

Kenaikan ini turut bermakna faedah penggantian pendapatan anda akan meningkat daripada 48% sekarang kepada 80% apabila kadar caruman penuh dicapai. PERKESO anggap 0.75% ini kadar terendah yang praktikal untuk peringkat awal pelaksanaan, kata Cheong.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.    

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen