Sebanyak 27 barangan keperluan akan diletakkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2026, yang akan bermula Sabtu ini (14 Mac) bagi membantu pengguna mengawal perbelanjaan menjelang Hari Raya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata skim tersebut akan berkuat kuasa sehingga 28 Mac, merangkumi tujuh hari sebelum Aidilfitri, hari pertama Syawal dan tujuh hari selepasnya.
Jumlah barangan terkawal pada tahun ini meningkat berbanding tahun lepas
Menurut beliau, jumlah barangan terkawal tahun ini meningkat kepada 27 item berbanding hanya 26 jenis barangan pada tahun lalu, dan pelaksanaannya dibuat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan.
“Bagi Semenanjung Malaysia, terdapat 24 barangan daripada keseluruhan 27 item yang dikawal di seluruh negara. Alhamdulillah, tahun ini kita bukan sahaja dapat meneruskan skim harga maksimum ini, malah kebanyakan harga siling sebenarnya menurun.”
“Kita mengekalkan harga, dengan hanya beberapa yang meningkat disebabkan faktor seperti bekalan luar, jumlah bekalan dan keadaan cuaca, terutamanya bagi barangan import,” jelasnya dalam sidang media hari ini.
KPDN bekerjasama dengan KPKM serta pemain industri
Armizan berkata kementeriannya turut bekerjasama secara rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta pemain industri bagi memastikan bekalan mencukupi sejak awal, termasuk bagi barangan import.
Tambah beliau, semua 27 barangan terkawal wajib dilabel dengan tanda harga berwarna merah jambu, manakala pegawai penguat kuasa akan menjalankan operasi pemantauan di seluruh negara bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Senarai 27 Barangan Terkawal Aidilfitri 2026
Antara barangan yang dikawal di bawah skim ini termasuk:
Bahan masakan dan sayur-sayuran
1. Bawang merah
2. Bawang besar
3. Bawang putih (China)
4. Cili kering kerinting
5. Cili merah
6. Dhal Australia
7. Halia tua import
8. Kacang panjang
9. Kacang tanah
10. Kubis bulat import (Indonesia dan China)
11. Lobak merah
12. Sawi
13. Timun
14. Kentang
15. Tomato
Kategori makanan laut
16. Ikan kembung / mabung (8–12 ekor sekilogram)
17. Ikan selayang (8–12 ekor sekilogram)
18. Ikan aya / tongkol (1–2 ekor sekilogram) – dikawal di Pahang, Terengganu dan Kelantan
19. Ikan demuduk (3–5 ekor sekilogram) – Sabah sahaja
20. Ikan sagai (3–5 ekor sekilogram) – Sabah sahaja
21. Ikan cermin (3–5 ekor sekilogram) – Sabah sahaja
22. Ikan cupak (3–5 ekor sekilogram) – Sabah sahaja
Kategori daging dan ayam
23. Daging kerbau import dari India
24. Daging lembu import (Sarawak)
25. Daging lembu tempatan (kecuali daging batang pinang)
26. Kepak ayam (Sabah, Sarawak dan Labuan)
Produk berasaskan kelapa
27. Santan dan kelapa parut (dikawal pada peringkat runcit, manakala produk kelapa lain di peringkat borong)

Jualan Rahmah Madani Tambah Lebih Banyak Barangan
Dalam perkembangan lain, Armizan berkata Program Jualan Rahmah Madani kini menawarkan sekurang-kurangnya 50 jenis barangan, meningkat daripada 40 item sebelum ini, selaras dengan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Antara tambahan baharu dalam program tersebut ialah bahan membuat kek seperti:
• Gula
• Gula aising
• Gula kastor
Langkah ini bertujuan membantu orang ramai mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih berpatutan menjelang Aidilfitri.
Diskaun Servis Kenderaan Sehingga 30%
Selain itu, Program Servis Ihsan Madani turut diteruskan tahun ini bermula hari ini sehingga 31 Mac. Program tersebut menawarkan diskaun servis kenderaan antara 10 hingga 30% di 124 bengkel di seluruh negara.
Menurut Armizan, orang ramai boleh membuat tempahan melalui aplikasi Setel untuk mendapatkan slot servis di bengkel berhampiran.
Program ini turut melibatkan subsidi kerajaan serta sumbangan daripada Petronas, bagi membantu mengurangkan kos penyelenggaraan kenderaan rakyat menjelang musim perayaan.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
