Setiap kali tibanya perayaan Aidilfitri, sudah menjadi tradisi untuk golongan dewasa yang sudah bekerja untuk memberi duit raya kepada insan tersayang dan kanak-kanak.
Namun, ada individu yang terpaksa mengurangkan jumlah yang diberikan berbanding raya tahun sebelumnya atau menghadkan penerima duit raya atas sebab-sebab tertentu pada tahun ini.
Jika anda jenis yang sentiasa menambah atau mengekalkan bajet duit raya pada setiap tahun, mungkin anda akan tertanya-tanya mengapa perkara ini berlaku. Jadi mari kita lihat sebabnya dan fahami keadaan segelintir rakyat Malaysia.
1. Kos Sara Hidup Semakin Meningkat
Bukan kerana kedekut, tetapi faktor paling utama sudah tentulah kerana peningkatan kos sara hidup. Dengan kenaikan harga barang keperluan, bil utiliti, dan kos pengangkutan, keupayaan untuk berbelanja lebih semakin berkurangan.
Disebabkan itu, tidak dinafikan ada rakyat Malaysia yang kini lebih berhati-hati. Bajet perayaan terpaksa dirombak semula bagi memastikan keperluan asas keluarga tidak terjejas selepas habisnya musim perayaan.
2. Kuasa Beli Menurun, Golongan M40 Turut Terkesan
Bukan sahaja golongan B40, malah golongan M40 iaitu golongan yang pendapatan sederhana juga mula merasai tekanannya.
- Pendapatan tetap: Nilai gaji tidak lagi setanding dengan kenaikan harga barang (inflasi).
- Bonus dan Pendapatan Sampingan: Ketidaktentuan ekonomi memberi impak kepada sektor swasta dan perniagaan kecil, menyebabkan jumlah bonus atau pendapatan ekstra tidak semeriah dahulu.
3. Strategi ‘Survive’ Lepas Raya
Ramai yang mulai sedar dan lebih realistik. Daripada berbelanja mengikut emosi atau mengharapkan pujian orang, mereka memilih strategi untuk memastikan kewangan diri tidak terjejas.
- Kecilkan jumlah: Mengurangkan amaun di dalam setiap sampul.
- Hadkan penerima: Hanya memberi kepada ahli keluarga terdekat dan kanak-kanak sahaja.
Langkah ini penting bagi mengelakkan “poket kering” atau tekanan kewangan yang melampau sebaik sahaja bulan Syawal berakhir.
Didik Anak-anak Untuk Menghargai Daripada Fikirkan Jumlah Dalam Sampul
Kanak-kanak yang menerima duit raya mungkin tidak faham situasi yang dilalui oleh si pemberi. Di dalam fikiran mereka mungkin akan ada yang mempersoalkan, “bagi RM3 je? Tahun lepas RM5”.
Fikiran mereka masih mentah untuk memahami masalah atau bebanan kewangan yang dihadapi oleh individu lain. Jadi sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik anak-anak agar lebih menghargai pemberian duit raya daripada memikirkan jumlah di dalam sampul.
Ajar mereka untuk sentiasa mengukirkan senyuman dan berterima kasih kepada pemberi duit raya.
Ikhlas Lebih Penting Daripada Jumlah
Jumlah duit raya yang berkurangan tidak akan mengurangkan nilai tradisi yang telah dilakukan ini sejak berkurun lamanya. Intipati sebenar Aidilfitri adalah kesyukuran dan silaturahim, bukannya persaingan siapa bagi sampul paling tebal.
Jangan biarkan jangkaan orang sekeliling merosakkan kesihatan kewangan anda. Memberi mengikut kemampuan adalah tindakan kewangan yang paling bijak.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
