Lain Daripada Yang Lain, Sampul Duit Raya Ini Ajar Anda Bahasa Isyarat

KONGSI

Tahun demi tahun, ada macam-macam jenis corak dan reka bentuk duit raya yang direka untuk menarik minat orang ramai membelinya. Kepelbagaian rekaan sampul ini juga mampu menarik minat kanak-kanak untuk menyimpannya daripada hanya mengambil duit dan membuang sampul begitu sahaja.

Seorang individu Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran bernama Mohd Armi Rusli melihat peluang lain dalam rekaan sampul duit raya iaitu bukan sekadar isi duit, tetapi mengisi ia juga mampu untuk memberikan ilmu bermanfaat kepada orang lain.

Dengan ideanya itu, Mohd Armi yang juga pengasas program #SignOn telah menghasilkan sampul duit raya yang tercetak dengan abjad A hingga Z dan nombor satu hingga 10 dalam Bahasa Isyarat Malaysia (BIM).

Idea Yang Lahir Semasa Ramadan

Idea ini datang semasa bulan Ramadan tahun lalu apabila dia terfikir tentangcara yang lebih santai untuk perkenalkan BIM kepada orang ramai, terutamanya kanak-kanak.

“Setiap perayaan, kanak-kanak terima sampul duit raya, jadi itu peluang kami perkenalkan BIM kepada mereka. Orang dewasa pun akan teruja nak belajar,” katanya.

Mesej utama di sebalik inisiatif ini ialah komuniti Orang Pekak ada bahasa mereka sendiri, dan kita semua boleh cuba mempelajari asasnya.

30,000 Sampul Dicetak Tahun Ini

Sambutan untuk sampul surat berkenaan dilihat semakin menggalakkan. Tahun ini sahaja, sebanyak 30,000 sampul telah dicetak di mana jumlah tersebut adalah tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Difahamkan, sampul tersebut dijual pada harga RM8 sepaket di mana dalamnya terdapat 10 sampul.

Mohd Armi turut berharap organisasi korporat turut tampil membeli sampul ini untuk diedarkan kepada kakitangan atau pelanggan mereka.

Sebahagian hasil jualan akan disalurkan untuk menampung kelas bahasa isyarat percuma yang dianjurkan sepanjang tahun oleh #SignOn.

Lebih Dari Sekadar Sampul

Sebelum ini, pasukan reka grafik #SignOn pernah menghasilkan T-shirt, poster dan risalah berasaskan BIM. Kini, format sampul duit raya menjadi medium baharu yang lebih meluas jangkauannya.

“Saya harap pemberi dan penerima sama-sama dapat ilmu asas bahasa isyarat, dan ajar seluruh keluarga semasa musim perayaan,” kata Mohd Armi.

Tradisi duit raya yang sama, tapi kali ini bawa pulang lebih dari sekadar duit.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments